PETALING JAYA: Suami kepada pelakon dan pengacara terkenal, Mira Filzah, Wan Emir Astar mencoretkan ucapan teristimewa buat isteri tercintanya sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama.
Menurut Emir, dia menzahirkan rasa syukur dan kini semakin percaya bahawa mereka sememangnya ditakdirkan untuk saling melengkapi antara satu sama lain, selepas setahun melayari bahtera perkahwinan.
“Setahun bersama syurgaku, Mira Filzah, dan ya memang cinta saya, kami saling melengkapi. Syukur Alhamdulillah.
“Selamat ulang tahun perkahwinan temanku dunia dan akhirat,” tulisnya di Instagram.
Dalam pada itu, Emir sempat merakam ucapan terima kasih buat semua pihak yang mendoakan kesejahteraan perkahwinan mereka berdua.
“Terima kasih kepada sahabat-sahabat semua atas ucapan dan doa buat kami berdua. Moga Allah memberkati kalian semua dengan segala kebaikan yang didoakan buat kami juga.
“Dan tidak terkata terima kasih Emir dan Mira buat ibu, mak serta abah atas restu mereka. Kasihanilah mereka Ya Rabb,” katanya.
Menerusi entri Instagram Mira pula, dia turut memuat naik satu hantaran video yang memaparkan detik-detik mereka sepanjang bergelar suami isteri.
Sebagai informasi, pasangan dua sejoli itu mendirikan rumah tangga pada tanggal 3 September 2020.