SEJARAH kebebasan wanita dari segi hak dan kebajikan di Indonesia tidak dapat dipisahkan dengan perjuangan Raden Ajeng Kartini Djojo Adhiningrat atau lebih dikenali dengan nama R.A. Kartini.
Dilahirkan pada 21 April 1879 di Jepara, Jawa Tengah. Kartini berasal daripada keluarga bangsawan Jawa yang terkemuka.
Bapanya, Raden Mas Asipati Ario Sosriningrat adalah ketua daerah Jepara yang masih mempunyai keturunan dari Dinasti Mataram.
Dipetik dari buku Biografi Pahlawan Nasional R.A. Kartini (2008), ibunya bernama M.A. Ngasirah iaitu seorang guru mengaji.
Berdasarkan salasilah keluarganya, Kartini merupakan anak kelima dari 11 orang adik beradik, termasuk adik tiri.
Datuk Kartini iaitu Pangeran Condronegoro merupakan antara generasi awal dalam kalangan orang Jawa menerima pendidikan Barat dan menguasai bahasa Belanda dengan sempurna.
PERJALANAN HIDUP
Biarpun dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga bangsawan, ibu bapa Kartini masih berpegang teguh dengan tradisi termasuk mengenai peranan wanita dalam kehidupan.
Kartini hanya memperoleh pendidikan sehingga berusia 12 tahun di Europese Lagere School (ELS).

ELS adalah sekolah asas milik pentadbiran Hindia Belanda untuk anak-anak Eropah, keturunan timur asing dan penduduk tempatan daripada kalangan bangsawan.
Bapa Kartini memintanya supaya tidak melanjutkan pelajaran selain tidak dibenarkan keluar rumah sesuka hati mengikut tradisi Jawa.
Selama ‘dikurung’ di rumah, Kartini mula menulis surat kepada beberapa temannya yang berasal dari Eropah.
Kesemua surat yang ditulis Kartini, turut dibukukan dan diterjemahkan menerusi karya penulisan berjudul Habis Gelap Terbitlah Terang.
Sebelum menginjak usia 20 tahun, Kartini juga sudah didedahkan dengan buku-buku karya Louis Coperus, Multatuli dan Frederik van Eeden.
Kartini juga amat meminatii novel tulisan Goekoop de-Jong van Beek dan kesemua buku yang dibacanya dalam bahasa Belanda.
PERKAHWINAN
Kartini mengikat tali perkahwinan dengan ketua daerah Rembang, K.R.M. Adipati Ario Singgih Djojo Adhiningrat pada 12 November 1903. Ia adalah atas permintaan bapanya.
Biarpun perkahwinan itu berlangsung atas paksaan, suami Kartini tidaklah seburuk yang disangka apabila terus menyokong keinginan isterinya untuk memperjuangkan hak wanita Indonesia.
Suaminya turut menyokong dan membantu Kartini menguruskan sekolah untuk pelajar perempuan.
Sepanjang perkahwinan, Kartini dan suaminya dikurniakan seorang anak lelaki, Soesalit Djojoadhiningrat.
Bagaimanapun, Kartini tidak sempat menyaksikan anaknya dewasa apabila beliau meninggal dunia empat hari selepas melahirkan Soesalit, iaitu pada 17 September 1904.
Ketika itu, Kartini baru berusia 25 tahun dan beliau dikebumikan di Desa Bulu, Rembang.
PERJUANGAN KARTINI
Selepas Kartini meninggal dunia, J.H. Abendanon yang ketika itu merupakan Menteri Kebudayaan, Agama dan Industri Hindia Timur mengumpul dan menerbitkan semua surat yang ditulis Kartini kepada rakan-rakannya di Eropah.

Kemudian, buku Habis Gelap Terbitlah Terang diterbitkan pada 1911 dan dicetak untuk lima edisi, selain diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.
Penerbitan buku itu menarik minat Belanda dan idea Kartini mula mengubah bagaimana negara itu melihat wanita Jawa di Indonesia.
Malahan, bait-bait surat tulisan Kartini dan ideanya mencetuskan inspirasi kepada banyak tokoh perjuangan kemerdekaan Indonesia.
PEMIKIRAN KARTINI
Menerusi surat-surat yang ditulisnya, Kartini menceritakan pandangan beliau tentang keadaan sosial yang wujud ketika itu, terutamanya situasi wanita Indonesia.
Kebanyakan suratnya membantah tradisi Jawa yang menyekat pembangunan golongan wanita kerana beliau mahu semua kaum hawa mempunyai kebebasan untuk belajar.

Kartini juga menzahirkan harapannya menjadi seperti golongan belia di Eropah yang diberi kebebasan untuk menerima pendidikan.
Beliau turut menggambarkan penderitaan yang dialami wanita Jawa dek terbelenggu dengan tradisi, terpinggir dan dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali.
Sebagai memperingati jasa dan sumbangannya, kerajaan Indonesia menetapkan 21 April setiap tahun sebagai Hari Kartini.










