Kembali ke pentas selepas 18 tahun ‘tutup buku’ - Utusan Malaysia

Kembali ke pentas selepas 18 tahun ‘tutup buku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dekad 90-an, penghibur sensasi ini antara artis yang kerap menghiasi media tempatan. Popularitinya bukan kerana kontroversi, tetapi paparan bakat yang dimiliki.

Walaupun ada ketika kisah peribadi serta imej seksinya dijadikan topik bualan, namun penyanyi ini tidak pernah melatah. Dia sekadar ambil sikap tidak peduli dengan kritikan yang diterima. Baginya setiap apa yang dipersembahkan jujur terbit dari hati nurani tanpa dipengaruhi insan lain.

Setelah berumah tangga segalanya berubah. Walaupun masih aktif menghiburkan peminat namun sudah ada had dan batasan. Ada perkara yang perlu dijadikan sempadan kerana ketenangan yang hadir membuatkan dia lebih menginsafi dan bermuhasabah dalam meniti kehidupan mendatang.

Bersama Mingguan Malaysia, empunya nama Datin Ramziela Razillah, 55, yang pernah mendapat jolokan Tina Turner Malaysia ini berkongsi cerita kisah suka dukanya sepanjang bergelar artis serta karier yang dimilikinya hari ini.

“Seawalnya saya merupakan penyanyi kelab dan hotel serata Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Singapura. Di sinilah karier nyanyian saya secara komersial bermula apabila ditawarkan menjadi artis rakaman oleh Datuk Ramli MS dan Nicky Ooi (Headwind) yang kebetulan menonton persembahan saya ketika itu.

“Saya ke Kuala Lumpur untuk proses rakaman. Berkat kesungguhan, maka lahirlah album pertama bertajuk Hati Seorang Wanita yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SRC. Walaupun ketika itu wujud persaingan dengan artis sezaman seperti Dilla Hussein, Shima dan puluhan kumpulan rock yang ada di pasaran. Namun sama sekali tidak mematahkan semangat saya untuk melakar nama,” katanya membuka perbualan.

Sebagai penyanyi yang berada di dua platform berbeza, dia tidak menafikan pendapatan yang diterima agak lumayan. Namun apabila nama mendaki populariti pastinya ada perancangan di masa hadapan untuk melaksanakan yang lebih terbaik daripada apa yang dimiliki ketika itu.

Berhijrah ke syarikat rakaman baharu, Redifussion, dia membalas kepercayaan yang diberi apabila berjaya melahirkan dua album studio termasuk album kompilasi sebelum mengorak langkah melebarkan sayap melalui syarikat miliknya sendiri iaitu, Ramziela Production.

Melihat apa yang dirancangkan mampu memberi kelebihan buat dirinya, dia cuba mencari kelainan untuk mempersembahkan sesuatu yang terbaik buat peminat. Namun kekangan kewangan ketika itu membantutkan hasratnya. Album Mencari Cahaya yang diterbitkan oleh Allahyarham Arab dan Man Kidal, tergendala hampir dua tahun sebelum berjaya diterbitkan. Pasaran albumnya juga terganggu gara-gara wujudnya kesulitan dalam rangka promosi dan pengedaran.

“Setelah berumah tangga saya ‘tutup buku’. Hampir 18 tahun saya bersara daripada bidang nyanyian. Suami memang tak beri menyanyi. Dia mahu saya tumpukan pada perniagaan dan rumah tangga sahaja.

Rayu bantuan buat rakan-rakan yang terkesan

“Saya kemudiannya buka perniagaan restoran Misi Café di Bukit Jelutong. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan. Restoran tersebut bukan sekadar tempat menjamu selera malah sering ditempah untuk pelbagai acara keraian termasuk perkahwinan kerana keluasannya mampu memuatkan lebih 3,000 tetamu.

“Jadi bila mereka buat function di situ, adalah yang request minta saya menyanyi, kiranya macam pakejlah. Jadi, pendekkan cerita akhirnya dapatlah green light daripada suami,” katanya tertawa.

