Suami isteri gila kucing - Utusan Malaysia

Suami isteri gila kucing

NIK Mustafa Almuai menjinakkan kucing peliharaannya di Taman Perumahan Darul Salam, Pasir Puteh, Kelantan. -UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK semua orang minat memelihara kucing. Apa lagi kiranya tidak tahan dengan tabiat sesetengah kucing yang gemar buang najis dan muntah di merata-rata tempat.

Sekalipun, diasuh sejak kecil untuk membuang air dalam bekas khas, kucing jantan tetap kencing di merata tempat jika tidak dikurung.

Ini memang tabiat mamalia karnivor sabspesies catus ini bertindak sedemikian pada musim mengawan selain rutinnya menanda kawasan penguasaannya.

Terdapat 33 jenis baka kucing di seluruh dunia. Yang paling popular dengan nilaian harga paling tinggi ialah kucing berbulu pendek Amerika (ASH), kucing Abisinia, Bali, Benggal, Birman, kucing berbulu pendek British (BSH), Burma, Burmilla, Chincilla, Cornish Rex, Devon Rex, Moggie, kucing bulu pendek eksotik dan pelbagai lagi.

Individu yang kaki pelihara kucing sanggup berbelanja ribuan ringgit termasuk membeli induk luar negara dengan harga yang mahal.

Bagi yang tidak berkemampuan membeli kucing dengan harga ‘kayangan’ mereka akan membeli anak kucing dari induk asal yang dibela tanpa perlu berbelanja lebih.

Namun harga anak kucing lepas susuan masih bernilai RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada baka induknya.

Pasangan suami isteri, Nik Mustafa Almuai, 50, dan Nazibah Yaakub, 48, dari Taman Perumahan Darul Salam, Pasir Puteh, Kelantan menjadikan rumahnya bagaikan ‘syurga’ buat kucing sama ada baka yang dibeli mahupun kucing jalanan yang dipungut.

Menurut Nazibah, suaminya menyediakan kediaman khas kepada kucing peliharaannya dari spesies BSH, Benggal, American Curl, Garfield, Dorty selain kucing kampung dan kucing kacukan tempatan.

NAZIBAH YAACOB bersama kucing kesayangannya BSH yang bernilai RM6,000 dibela dalam rumah kucing yang dibina khas.

“Satu ruang bilik di belakang rumah seluas 3.6 meter x 9.14 meter dibina khusus untuk kucing. Ia sudah dihuni oleh kucing berkenaan namun masih belum siap sepenuhnya terutama hiasan dinding luar bilik yang tergendala kerana pandemik Covid-19.

“Langkah ini telah menukar status pemeliharaan haiwan kesayangan dari sistem sangkar kepada konsep yang lebih selesa iaitu indoor,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di rumahnya baru-baru ini.

Nazibah yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Pasir Puteh berkata, setakat ini lebih RM10,000 sudah dibelanjakan untuk membina bilik tidak termasuk cadangan untuk melengkapkan pendingin suhu bagi keselesaan kucing baka Eropah.

Hobi ini, katanya, sudah berbelas-belas tahun dia memelihara kucing-kucing kampung sebelum mendapatkan baka yang lebih menarik dan anggun.

“Kucing jalanan yang sakit turut dikutip, diberi makan dan dirujuk kepada doktor veterinar. dipelihara sehingga sihat, montel dan gemuk. Lazimnya, kucing ini dibuang oleh pemilik asalnya.

“Kebanyakan kucing jalanan yang kembali sihat akan hilang diambil orang ketika bermain-main di luar rumah. Tak mengapa, saya halalkan asalkan orang yang mengambilnya memberi kasih sayang yang sepenuhnya dan tidak membuangnya lagi,” ujarnya.

Nazibah berkata, diet untuk kucing perlu diberi fokus utama untuk melihat ia sentiasa sihat dengan memilih makanan yang berzat selain suntikan vaksinasi untuk mencegah penyakit serta alahan.

Paling tidak, katanya, menu labu dan ayam rebus yang dicampur dengan telur kuning juga penting untuk mengawal keguguran bulu selain memastikan tiada jangkitan kurap dan kutu.

“Kucing paling mahal yang saya bela setakat ini ialah baka Maine Corn. Ia dibeli ketika lepas susuan ibunya bernilai RM2,500 seekor.

“Ia kini dibela oleh anak saya di Kuala Lumpur selain sepasang kucing Benggal yang dibeli dengan harga RM2,200 pada Mac tahun lepas,” ujarnya.

Kucing spesies BSH senang diasuh dan gemar bermanja dengan pemiliknya.

Harga kucing sama kereta mewah

Harga seekor kucing boleh mencecah belasan ribu ringgit bergantung kepada keaslian bakanya, keunikan dan jarang ditemui di sesuatu tempat.

Sepuluh senarai ranking harga kucing paling mahal: – British Shorthair antara RM2,000 hingga RM6,500 seekor. Scottish Fold (RM800-RM12,800), Sphynx iaitu kucing telinga panjang tanpa bulu (RM1,280-RM12,800), Russian Blue (RM1,700-RM12,800), Peterbald kucing tanpa bulu dari Rusia (RM5,000-RM20,000), Parsi (RM2,100-RM23,500), Allerca Hypoallergenic (RM25,500), Benggal (RM4,300-RM106,000), Sanavah (RM6,400-RM212,00) dan Ashera bernilai RM64,000 hingga RM426,000.

Di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kelantan, seorang suri rumah dikenali sebagai Kak Yah, 35, membantu mengurus kegemaran bapanya menternak kucing Benggal dalam sangkar yang diletakkan di ruang hadapan rumahnya.

KAK Yah yang juga pemilik benggal bersama seorang pembeli di Kampung Baung, Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, sudah berbelas tahun kucing Benggal baka asli yang berbulu mirip harimau itu dibelai dan beranak pinak sehingga terpaksa mempromosi jualan anak lepas susuan bagi mengurangkan bilangannya. Selain itu, bagi mencari sumber pendapatan menampung kos makanan dan rawatan.

“Anak yang bercerai susuan berusia tiga bulan dijual minimum RM300 seekor. Kebanyakannya antara dua hingga empat beradik yang lahir daripada seekor ibu. Istilah kami bukan jual beli tapi disebut ‘pindah rumah’.

“Benggal marble dan benggal mozek sering menjadi buruan peminat kucing untuk dipelihara. Gelagat macam kucing hutan atau harimau bintang yang tangkas dan gemar memanjat tinggi. Ia perlu disangkarkan kerana kemungkinan akan hilang kerana semua orang mengetahui nilai harganya. Ada yang setanding sebuah kereta mewah,” ujarnya.

Sementara itu, di Bachok, seorang pemuda Shahrul Fikri Samsuri yang cintakan haiwan sentiasa meluangkan masa selama satu jam bermanja dan menjamu 100 kucing terbiar di Pantai Irama setiap hari sejak lebih setahun lalu.

SHARUL Fikri Samsuri bersama kucing jalanan yang terbiar di Pantai Irama, Bachok, Kelantan.

Dia turut mendapat sumbangan makanan kucing daripada Pertubuhan Haiwan Kota Bharu selain membelanjakan wang sendiri lebih RM500 sebulan.

Kucing jalanan yang dibelainya itu semakin jinak dan memiliki nama masing-masing yang akan menghampiri Shahrul apabila dipanggil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya