fbpx

Uyaina Arshad dan Raja Syahiran selamat bergelar suami isteri

KUALA LUMPUR : Selepas dua tahun menjalin hubungan cinta, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 29, selamat bergelar isteri kepada pasangannya, Raja Syahiran,28, dengan sekali lafaz pada pukul 9.03 pagi tadi dalam sebuah majlis yang diadakan di ibu kota.

Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad telah dinikahkan oleh abang kandungnya, Mohd Attaful Uzair Arshad bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah dan dua orang saksi.

Pelakon drama Love Elsa ini melahirkan rasa syukur acara akad nikahnya berjalan dengan lancar biarpun pelbagai dugaan yang perlu ditempuh.

“Alhamdulillah. Majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pada hari ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.

“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Selain itu, kejadian banjir terburuk yang berlaku pada dua hari sebelum nikah turut memberi cabaran kepada kami,” katanya.

Pada majlis pernikahan mereka itu, Syahiran Raja Azhanrianshah telah menyerahkan mas kahwin berbentuk sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.

Tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak dan memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran atas persetujuan kedua belah keluarga.

Majlis akad nikah mereka dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja seramai 100 orang dan mereka masih belum merancang untuk melangsungkan majlis resepsi.

Dalam pada itu, pasangan ini memilih Eropah sebagai destinasi bulan madu mereka namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan penularan wabak varian baru Covid-19.

“Jadi buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan untuk memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” ujarnya.

Memilih #URS sebagai tanda pagar rasmi walimatulurus mereka, yang merupakan akronim Uyaina Raja Syahiran dan juga merupakan singkatan bagi perkataan ‘Yours,’ dengan sebutan yang sama.

Selain itu, #HinggaAkhirWaktu juga menjadi tanda pagar pilihan pasangan ini disebabkan oleh lagu yang dicipta oleh Syahiran bersama Uyaina dan dihadiahkan buat Ummi kepada aktres itu, Siti Noor Farah.

Muzik video lagu #HinggaAkhirWaktu ini akan dilancarkan pada Januari tahun hadapan.

Pasangan selebriti ini mula berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina menerima rombangan merisik keluarga Syahiran pada Julai tahun lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN