Kahwin benda baik, bukannya kena tangkap - Shahir ulas dakwaan Erra Fazira berkahwin - Utusan Malaysia

Kahwin benda baik, bukannya kena tangkap – Shahir ulas dakwaan Erra Fazira berkahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Desas-desus mengenai Erra Fazira yang terkait kontroversi dakwaan berkahwin dengan seorang ahli politik sebelum ini ternyata sampai ke telinga Shahir Zawawi yang mengaku ada mendengar mengenai hal itu.

Bagaimanapun, penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) ini, enggan mengulas lanjut kerana tidak pasti sejauh mana kesahihan dakwaan yang tular meluas mengenai wanita yang pernah dikatakan rapat dengannya itu.

“Saya tak pasti, tetapi ada dengar-dengar juga mengenai dakwaan itu. Cerita yang keluar itu pun, orang lain yang sampaikan sebab saya pun sibuk dengan urusan kerja.

“Kalau pun betul hal itu, bagi saya ia bukan satu perkara yang salah. Kalau dia kahwin, itu benda yang baik bukan? Bukannya kena tangkap.

“Bila benda baik tak perlu terkejut pun. Yang penting, doakan yang baik-baik,”katanya.

Shahir berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran program realiti Al-Hijrah di Oakwood Hotel & Resident, Kuala Lumpur, semalam.

Sekitar awal Oktober lalu, timbul gosip mendakwa Erra sudah menjadi isteri kepada seorang ahli politik dari Perak.

Kontroversi ini mula bertiup kencang apabila seorang pengguna Twitter memuat naik ciapan mendakwa Erra sudah menjadi isteri kedua ahli politik itu.

Bagaimanapun Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 47, menerusi Instagram mengatakan dia enggan melayan gosip tersebut.

Selain itu, akui Shahir, dia masih berkawan dengan Erra dan sebagai sahabat,sudah tentu akan sentiasa mendoakan yang baik buatnya.

“Ya, saya masih berkawan dengannya.Tiga hari lepas pun kami masih berhubungan menerusi mesej di telefon. Beginilah, bagi saya, kawan yang baik akan sentiasa mendoakan kebahagiaan sahabatnya.

“Kalau sudah sampai jodoh dia, baguslah. InsyaAllah, kalau kita ikhlas, tak kisahlah dalam berkawan dan bersahabat, kita sepatutnya rasa gembira jika dia menemui kebahagiaan.

“Kalau rasa sebaliknya itu, macam sesuatu yang tak kena pula,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini mengaku enggan dikaitkan dengan sesiapa lantaran tidak mahu timbul sebarang masalah.

Lebih memberi tumpuan kepada kerjaya, Shahir menganggap dirinya tidak mampu mengamalkan konsep ‘multitasking’ dalam satu-satu masa.

“Saya ini ada masalah susah nak fokus dua tiga benda. Bila ada gangguan, fokus saya jadi lari. Saya tidak kata untuk sesiapa. Ini adalah kelemahan diri sendiri.

“Tapi bukan juga bermaksud saya nak lari daripada masalah. Saya ini lebih kepada tak suka nak memanjangkan lagi masalah,” katanya.

Sekitar Julai 2019, Erra pernah mendedahkan hubungannya dengan Shahir sudah berakhir sejak Januari namun masih mengekalkan persahabatan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN