Cake Topper sentuhan anak Malaysia laris di Amerika Syarikat -

Cake Topper sentuhan anak Malaysia laris di Amerika Syarikat

Normi Kahar yakin permintaan untuk cake topper sentiasa ada kerana setiap hari orang akan meraikan sambutan hari lahir bersama kek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali sambutan hari lahir diraikan, kek adalah elemen utama tidak boleh dilupakan.

Kek itu pula tidak boleh kosong, sebaliknya perlu dihias dengan aksesori yang menjadi pilihan dan kesukaan si penyambutnya.

Salah satu aksesori atau penghias kek yang menjadi kegemaran dan ikutan ramai ialah cake topper bertema.

Pembuat, penjual produk kraf dan aksesori harijadi, Normi Kahar berkata, bermula sebagai hobi, kerja kraf itu kini menjadi sebagai punca pendapatannya.

Wanita asal dari Slim River, Perak ini mula melibatkan diri dalam aktiviti membuat produk kraf dari kertas kerana beliau suka kepada apa sahaja produk hiasan dan dekorasi melibatkan majlis hari jadi.

“Saya suka dengan dekorasi majlis hari lahir. Ceria, berwarna-warni dan dapat menggembirakan kanak-kanak. Cake topper merupakan focal point item dalam majlis hari lahir. Sama seperti majlis perkahwinan, dekorasi kek selalunya menjadi bahan bualan tetamu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sejak empat tahun lalu wanita berusia 40-an ini berniaga secara dalam talian dengan menggunakan akaun Instagram (IG) Flowerboxmalaysia untuk pelanggan di Malaysia.

Namun sejak berpindah mengikut suami seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan menetap di Nevada, kira-kira tiga tahun lalu, beliau menggunakan akaun Instagram Partybymommy untuk menjual hasil kraf dari kertas buatan tangannya itu bagi pelanggan di sana.

Beliau tidak sangka akan mendapat tempahan membuat cake topper. Permintaan secara tidak disangka itu diterima setelah dihubungi oleh seorang pelanggan dari Malaysia.

Motif kartun kegemaran ramai.

“Mulanya terbit idea untuk mencuba membuatnya apabila pelanggan dari Malaysia menghubungi saya melalui Instagram untuk perniagaan saya di Malaysia iaitu Flowerboxmalaysi. Beliau mahukan tema Toy Story.

“Beliau melampirkan gambar diambil dari Pinterest kepunyaan seorang crafter menetap di AS. Beliau mahu saya meniru gaya pembikinan cake topper tersebut.

“Saya mencari pautan akaun Pinterest asal dari gambar yang diberi. Bermula dari saat itu, saya yakin saya mampu membuatnya,” katanya.

Sentiasa berevolusi
Ibu kepada anak tunggal perempuan ini, berkata hobinya bertukar menjadi bisnes apabila mendapat tempahan seminggu selepas cubaan pertama penyenaraian cake topper pertama secara dalam talian di ETSY USA.

Selain warna, kombinasi hiasan turut memainkan peranan penting dalam penghasilan cake topper.

“Tempahan pertama saya terima April 2020, bertemakan LOL Suprise dari pelanggan di Pennyslyvania.

“Selepas itu bukan satu tetapi lima tempahan saya terima dalam sehari. Dari situ saya memang tahu hobi ini boleh mendatangkan sumber pendapatan.

“Permintaan sentiasa ada kerana setiap hari orang meraikan sambutan hari lahir, satu hari paling istimewa. Jadi orang sentiasa mencari sesuatu istimewa untuk dijadikan kenangan,” katanya yang menerima purata sekitar 100 hingga 120 keping cake topper sebulan.

Kraf paling murah dijualnya berharga USD18. Ia mempunyai reka bentuk yang ringkas, penggunaan warna kertas yang tidak melebihi tiga warna dan hanya mempunyai dua lapisan.

Manakala paling mahal berharga USD28. Ia selalunya mempunyai lebih dari tiga lapisan, merupakan shaker atau mempunyai lampu berkelip.

Bermula dengan lima tema, iaitu LOL Surprise, Sofia The First, Shimmer and Shine, Frozen dan Dinosaur kini beliau mempunyai lebih dari 20 tema dan akan terus bertambah apabila ada rancangan kartun baru di televisyen atau permintaan secara peribadi dari pelanggan.

Katanya trend terkini biasanya seiring dengan rancangan dan filem kartun yang trending.

Dua bulan bina kemahiran
Normi mula belajar membuat cake topper dengan mempelajari cara membuatnya setelah melihat gambar di Pinterest dan video yang ditonton di sosial media.

