PETALING JAYA: Penyanyi, Amira Othman menitipkan nasihat agar remaja perempuan tidak meletakkan lelaki sebagai tujuan hidup sebaliknya memberi tumpuan kepada pendidikan untuk masa hadapan yang baik.
Amira, 27, yang menjawab soalan peminat di Instagramnya berkata kaum perempuan perlu berdikari dan elakkan perasaan takut jika ditinggalkan lelaki.
“Pertamanya, lelaki bukan tujuan hidup kita semata-mata. Kalau awak ini muda lagi, masih sekolah atau belajar lebih baik fokus untuk capai semua awak nak dalam hidup.
“Cari duit, hidup berdikari ok walaupun perempuan! Lepas itu kalau dia (pasangan) tak nak hargai sepanjang perhubungan, biarkan dia. Dia tinggalkan awak cari lain ok?
“Kumbang bukan seekor, jodoh ini Allah yang tulis nama. Sama macam ajal. Jangan risau-risau sangat. Adalah itu yang terbaik, yang bersesuaian,” tulisnya.
Terdahulu, Amira diminta seorang peminat untuk memberikan pandangannya tentang cara yang perlu dilakukan seorang perempuan dalam berdepan pasangan yang sering bergurau ingin meninggalkan perhubungan.
Dalam pada itu, bercakap tentang cabaran di kala pandemik, Amira berkata dalam keadaan tidak menentu ketika ini, dia banyak berjimat dan menguruskan kewangannya sebaik mungkin demi kelangsungan hidup.
“Seperti orang lain, saya juga turut terkesan. Sekarang ini saya bergantung harap kepada pihak pengurusan untuk mencari kerja-kerja mempromosikan kempen di media sosial.
“Kalau ada rezeki di situ, adalah. Kalau tak ada, memang kena hidup dengan duit simpanan yang tidaklah banyak ini secara berpada-pada,” katanya lagi.
Selain itu juga, penyanyi lagu jaga-jaga ini ini sering mengingatkan diri sendiri bahawa banyak lagi orang yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Tindakan itu membuatkannya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada dan tidak melatah dengan ujian hidup.
“Saya kena selalu ingat, banyak lagi orang yang susah. Apalah sangat ujian yang saya hadapi ini berbanding mereka di luar sana.
“Saya kena letak rasa syukur walaupun mungkin saya terjejas dari segi pendapatan. Harapnya, ada rezeki dari sudut yang lain,” ujarnya.