Mencari Sepahtu Yang Hilang tak tiru MLM - Utusan Malaysia

Mencari Sepahtu Yang Hilang tak tiru MLM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bakal tampil dengan sebuah program baharu, Astro Warna bagaimanapun menafikan bahawa program Mencari Sepahtu Yang Hilang (MSYH) mempunyai persamaan dengan acuan atau konsep Maharaja Lawak Mega (MLM) yang popular di kalangan penonton.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Saleh, dia tidak menolak bahawa kemungkinan semua program pencarian bakat komedi itu mempunyai persamaan, namun untuk MSYH, elemen lain yang membezakannya dengan mana-mana program sedia ada.

“Kalau bandingkan tentang konsep, MSYH ini mempunyai perbezaan dari segi faktor mentor yang diwujudkan. Kita sediakan beberapa orang mentor yang berpengalaman lama dalam industri dengan ada yang sudah lebih 14 hingga 15 tahun berkecimpung dalam bidang komedi.

“Paling penting, mentor itu masih aktif sehingga kini dan dianggap relevan dalam industri. Kita ada sifu dan mentor yang akan membentuk bakat-bakat pelapis ini.

“Mungkin tak dapat capai 100 peratus, tetapi jika 70 peratus memperlihatkan peningkatan dari aspek potensi bakat, itu satu perkara yang baik,”katanya.

Norzeha berkata demikian semasa ditemui di sidang media program MSYH yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Ibu kita, baru-baru ini.

Selain itu, kata Norzeha, pihaknya juga sudah menyusun perancangan untuk menjadikan bakat-bakat baru dalam bidang komedi ini sebagai pelapis dalam industri mengikut potensi cemerlang yang ada pada diri mereka.

“Tidak semua, namun kita ada beberapa perancangan yang mana, kita akan kongsikan satu daripada mereka ini untuk beraksi di final Sepahtu Reunion Live nanti.

“Apa yang penting, kami sebenarnya memfokus kepada usaha untuk mencari wajah-wajah baru yang lebih segar dalam industri komedi ini selain dapat memeriahkan industri seni ini.

“Ini termasuk memberi peluang kepada mereka untuk melebarkan sayap menerusi program-program lain yang akan diterbitkan oleh kami pada masa akan datang,”katanya.

Program MSYH ini akan bersiaran selama lapan minggu dan bakal menemui peminat pada setiap hari Khamis mulai 2 Disember 2021, jam 9.00 malam, secara langsung menerusi saluran komedi, Astro Warna, saluran 107.

MSYH juga bertindak sebagai sebuah program pencarian bakat komedi baharu terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Terdahulu, pihak produksi telah memulakan usaha pencarian bakat-bakat baharu dengan menerima penyertaan secara atas talian dari 1 Jun hingga 31 Ogos lalu.

Hampir 1,000 penyertaan solo dan berkumpulan (tidak melebihi tiga orang untuk setiap kumpulan) telah diterima dan penyertaan tersebut disaring dan diadili oleh kumpulan Sepahtu sendiri bersama barisan produksi.

Seramai 12 kumpulan peserta dari penyertaan solo, duo dan trio kemudiannya telah dipilih untuk menyertai program terbaharu terbitan Astro Warna, dan mereka adalah Yusra (solo), Muslim (solo), Arteh, Joned, Spana dan Sebat (kesemuanya peserta duo) serta Gahai, Pitu, Sepan, San, Siji dan Takal (peserta trio).

Ahli kumpulan Sepahtu Jep, Rahim dan Pak Ya akan menggalas tanggungjawab sebagai ‘Juri’ untuk program ini.

Juara akan membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM30,000 beserta trofi, manakala Naib Juara bakal membawa pulang RM15,000 beserta trofi.

Tempat ketiga pula memenangi RM9,000, keempat sebanyak RM6,000 dan kelima dengan RM3,000, kesemuanya beserta trofi sumbangan Astro.

Menariknya lagi, Sepahtu juga akan memilih pemenang solo dari barisan finalis ini kelak dan mengumumkan individu tersebut sebagai ahli terbaru kumpulan Sepahtu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.