Selepas mengenal pasti bahan diperlukan Normi belajar mengenai penggunaan mesin dan software menerusi YouTube.

“Saya menghabiskan masa satu hingga dua jam sehari menonton para crafters terkenal di YouTube.

“Saya turut menonton tutorial teknik pembuatan cake topper seperti Shaker Topper, Cake Topper yang berlampu dan bermotor. Oleh kerana minat terhadap kraf kertas, saya hanya mengambil masa dua bulan untuk faham dan mahir,” katanya.

Ternyata usahanya itu berbaloi kerana kraf dihasilkannya itu cantik dipandang dan menepati citarasa pelanggan.

Mengulas mengenai modal, katanya modal permulaan agak besar.

“Paling mahal ialah mesin pemotong kertas. Saya gunakan Brother Scan and Cut yang mana, pada tahun 2020 harganya sekitar USD390 (RM 1,600).

“Selebihnya, alatan seperti gunting, sepit, gam kertas berwarna, manik manik – boleh di beli secara berperingkat,” katanya.

Pada permulaan, Normi hanya membuat cake topper di meja makan di ruangan dapur. Berbekalkan laptop kecil skrin 10 inci (untuk rekabentuk) beliau mula menghasilkan tempahan pelanggan.

Hanya apabila permintaan berkembang, beliau berpindah ke bilik khas dilengkapi meja dan rak yang diperlukan untuk pembuatan dan penyimpanan barang dan alatan.

Idea, rekabentuk, mencabar
Normi mengakui tidak mudah untuk menjadi pembuat dan penjual kraf. Tambahan pula beliau bukanlah orang pertama yang terlibat dalam penghasilan cake topper bertema.

“Di AS ada beribu crafters yang sedia ada menghasilkan benda yang sama. Jadi kesukaran saya ialah dalam menghasilkan reka bentuk lain dari segala cake topper yang sedia ada.

“Selera manusia sentiasa berubah dan rekabentuk ini saya terpaksa ubah setiap enam bulan. Kesukaran lain ialah apabila rekabentuk dan idea diceduk atau ditiru oleh crafter lain,” katanya.

Mendapatkan idea untuk reka bentuk juga tidak semudah yang disangka. Normi terpaksa menonton rancangan televisyen atau filem kartun tersebut untuk mendapat lebih jelas konsep warna, latar belakang, watak dan penceritaan.

Kadangkala beliau turut mendapat idea dari sekeping gambar lalu menukarkan gambar tersebut kepada bentuk 3D.

Bagi memastikan kraf dihasilkan berbeza daripada pesaing, Normi sentiasa meluangkan masa setiap minggu melihat akaun media sosial di Instagram dan Pinterest dengan menggunakan tanda pagar (#).

“Dari situ akan terpapar semua reka bentuk sedia ada dan saya akan mula melakar rekabentuk baru yang masih belum ada di pasaran.

Namun saya sedar satu hari nanti akan ada reka bentuk yang menyerupai rekabentuk yang saya hasilkan.

“Ini tidak dapat dielakkan. Dan saya akan cuba mencari idea lain lagi seperti menokok tambah pada reka bentuk yang sedia ada atau mengubah warna serta saiz,” katanya.

Ada protege di Malaysia
Buat pelanggan dari Malaysia, Normi menjelaskan jika ada yang berminat untuk membeli cake topper rekaannya boleh juga mendapatkannya dari protege beliau di Malaysia.

“Protege saya adalah anak saudara saya yang mempunyai minat dan kemahiran semulajadi. Namun, reka bentuknya agak terbatas kerana di Malaysia, agak sukar mendapat bahan, warna dan jenama yang sama. Kalau ada, harganya terlalu mahal, tidak berbaloi untuk di jual melainkan pelanggan sanggup bayar selepas diberitahu harganya,” katanya.

Bercadang buka kelas
Normi menyasarkan mengadakan kelas untuk membuat cake topper kerana ingin memberi pendedahan kepada umum mengenai hasil kraf kertas sebenarnya memiliki sama nilai dengan pembuatan dan rekaan fesyen pakaian, seni tata rias dan pembuatan makanan.

“Selain itu saya bercadang untuk menjual rekabentuk saya secara digital kerana saya banyak menerima permintaan daripada mereka yang suka DIY (do it yourself), tetapi mempunyai kesukaran dalam rekabentuk menggunakan format SVG dan DXF (vector grafix),” katanya.

Beliau turut berharap suatu hari nanti lebih ramai wanita yang mampu menghasilkan sesuatu yang boleh di niagakan seperti cake topper.

Seperti katanya “Artisan, made by me, not made in China,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya