KUALA LUMPUR: Pengacara dan personaliti popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi menghormati pendirian serta hak mereka yang menolak untuk divaksin atau menggelar diri mereka sebagai prosafe.
Katanya yang mesra disapa Pak Nil, ini kerana dia memahami bahawa prosedur pelalian atau vaksinasi itu tidak diwajibkan oleh kerajaan namun semua pihak harus tahu apa kesan dan akibatnya jika tidak divaksin.
“Ia hak masing masing. Saya hormat. Daripada awal lagi kerajaan pun tak paksa sama ada nak ambil vaksin atau sebaliknya. Tapi bila keluar dakyah salah bertentangan sains atau propaganda itu ini daripada segelintir golongan berkenaan, itu yang tak syok.
“Mungkin sebaiknya golongan itu tidak terlalu lantang di media sosial. Tapi ia hanya pandangan rawak saya saja kerana zaman media sosial beraja ini ramai tegar bersuara,” katanya yang ditemui dalam sebuah majlis di ibu kota baru-baru ini.
Selain itu, Aznil turut mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini yang menyebut bahawa kerajaan akan terus menyukarkan urusan golongan berkenaan.
“Pada pandangan sayalah, beliau bukan nak menghimpit golongan anti-vaksin. Sebaliknya merujuk kepada golongan yang tak nak divaksin tetapi pada masa sama mengeluarkan dakyah salah untuk menakutkan orang ramai.
“Jadi saya setuju jika golongan itu pegang pendirian mereka tak mahu divaksin tanpa mengeluarkan dakyah tertentu. Pendek kata hormat pendirian itu. Dalam masa sama, golongan itu hormati mereka yang memilih divaksin. Begitulah sebaliknya,” katanya
Katanya lagi, Malaysia juga sudah mencapai 90 peratus populasi dewasa yang telah lengkap dos suntikan vaksin dan ia sesuatu yang sangat positif untuk dipertimbangkan.
“Jadi selebihnya iaitu 10 peratus lagi merujuk kepada golongan anti-vaksin, kanak kanak dan mereka yang tak boleh divaksin atas faktor pelbagai termasuk kesihatan.
“Kita yang memilih vaksin ini jangan bermusuh dengan mereka. Kita cuba lindungi mereka. Majoriti akan menang melawan minoriti. Insya-Allah.
“Kita sudah bergelut melalui era COVID-19 ini. Cukup-cukuplah derita itu. Tak perlu kita tambah dengan pertelagahan prinsip mahu divaksin atau sebaliknya,” katanya yang sudah lengkap dua dos vaksin.
Dalam pada itu, Aznil turut meluahkan rasa gembira dan syukur kerana rezeki masih berpihak kepadanya walau pun sedar begitu ramai yang sedang bergelut dengan pandemik dan melalui kesukaran kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Diberi peranan untuk menggalas tanggungjawab bergelatr duta produk kesihatan, Eskayvie, Aznil meluahkan rasa terharu kerana masih ada pihak yang memberi kepercayaan kepadanya.
“Ketika PKP pertama, saya sendiri rasa hidup macam gelap. Kerja seni yang sudah dipersetujui pun ditunda malah ada yang dibatalkan. Tapi saya beroleh rezeki sebagai duta jenama produk itu.
“Malah ada rangkaian produknya yang mempunyai testimoni sebagai penguat daya ketahanan diri selain alternatif melawan pelbagai virus termasuk Covid-19.Saya juga ada meminta bekas penyampai radio Sinar FM, Najman Mohamed yang disahkan positif COVID-19 tahap empat untuk mencuba sebelum ini.
“Alhamdulillah ikhtiar serba sedikit membantu dan pulih. Malah pihak jenama produk ini juga membantu Najman menyelesaikan kos bil hospital atas paksi kemanusiaan,” katanya.