Eksesais Bersama Gold 2021 berjaya - Utusan Malaysia

Eksesais Bersama Gold 2021 berjaya

Pesawat Sukhoi 30MKM TUDM mengetuai formasi pesawat pejuang FPDA dan kapal selam TLDM, KD Tun Razak serta kapal perang negara-negara FPDA dalam Eksesais Bersama Gold 21 di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di Laut Cina Selatan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemampuan Malaysia untuk menganjurkan eksesais berskala besar ketika era pandemik Covid-19 beberapa hari lalu boleh dianggap sebagai pemangkin dan asas dalam pelaksanaan latihan ketenteraan norma baharu ketika ini.

Dalam masa yang sama, kejayaan penganjuran latihan ketenteraan yang dikenali sebagai Eksesais Bersama Gold 2021 di bawah Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Ia sempena ulang tahun ke-50 penubuhan jalinan kerjasama itu juga dilihat telah menjadi satu penanda aras yang baharu dalam bidang pertahanan di peringkat antarabangsa.

Perkara itu diakui oleh Pengarah Eksesais Bersama Gold 2021, Laksamana Pertama Shaiful Nizam Abdul Manan ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Sistem Pertahanan Udara Berintegrasi (HQIADS) di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

SHAIFUL NIZAM ABDUL MANAN

Katanya, secara umumnya, semua objektif yang disasarkan ketika eksesais yang pertama kali dijalankan tanpa sebarang bentuk sentuhan itu tercapai. Ini termasuk kemampuan melaksanakan 73 siri latihan membabitkan aspek peperangan antikapal selam, antipermukaan, antiudara dan peperangan elektronik dalam tempoh 10 hari di laut iaitu antara 8 hingga 18 Oktober lalu

“Alhamdulillah, semua latihan berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang tempoh tersebut walaupun boleh dikatakan semua aktiviti perbincangan ketika itu dijalankan secara telesidang video sahaja

“Ini bermaksud, setiap peserta telah diletakkan dalam eksesais bubble atau gelembung latihan mengikut negara masing-masing di lokasi-lokasi yang telah ditentukan dan tidak ada sebarang interaksi bersemuka yang berlaku seperti sebelum ini,” katanya

Terdahulu, eksesais yang dilaksanakan secara tahunan itu dirasmikan pembukaannya oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad di Butterworth pada 5 Oktober lalu.

Selain Angkatan Tentera Malaysia melalui Markas Angkatan Bersama yang bertindak selaku tuan rumah, empat negara FPDA lain yang turut serta ialah Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom (UK) dengan melibatkan lebih 2,000 anggota tentera secara keseluruhannya.

Yazid Arshad (kanan) bersama wakil setiap negara peserta Eksesais Bersama Gold 2021 di Auditorium Headquarters Integrated Air Defense System, Butterworth, Pulau Pinang.

Aset-aset yang terlibat dalam kali ini pula termasuk 25 pesawat pejuang, enam pesawat bantuan tentera, enam helikopter, 10 kapal perang serta sebuah kapal selam di kawasan Zon Eksklusif Ekonomi Malaysia di Laut China Selatan.

Dilaksanakan dalam empat fasa mulai 26 September lalu, fasa kedua iaitu antara 8 hingga 16 Oktober dianggap terpenting kerana melibatkan beberapa siri latihan peperangan yang meliputi Latihan Integrasi Pasukan (FIT) dan Latihan Peperangan (Warex)

Mengenai eksesais tersebut, kata Shaiful Nizam, ia juga boleh dianggap sebagai satu-satunya platform yang dimiliki oleh ATM untuk menguji kecekapan dan melatih para pegawai serta anggota tentera dalam latihan perang konvensional berskala besar ketika ini.

“Kita berlatih seolah-olah berada dalam suasana perang yang betul…menggunakan aset-aset maritim dan udara kelima-lima negara dengan penumpuan juga diberikan terhadap aspek-aspek keboleh operasian antara aset-aset tersebut

“Meskipun berdepan dengan kekangan pandemik, tahun ini menyaksikan beberapa negara peserta membawa aset-aset utama masing-masing. Australia contohnya, dengan kapal pengangkut helikopter, UK dengan kapal destroyer (pemusnah) dan sebagainya. Di situlah signifikannya eksesais kali ini,” ujar beliau

Shaiful Nizam juga sempat menitipkan kesimpulan dalam key takeaways atau pengajaran penting sepanjang 10 hari eksesais itu kepada negara peserta dalam majlis penutup baru-baru ini.

“Tiga perkara saya tekankan pada masa itu iaitu perihal kerjasama, keboleh operasian dan jaringan integrasi setiap aset yang terlibat dalam mengatasi setiap jurang operasi yang telah dikenalpasti sewaktu latihan; Doktrin dan Prosedur FPDA iaitu untuk menajamkan lagi kemahiran dalam aspek peperangan dan terakhir tentang kaedah menangani Covid-19 serta mengadaptasikannya dalam norma baharu aktiviti ketenteraan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyanggah pandangan sesetengah netizen khususnya yang agak pesimis ketika memberi komen dalam media-media sosial berkenaan pelaksanaan eksesais berskala besar seperti ini

“Biasalah, dalam positif, pasti ada pandangan negatif dan ada juga yang begitu provokatif dengan mengandaikan sepekulasi yang tidak berasas tentang keamanan dan kestabilan di rantau ini”

“Sebenarnya, komen-komen ini tak perlu dibuat kerana latihan bersama ini telah dijalankan hampir setiap tahun sejak 50 tahun lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya