PETALING JAYA: Pengasas kumpulan rock indie terkenal, Herri Hamid Bittersweet (BTSWT) mengumumkan secara rasmi pembubaran kumpulan tersebut setelah hampir 17 tahun menghiasi industri muzik tanah air.
Menerusi entri Instagram, Herri memuat naik satu video yang memaparkan ‘moment’ perjalanan band berkenaan mewarnai industri muzik tanah air sejak tahun 2004.
“Alhamdullah, 17 tahun bukanlah sekejap untuk dihitung. Jika dikira ukur waktu, ia sudah cukup matang sebagai seorang insan. Tetapi, apakan daya, kita hanya mampu merancang, hanya dia yang menentukan.
“Hari ini, di hari kelahiran yang ke-39, saya sebagai pengasas band BTSWT mengambil keputusan untuk berhenti berjuang sebagai sebuah kumpulan,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, walaupun ia merupakan satu keputusan yang berat untuk dibuat, namun menyifatkan langkah tersebut bagi memberi laluan buat anggota kumpulan yang lain merancang perjalanan masa hadapan mereka tanpa terikat dengan BTSWT.
“Sudah tiba waktunya untuk kami semua, tidak kira berisan baharu atau lama. Untuk menerusikan kelangsungan hidup masing-masing tanpa terikat dengan BTSWT.
“Jatuh bangun saya bersama BTSWT, tidak akan dilupakan. Semua perjalanan, pengalaman pahit dan manis yang tidak dapat diluahkan selama 17 tahun,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Herri turut berkesempatan untuk merakam ucapan penghargaan buat semua pihak yang telah menjadi tulang belakang band tersebut selama ini.
“Terima kasih kepada anda semua, tidak kira sesiapa yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Tiada kata yang mampu saya ucapkan untuk anda semua.
“Saya memohon maaf atas semua kesalahan dari diri saya kepada semua yang pernah berkhidmat dengan BTSWT. InsyaAllah, suatu masa nanti saya akan meneruskan minat dalam muzik dan scene. Teruskan menyokong muzik Malaysia,” coretnya panjang.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat kumpulan itu menzahirkan perasaan sedih dan menzahirkan ucapan terima kasih buat mereka kerana telah menghiasi zaman remaja mereka.