Peluang cinta kedua: Ben Affleck, Jennifer Lopez - Utusan Malaysia

Peluang cinta kedua: Ben Affleck, Jennifer Lopez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN benar kata orang, jika kita mencintai seseorang, ketika di persimpangan dilema lepaskan dia pergi. Satu hari nanti, dia akan kembali jika benar itu adalah cinta sejati yang dikurnia Tuhan.

Melayari kisah percintaan Ben Affleck dan Jennifer Lopez, ada benar kata pujangga itu. Selama 17 tahun berpisah, namun akhirnya cinta mereka bertaut kembali. Membuktikan cerminan cinta sebenar.

Mensyukuri peluang kedua yang diperoleh, Ben tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila cinta mereka dihidupkan semula.

“Saya boleh katakan perjalanan itu sungguh indah. Dan, anda tahu, salah satu perkara yang saya sangat hargai dalam semua aspek kehidupan adalah bagaimana kita dapat mengendali dan mengawal semuanya.

“Kehidupan saya sekarang seperti memberi nafas baharu. Saya tidak mengharapkan kesempurnaan, kerana saya juga terlalu jauh daripada itu. Cuma apa yang saya harapkan adalah ketulusan hati dalam menjaga cinta dan bertanggungjawab.

“Saya seperti melihat diri sendiri. Menghargai cinta dan terima seadanya,” katanya.

Menyoroti lembaran diari percintaan dua ikon Hollywood ini, mereka mula menjalinkan hubungan cinta sewaktu berlakon bersama dalam filem, Gigli sekitar tahun 2002.

Percintaan lokasi itu diikat kemas apabila mereka bertunang dalam tahun sama. Namun, kisah itu hanya tinggal sejarah apabila mereka berdua memutuskan hubungan pada Januari 2004.

Mengunci ketat mulut ketika diasak wartawan tentang bagaimana cinta bertaut semula, Ben secara berseloroh menyerahkan lakon layar kisah cinta mereka mengikut andaian sesiapa walaupun tidak tepat.

“Anda boleh menulis andaian mengenainya, saya belajar sesuatu yang benar-benar membuka mata. Belajar untuk tidak berkongsi segala-galanya dengan dunia. Ada perkara yang boleh dikongsi dan ada tidak.

“Saya sedar, saya akan lebih selesa jika mempunyai sempadan dalam hidup. Biar saya terus terang, saya hanya tidak mahu bercakap tentang hubungan peribadi saya untuk tatapan semua. Privasi itu saya kekalkan,” katanya.

PERUBAHAN DIRI

Membuka mulut soal diri sendiri, Ben mengakui dia banyak bermuhasabah dan mengajar diri untuk lebih matang dalam tempoh lima tahun ini. Oleh sebab itu, dia tidak akan melepaskan setiap momen magis dalam hidupnya.

“Hanya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, saya benar-benar berasa semakin bersyukur dengan kesusahan yang pernah dialami. Itu bukan satu perkara remeh, kerana banyak penderitaan itu berpunca daripada kesakitan yang ditimbulkan kepada orang lain.

“Dan itu ternyata yang paling menyakitkan dalam hidup,” katanya.

Walaupun tidak mahu membicarakan soal hubungan cintanya dengan lebih lanjut, Ben bagaimanapun berasa sangat bertuah kerana diberi peluang kedua dalam kehidupannya dan dia pasti akan memanfaatkan itu sebaik mungkin.

“Saya sangat bertuah dalam hidup kerana telah mendapat manfaat daripada peluang kedua yang tidak diberikan kepada semua. Saya mempunyai peluang kedua dalam kerjaya dan juga sebagai manusia.

“Kehidupan adalah sukar dan kami akan sentiasa berdepan dengan kegagalan. Saya juga bukan seorang yang selalu berjaya. Jadilah versi terbaik untuk diri sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya