PETALING JAYA: Pengurus penyanyi Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, meminta orang ramai menitipkan sebuah doa buat suami arwah yang juga pelawak terkenal, Shuib agar diberikan kesihatan yang baik dan kekal kuat untuk membesarkan keluarga kecilnya.
Menerusi entri Instagram, pengurus Allahyarhamah memuat naik satu gambar yang memaparkan pelawak itu mengenakan helaian tudung jenama isterinya, Loveta pada bahagian badannya, menerusi Instagram arwah Siti Sarah sendiri.
Dalam entri tersebut, dia mendedahkan Shuib kerap kali membawa ke mana sahaja tudung itu untuk mengubati rindunya terhadap arwah isteri tercintanya.
“Sampai hari ini arwah Sarah macam ada dengan Shuib kan? Kali ini, bukan orangnya tetapi perniagaan yang melindungi mahkota wanita.
“Selalu Shuib akan membawa tudung Loveta ke mana-mana dia pergi, nak lepas rindu yang masih tersimpan.
“Sama-sama kita doakan dia diberikan kesihatan fizikal dan mental yang baik, serta dapat menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada Uwais, Talita, Matin serta Ayash,” coretnya di Instagram.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet turut menzahirkan rasa sebak sekali gus menitipkan doa buat kebahagian Shuib sekeluarga.
“Allahuakbar, sebak baca. Semoga Allah mengangkat kerinduan dan kesedihan Shuib, tidak tergambar perasaan, cuma mampu berdoa,” komen seorang individu.
“Bengkak mata itu, wajah jelas menggambarkan kerinduan terhadap isteri,” komen lagi seorang pengguna Instagram.
“Allah ada dan kami semua ada. sentiasa mendoakan keluarga ini,” tulis ringkas seorang individu menerusi ruangan komen tersebut.
Sekadar Informasi, Allahyarham telah pergi dijemput Ilahi pada 8 Ogos lalu meninggalkan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin serta Ayash Affan yang dilahirkan sebelum pemergiannya.