Bekas graduan UIA bangga lahirkan usahawan suri rumah - Utusan Malaysia

Bekas graduan UIA bangga lahirkan usahawan suri rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pasangan suami isteri yang juga merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Norrizah Hazirah Maulana, 32, dan Mohd Helmi Izani, 31, berbangga kini berjaya melahirkan 12 jutawan yang rata-ratanya merupakan golongan suri rumah.

Menurut Hazirah, menerusi empayar sauna mudah alih, Sumosauna yang dimilikinya sejak empat tahun lalu, ada dalam kalangan usahawan mereka yang telah pun mencapai jualan 1 juta pertama dalam tempoh 11 bulan.

“Kami sebagai graduan UIA, sangat berbangga kerana hasil jualan produk sauna kami mampu melahirkan 12 orang golongan jutawan. Bahkan ada usahawan dibimbing mencapai jualan 1 juta pertama dalam tempoh 11 bulan.

“Mereka itu bermula dari kosong, tapi dibantu dan dibimbing kami sendiri sampai berjaya hingga boleh beli kereta dan rumah idaman.

“Malah saya bangga kerana separuh daripada jumlah jutawan itu daripada golongan suri rumah. Selebihnya daripada golongan bekerjaya seperti cikgu dan jururawat,” katanya.

Selain itu, kongsi Hazirah lagi, dia berusaha untuk membantu lebih ramai golongan suri rumah untuk bergelar usahawan memandangkan cukup memahami situasi dan keterdesakan hidup golongan wanita yang mahu mencari pendapatan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada suami.

Ini kerana, sebelum ini juga, Hazirah pernah menggalas tanggungjawab suri rumah setelah membuat keputusan berhenti kerja di sektor profesional, terdahulu.

“Selepas berkahwin, saya berhenti kerja sebagai pegawai eksekutif. Sempat kerja dalam setahun lebih. Suami ketika itu pun masih belajar di UIA. Saya pula mula berjinak jinak dalam dunia niaga sekitar tahun 2014 selepas cuba nasib jadi agen jual pelbagai jenis produk.

“Awal 2016, saya beranikan diri jual pakaian kanak kanak sendiri. Percaturan berjaya kerana membuahkan hasil namun ada halangan ujian yang mendatang pada tahun 2017, membuatkan kami berdua terduduk seketika,”katanya.

Pasangan suami isteri dan bekas graduan UIA yang kini menaungi empayar Sumosauna, Norrizah Hazirah dan Mohd Helmi.

Menurut Hazirah, bidang perniagaan sentiasa memerlukan seseorang usahawan itu untuk kuat dan tabah dalam menangani ujian apalagi risiko dalam bidang ini sangat besar.

“Pernah pada satu tahap, kami tak ada duit di tangan. Hanya bergantung duit yang ibu bapa berikan kepada cucu mereka. Bahkan, saya dan suami pernah korek duit di setiap penjuru rumah untuk cukupkannya demi nak beli sekilo beras.

“Kereta pernah ditarik sebab enam bulan tak bayar. Bil api dan air kena potong hingga akhirnya keluar dari rumah sewa di Johor,sehelai sepinggang dan tahu tahu arah tuju nak ke mana. Masa itu saya pula sedang hamil anak ketiga,” katanya.

Bagaimanapun, enggan terus menyerah kalah pada nasib yang menimpa hidup, Hazirah sedar dia dan suaminya perlu bangkit daripada kemelut ini.

“Pada November 2018,kami mula tercetus idea menjual sauna mudah alih walaupun suami sebelum itu ada juga ditawarkan kerja dengan gaji yang besar di sebuah syarikat broker.

“Perkongsian saya di Facebook ketika memuat naik entri mengenai suami yang nak kurus dan guna sauna mudah alih mencuri perhatian pengikut. Maka bermulalah pra tempahan hingga kami mengeluarkan jenama sendiri,” katanya.

Menurut Hazirah lagi, dia tidak menolak, berasa bangga kerana hasil usaha dan penat lelahnya dan suami, satu persatu berita gembira mula menerpa mereka yang membuahkan rasa berbaloi di hati.

“Daripada 5 unit sauna mudah alih sebulan terjual, kami akhirnya pernah mencapai jualan 5000 unit. Agen juga bertambah dari lima hingga menjadi 18000 di seluruh Malaysia.

“Tetapi disebabkan saya tak mampu nak uruskan seorang diri, maka telah di ‘paksa’ suami untuk berhenti kerja dan kemudiannya sama-sama jadi pemilik dan pengarah urusan.

“Nak dijadikan cerita, ketika pandemik Covid-19 menyerang dunia, bagai ada hikmah, permintaan produk sauna mudah alih meningkat berkali ganda. Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, kata Hazirah, sauna mudah alih yang diiktiraf sebagai Asia Pacific TOP Excellence Brand 2021/2022 itu kini sedang rancak mengadakan kempen ‘slim sebelum raya’ buat mereka yang ingin tampil menarik dan gemar menjaga kesihatan tubuh badan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.sumosauna.com atau ikuti Instagram @sumosaunahq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN