Beberapa hari lepas, saya sempat menemuramah dua warga asing di Kuala Lumpur yang berasal Rusia dan Kazakhstan. Awalnya, saya sekadar mahu tahu pengalaman mereka berkelana di sini.
Namun, cerita dua sekawan itu membuatkan saya kagum dan bangga, sekaligus mahu berkongsi dengan pembaca Utusan Malaysia.
Faktanya, masih terdapat sebahagian warga asing dalam kalangan ‘mat salih’ yang hormat tanah air kita.
Alina Nikolaeva berasal Nakhodka, Rusia menetap di Malaysia lebih 16 tahun lalu.
Setelah jatuh cinta dengan jejaka tempatan, beliau mengambil keputusan untuk menetap di sini.
“Saya sayang Malaysia dan sentiasa berusaha menghubungkan kedua-dua negara ini menerusi seni dan lukisan,” katanya.
Kecintaan terhadap seni, membulatkan tekadnya menubuhkan syarikat mengajar melukis untuk warga Malaysia dan asing.
Setiap lukisan mesti ada unsur Malaysia, Rusia dan dunia supaya dapat menikmati kepentingan kepelbagaian negara dan bangsa.
Antara aktiviti melukis bersama penduduk tempatan dianjurkan ialah Hari Malaysia bersama lebih 100 kanak-kanak orang Asli di Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah, Perak dan sambutan Hari Merdeka bersama anak-anak yatim piatu di Kota Damansara.
Keghairahan Alina terhadap seni membolehkannya memenangi beberapa acara utama di Rusia seperti juara pertandingan Warna-Warni Rusia 2020 dan Wanita Dalam Warna 2021.
Terkini, anak muridnya yang berusia sembilan tahun pula sedang menyertai pertandingan Seni Antarabangsa di Australia.
Wanita Rusia berambut perang ini berjaya menamatkan pengajiannya dalam Sarjana Seni di IMBI, Berlin, Jerman dan sekarang sedang mempelajari terapi seni secara dalam talian dengan Universiti Oxford.
Istimewa mengenai Alina kerana dia sentiasa berusaha mempelajari sesuatu tentang Malaysia. Semuanya kerana ingin menjadi sebahagian daripada keluarga Malaysia.
Terkini, beliau sedang belajar menguasai bahasa kebangsaan supaya dapat berinteraksi lebih baik denagn penduduk tempatan.
Perunding imej
Sementara itu, perunding imej, Dana Omarova miliki cerita berbeza. Berasal dari kota Karagandy, Kazakhstan, dia mahu menonjolkan pemakaian Malaysia yang unik dan pelbagai daripada segi warna dan penggayaan.

Bahkan pakaian kebangsaan berbeza itulah mencerminkan kepelbagai budaya dan identiti.
“Saya sangat menghormati selera wanita tempatan yang suka memakai pakaian kebangsaan walaupun sedang bekerja. Ini menunjukkan betapa pentingnya budaya dalam kehidupan seharian mereka.
“Dalam keluarga kami, gaya Melayu juga sangat penting memandangkan arwah suami saya adalah seorang Melayu. Sekarang, saya cuba menyambung budaya ini kepada anak-anak.
“Saya juga menyukai batik dan sering menghadiahkannya kepada keluarga dan rakan di Kazakhstan,” kata pemegang ijazah sarjana kejuruteraan ini.
Alina dan Dana adalah contoh mereka yang diperlukan di Malaysia kerana mereka bukan sahaja menghormati negara dan bangsa kita tetapi turut sama menghayatinya budaya masyarakatnya.
Ikuti perkembangan mereka berdua di Instagram rasmi mereka, Art and Craft Studio (an8global).










