KUALA LUMPUR : Syarikat pelaburan, pengurusan dan pembangunan hartanah terkenal, Homevest berjaya menempatkan nama dan tersenarai dalam Malaysia Book of Records selepas diiktiraf sebagai syarikat pertama di Malaysia yang menawarkan Program Pemilikan Rumah untuk Pekerja atau Home Ownership Programme for Employees (H.O.P.E).
Sebagai pemegang rekod, Homevest tampil berbeza dengan syarikat lain berdasarkan nilai yang mampu dijana semula kepada pelabur.
Menurut Pengarah Urusan kumpulan Homevest, Datuk KY Lim, sejak dilancarkan pada 2020, HOPE telah menyumbang kepada penambahbaikan program pengekalan bakat di pelbagai syarikat.
Ia juga meningkatkan produktiviti pekerja dan menanam rasa kesetiaan pekerja terhadap majikan sejak program ini diperkenalkan.
“Memahami kesukaran dihadapi majikan dalam mengekalkan pekerja disebabkan oleh kekurangan pengiktirafan dan penghargaan serta faedah syarikat yang mampu ditawarkan, HOPE hadir untuk membantu.
“Ia mampu membantu majikan di Malaysia memperkasakan pekerja mereka untuk memiliki rumah idaman masing-masing. Majikan boleh menggunakan program ini untuk mendorong dan memberi ganjaran kepada pekerja mereka yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di majlis simbolik penyampaian sijil Malaysia Book of Records di ibu pejabat syarikat tersebut di Kota Damansara, baru-baru ini.
Turut hadir menyerikan majlis ialah, Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara, Datuk Azuan Effendy, Ketua Eksekutif Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Penasihat Homevest, Datuk Wira Haji Muhammad Faizal Zainol.
Selain itu, difahamkan, faedah program ini setara dengan faedah syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500, yang akhirnya mewujudkan suasana pekerjaan yang positif serta bermanfaat.
“Kami amat berbesar hati kerana HOPE telah diiktiraf oleh pihak yang penting dan relevan dalam industri sebagai sebuah penyelesaian faedah pekerja yang inovatif di Malaysia.
“Dasar dan visi kami ialah untuk membentuk komuniti ‘smart living’ dengan hubungan yang erat,” kata KY Lim yang baru-baru ini telah dianugerahkan sebagai Top 10 Finalis untuk JCI Creative Young Entrepreneur Award 2021.
Selain itu, Homevest juga secara rasminya menerima sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk pencapaian ini.
“Bahagian pengurusan hartanah kami dipanggil Homevest Living menawarkan pelbagai perkhidmatan menerusi kepakaran yang ada.
“Ia termasuk untuk menguruskan hartanah mereka selain mewujudkan kualiti gaya hidup moden, dinamik dan berkualiti yang menerapkan nilai positit serta terbaik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Homevest, Datuk Marcus Low memaklumkan syarikat mereka menjadi pengurusan hartanah yang pertama melancarkan stor rasmi di platform e-dagang, Shopee baru baru ini.
“Ia termasuk menyediakan pelanggan dengan pembelian dalam talian yang mudah, selamat dan pantas,” katanya.