KUALA LUMPUR : Percaturan menggunakan artis popular, Nora Danish sebagai wajah kempen tudung bawal jenama MINAZ Hijab membawa tuah apabila pra tempahan produk itu berjaya terjual 150,000 helai dalam tempoh kurang sejam.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Fesyen MINAZ, Hafiza Abd Hamid berkata, kejayaan itu turut membuka peluang kepada lebih 4,000 ejen dan stokis seluruh Malaysia menjana pendapatan dari rumah di era pandemik COVID-19 ini.
Hafiza atau lebih dikenali dengan panggilan Pija MINAZ berkata, kejayaan itu juga menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus membantu mereka yang terkesan dan bergelut mencari pendapatan ketika ini.
“Ini kempen kedua dijalankan kami bagi menjual tudung bawal siri Blossom dan menggunakan Nora Danish sebagai penyeri. Biarpun ada yang tak suka dengan pemilihannya kerana berimej seksi, tapi saya melihat semua ini daripada sudut yang lebih luas.
“Pemilihannya bersesuaian dengan konsep corak bunga pada tudung yang disifatkan manis dan elegan. Personaliti Nora yang mudah didekati dan ceria juga menyimpulkan keseluruhan perlambangan koleksi tudung.
“Kami percaya, dengan kredibiliti dan reputasi baik Nora, dia mampu menarik dan mempengaruhi ramai wanita untuk mengenali, memakai dan menyertai komuniti keluarga MINAZ Hijab. Siapa tahu suatu hari nanti semua ini jadi asbab untuk dia bertudung dan memilih tudung jenama saya sebagai suntikan semangat,” katanya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM, Shah Alam yang beralih ke bidang fesyen ini juga mensasarkan sebanyak 100,000 helai tudung bawal untuk dijual sehingga hujung bulan ini.
Menurut Pija MINAZ, jenamanya mempertaruhkan koleksi ‘signature printed’ Blossom Series MINAZ yang menjadi kegilaan ramai wanita Malaysia.
“Kali ni kami memperkenalkan tudung bawal daripada material kapas berkualiti tinggi dengan pembungkusan setanding jenama mewah dijual sehelai pada harga mampu milik, RM29 dan masih mengekalkan tahap kualiti.
“Sebelum ini saya jual pakaian ready-to-wear (RTW) berkonsep ‘modest fashion’ dan tahun lalu turut menceburi dunia kosmetik.
“Di bawah kempen pertama jualan tudung bawal di bawah siri Blossom 1.0, sebanyak 50,000 helai berjaya terjual tanpa ada pemasaran luas dan gunakan insan berpengaruh. Cuma untuk siri kedua, kempen Blossom 2.0 kita gunakan Nora Danish,” katanya.
Tambah Pija MINAZ, konsep perniagaannya terarah kepada konsep mahu berkongsi rezeki dengan membuka peluang menjana pendapatan kepada orang ramai untuk menjadi agen dan stokis.
“Di era pandemik ini, kita tahu ramai yang bergelut meneruskan kelangsungan kehidupan. Tapi jenama kosmetik dan tudung saya sendiri berjaya membantu ramai yang ingin mengubah taraf kehidupan.
“Daripada fasa Perintah Kawalan Pergerakan hinggalah Pelan Pemulihan Negara, ia memberi 1001 hikmah kepada saya untuk membantu lebih ramai lagi menjana pendapatan,”katanya.
Untuk rekod, Kempen Blossom 2.0 bermula pada hari ini dan sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.minaz.com.my.