Setelah hampir lima tahun menjalankan perniagaan di situ, dia kemudiannya berpindah lokasi di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Premis yang diberi nama Ramziela Delights sekali lagi menjadi tumpuan pelanggan, namun panas yang disangka berlarutan hingga ke petang akhirnya disirami hujan di tengah hari.

Hampir empat tahun beroperasi, akhirnya pandemik Covid-19 memusnahkan segalanya. Terkesan dengan apa yang melanda dia nekad mencari jalan agar apa diusahakan tidak bernokhtah.

“Sedih bila kenangkan apa yang berlaku. Gara-gara pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terpaksa korbankan perniagaan sedia ada. Tidak mampu untuk saya tanggung kos gaji pekerja yang mencecah RM28,000 serta RM18,000 untuk sewa dan utiliti setiap bulan.

“Setahun juga saya menganggur sebelum bermula semula pada awal tahun ini dengan membuka perniagaan di Hawkers Avenue@ The Paddock yang terletak di Sungai Way. Namun baru saja beberapa bulan beroperasi , sekali lagi kes harian melonjak dan terpaksa tutup sehingga hari ini.

Rasa terkilan juga kerana lokasi ini merupakan one stop centre yang menyediakan pelbagai tempat riadah termasuk track go-kart, dewan konsert, kedai serbaneka serta 30 gerai makanan,”jelasnya.

Masih mengekalkan resipi dan menu kesukaan pelanggan antaranya, Asam Pedas Muar, Bubur Teochew, kacang pool, mee kari dan Swedish Meatball, dia berharap agar perniagaan yang tertangguh ini mampu diteruskan sebaik tamatnya pandemik yang melanda negara ketika ini.

Walau hilang mata pencarian, namun dia tetap memanjatkan rasa syukur ke hadrat ilahi kerana perniagaan syarikat keselamatan yang dijalankan bersama suami selama ini masih beroperasi seperti biasa dan banyak membantu kehidupannya ketika ini.

Bertindak sebagai Pengarah Eksekutif, dia kini sibuk menguruskan beberapa cawangan di serata tanah air dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan mampu mencapai piawaian dan standard yang diinginkan pelanggan.

Pelantun lagu Gemilang Cinta ini berterus terang dan tidak mampu menyembunyikan rasa sedihnya taktala melihat segelintir rakan terdekat yang terkesan dan tidak mampu mencari rezeki seperti sebelum ini.

“Walaupun perniagaan yang saya dan suami jalankan ini masih sukses, namun masih ada risiko yang perlu ditanggung. Contohnya, bila ada syarikat-syarikat yang merupakan pelanggan kami sebelum ini sudah tamatkan operasi, jadi terpaksalah cari jalan untuk transfer pekerja ini ke lokasi lain, atau terpaksa hantar mereka pulang ke negara masing-masing.

“Tidak dinafikan setiap pekerjaan hari ini semuanya berisiko terutamanya rakan-rakan seni yang selama ini bergantung kepada gaji harian. Bila tak boleh buat show dan sebagainya memang susah. Saya faham situasi dan kesusahan mereka,” katanya.

Membantu rakan-rakan artis yang terkesan merupakan perancangannya ketika ini. Konsert Artis Voice Of Legend (AVOL) dan Konsert Maya Pandemik yang di buat secara atas talian bersama beberapa rakan artis 90-an seperti Ameng Spring, Ibnor Riza Hasnol, Roy dan Rahmad Mega adalah platfiorm terbarunya.

“Saya rayu kepada rakan-rakan artis yang berkemampuan supaya hulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan terutamanya buskers, pemuzik belakang tabir dan mereka yang sedang dihimpit kesusahan. Mereka memang tiada income. Kalau berkemampuan hulurlah sedikit sumbangan. Mungkin hari ini hari mereka, esok lusa kita tidak tahu lagi.

“Saya juga cuba membantu sedaya mungkin. Setiap kali buat show saya letak nombor akaun kepada sesiapa yang ingin menyumbang. Berapa yang dapat saya cuba agih dan kongsi bersama. Sekurang-kurangnya lepas juga belanja dapur untuk mereka dan keluarga,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya