Selagi mampu, saya teruskan – Yusof Haslam - Utusan Malaysia

Selagi mampu, saya teruskan – Yusof Haslam

YUSOF HASLAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Titik permulaan figura ini sebagai anak wayang adalah sekitar 1972.

Ketika beliau melakonkan watak pengawal menteri Fasola dalam filem Laksamana Do Re Mi.

Siapa kenal Datuk Yusof Haslam saat itu? Yang masih terlalu muda dan mungkin tidak pernah bermimpi bakal menjadi seorang yang amat disegani hari ini.

Dalam berjuta rakyat Malaysia, saya adalah antara audiens filem arahannya.

Namakan sahaja. Sembilu, Maria Mariana, Gerak Khas, Pasrah. Semua saya tonton. Bukan sekali, berkali-kali.

Bagi saya, Yusof faham kehendak penonton. Dia bijak mencatur, menggarap sebuah cerita. Sebab itu, filemnya pecah panggung.

Baru-baru ini saya sempat berborak santai dengan figura ini. Seronok dengar dia bercerita. Orang lama, banyak pengalaman, lebih dahulu makan garam.

Saya kagum dengan beliau. Pada usia 67 tahun, masih segak, tegap dan sihat. Fikiran pun masih tajam. Macam orang muda.

“Tok, tak penat ke buat filem?” Soal saya.

Jawabnya tidak. Beliau anggap lapangan ini satu perjuangan. Jadi, soal berhenti itu tidak ada.

“Saya bermula dari bawah. Sejak umur saya 18 tahun sampai sekarang. Nak dekat enam dekad dah.

“Saya tidak akan berhenti. Selagi kita boleh kibarkan panji-panji ini. Insya-Allah.

“Selagi mampu, saya teruskan. selagi masyarakat menyokong saya,” katanya.

PUTRAJAYA, 30 MAC 2019 – Filem Box Terbaik dimenangi oleh Datuk Yusof Haslam sewaktu Festival Filem Malaysia ke-30 di PICC, di sini, hari ini.
Gambar : Aizzul A.Majid / Pem : Ifqdar (HIBURAN) / Eryani (HIBURAN KOSMO!)

Saya faham emosi di sebalik jawapan beliau itu. Bukan mudah, berpuluh dekad lamanya dan bertahan.

Hanya anak seni sahaja yang faham jerih payah dalam bidang ini. Depan kita, senyuman mereka berikan. Belakang kita, tangisan mereka simpan.

Saya bertanya kepada penerima anugerah Ahli Mangku Negara 1993 ini, apa bezanya proses pembikinan filem dulu dan sekarang.

“Dulu lagi susah nak buat (filem). Kamera besar, peralatan pun tidak secanggih hari ini. Tetapi, penggiat dahulu lebih berdisiplin. Dengan kemudahan dan peruntukan serba kurang, mereka masih mampu menghasilkan karya yang bagus.

“Kemudahan dan kelengkapan yang ada sekarang ini kadang kala bersifat kosmetik sahaja. Padahal, keberhasilan sesebuah filem itu datang daripada kreativiti seseorang.

“Cabaran sekarang lebih besar, permintaan pun lebih tinggi. Filem anak muda sekarang ada yang bagus, ada juga tidak. Ada juga yang saya tak faham apa yang mereka cuba sampaikan. Saya kata, kalau buat filem tunggang terbalik orang tak faham, buat apa?” katanya lagi.

Hargai orang lama

Dalam tegas, seorang Yusof Haslam hatinya lembut. Berbicara dari sudut seorang ayah. Tak lekang menitipkan peringatan berguna.

Nasihatnya buat pengarah muda, jangan pernah lupakan yang lama.

“Jangan lupa yang lama. Ini saya nak beri tahu pengarah baharu. Kadang, ada segelintir yang rasa diri mereka hebat. Pandangan orang lama pun mereka tolak tepi.

“Saya bersifat terbuka, tonton juga filem budak muda. Ada yang bagus dan ada yang tidak.

“Tapi itulah, pesan saya, hargai dan jangan sesekali rendah-rendahkan orang lama. Ini nasihat saya untuk semua,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berpesan kepada masyarakat, terus menyokong filem tempatan.

Jangan anti filem Melayu. Kalau tidak kita, siapa lagi hendak menyokong.

“Kadang orang kita banyak bercakap kosong. Beritahu sahaja engkau anti filem Melayu. Tapi kita kena ingat, tak boleh puaskan hati semua orang. Hak mereka, nak kata filem ini bagus atau tidak.

“Saya tegaskan, Industri kita berkembang cukup baik. Banyak filem yang berjaya. Contoh Hantu Kak Limah, Munafik, Sangkar, dan banyak lagi.

“Zaman saya dahulu, panggung wayang tak banyak. Kami tak pernah jangka filem Melayu boleh kutip jualan tinggi, sampai empat juta pun ada. Filem Melayu ketika itu hendak dapat sejuta pun sakit.

“Itulah dia, rezeki Tuhan bagi. Berkat usaha orang filem kita yang berjuang habis-habisan,” katanya lagi.

Jiwa itu sudah tiada

Itu pandangan jujur pengarah tersohor ini tentang keadaan industri sekarang yang merudum gara-gara pandemik.

Baginya, keterujaan itu sudah hilang. Rasa ingin menonton wayang pun sudah pudar dek kerisauan mendalam terhadap jangkitan wabak.

“Saya tak pernah tak tengok wayang. Tapi lepas pandemik, jiwa itu sudah tiada. Tak semangat bukan sebab apa, tetapi senarionya. Dengan perintah berkurung lagi. Selama dua tahun ini, sebenarnya yang berjalan cuma setahun sahaja.

“Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai badan yang menjaga kepentingan industri perlu berusaha untuk menyemarakkan semula industri filem. Saya kagum dengan Finas. Mempertahankan industri walau dalam keadaan pandemik dan endemik.

“Sebagai orang seni, kita kena sokong. Saya berdoa agar industri filem kita kembali pulih,” katanya.

Menurut Yusof, industri filem bukan permainan. Ia sebuah sektor ekonomi, yang berkembang dan berubah seiring peredaran masa.

Filem adalah satu perjudian. Penggiatnya kena kuat semangat. Untung rugi menjadi perkara biasa.

“Kalau 10 pergi berperang, yang hidup mungkin tiga sahaja. Yang lain itu luka, yang mati banyak. Bukan Malaysia sahaja, malah seluruh dunia. Bollywood sama, Hollywood pun juga.

“Industri kita, sebelum pandemik, menunjukkan peningkatan. Tengok filem arwah Mamat khalid, berjaya. Cerita Munafik pun dapat kumpul RM17 juta. Alhamdulillah.

“Kejayaan-kejayaan seperti ini menyemarakkan lagi industri. Harap masyarakat terus menyokong,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN