'Who's By Your Side' ketengah garapan naskhah kemelut rumah tangga - Utusan Malaysia

‘Who’s By Your Side’ ketengah garapan naskhah kemelut rumah tangga

Kaiser Chuang sebagai Zhi-Sheng, dan Vivian Hsu sebagai Yong-Jie menerusi drama bersiri memainkan watak suami isteri dalam drama 'Who’s By Your Side '.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETER Ho, bukan satu nama yang asing dalam dunia hiburan terutamanya di Republik China. Ketika penulis dimaklumkan akan menemu bual bintang kelahiran Los Angeles, California, Amerika

Syarikat itu, teringat ketika zamannya sewaktu aktif sebagai seorang model.

Hampir saja tidak percaya bila penulis akhirnya dapat bersua dengan jejaka itu menerusi maya.

Penulis sudah menyaksikan tiga episod pertama drama siri Who’s By Your Side. Jujur penulis katakan, naskhah nukilan Peter begitu dekat dengan ragam kemelut masyarakat termasuk permasalahan rumah tangga.

Bahkan, banyak pengajaran yang dapat dijadikan teladan menerusi perwatakan yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon ternama seperti Kaiser Chuang, Ning Chang and Vivian Hsu.

Ikuti temubual eksklusif bersama Peter yang menjayakan naskhah bersiri ini bermula 3 Oktober di saluran HBO 411 setiap hari Ahad pukul 9 malam.

PETER HO

Boleh saya tahu apa yang mendorong Peter untuk mengetengahkan ragam kemelut rumah tangga?

Memandangkan saya baru sahaja berkahwin, saya terfikir dan merasakan kenapa tidak ketengahkan saja perihal yang berkaitan rumah tangga.

Selain itu, inspirasi cerita ini asalnya daripada novel seram yang dicadangkan oleh kawan saya. Cuma, saya kurangkan elemen seram dan lebih fokus kepada naratif cerita.

Mengapa Peter tidak kekalkan saja elemen seram dalam naskhah Who’s By Your Side ini?

Sejujurnya saya kurang menggemari elemen seram kerana lebih suka cerita yang menyentuh ragam dan kemelut sesebuah perhubungan antara suami isteri atau pun perihal masyarakat.

Susulan soalan mengenai elemen. Naskhah ini kuat dengan plot dan sub-plot. Sejauh mana kepercayaan dan apa definisi Peter fasal elemen tersebut?

Plot dan sub-plot itu penting tetapi tidaklah keterlaluan sangat sampai lupa peranan watak dan perwatakan untuk menghidupkan jalan cerita. Saya seorang yang lebih pentingkan watak dan perwatakan pelakon tetapi tidak bermakna saya abaikan elemen plot ini.

Peter sendiri pernah berdepan dengan cabaran kesukaran menulis? Contohnya writer’s block.

Cabaran dalam menghasilkan naskhah ini rasanya lebih kepada cabaran keseluruhan produksi dan tekanan menghasilkan olahan skrip dalam tempoh 10 minit kerana kami kesuntukan masa.

Mana tidaknya. Kami menjalani penggambaran ketika pandemik. Jadi banyak hal yang dirombak atas faktor kekangan di luar kawalan kami.

Contoh kena tukar lokasi penggambaran, masalah pencahayaan kurang kena. Tetapi saya bersyukur dan senang hati sebab kami semua bekerja ibarat keluarga, saling melengkapi.

Apakah keunikan atau tawaran yang Peter cuba sampaikan kepada penonton menerusi drama bersiri ini?

Setiap pengarah ada pendekatan mereka sendiri. Kalau kita perhatikan rata-rata naskhah yang ditayangkan selalunya nampak yang positif saja namun kurang memaparkan sisi negatif kecil yang sebenarnya boleh menjadi impak besar.

Jadi dalam Who’s By Your Side ini saya berharap penonton atau mereka yang sudah berumah tangga dapat cermin diri sendiri dan lihat kesan-kesan negatif kecil kalau tidak dipelajari apa akan terjadi? Kebanyakan ramai masyarakat suka cari dan ikut jalan pintas.

Peter sudah berkecimpung dalam dunia seni sejak dua dekad lalu. Kenapa baru sekarang mahu bergelar pengarah?

Saya sudah berlakon pelbagai watak dan perwatakan menerusi drama dan filem. Tiada apa yang cuba saya nak buktikan seperti tanggapan orang sudah puas berlakon jadi pengarah pula.

Bukan begitu, sejak zaman universiti lagi saya memang pasang impian selain bergelar pelakon mahu jadi pengarah. Tetapi biarlah satu demi satu selepas saya sudah garap pengamalan sebagai pelakon. Kini sudah tiba masa yang sesuai untuk saya mengarah pula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya