Rakyat Malaysia terkenal dengan budaya timur yang lemah lembut dan kesantunan yang tinggi. Terbukti daripada prinsip-prinsip Rukun Negara yang menunjukkan kepada sifat sebenar rakyat kita yang percaya kepada Tuhan, setia kepada raja dan negara, memartabatkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang dan sopan serta bertata susila.
Namun, semasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada PKP 1.0, PKP 2.0 dan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa sekarang, setiap hari dilaporkan berlaku perlanggaran arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bahkan, masih ramai yang dikompaun kerana pelbagai kesalahan. Sama ada dari kalangan individu, syarikat atau badan-badan tertentu yang berwibawa. Termasuklah kedai-kedai runcit, pusat-pusat beli-belah dan kilang.
Sebagai warganegara yang kuat mendokong perlembagaan dan undang-undang negara, tidak sepatutnya berlaku perlanggaran peraturan dan SOP apatah lagi jika ia berlaku secara sengaja. Seolah-olah mencabar pihak penguatkuasa.
Walaupun beberapa peraturan dan SOP agak ketat, tetapi ruang pengecualian untuk kes-kes tertentu tetap ada. Oleh itu, kes melanggar SOP secara sengaja sepatutnya tidak patut berlaku.
Pihak penguatkuasa juga pastinya tidak mengambil tindakan tanpa usul periksa, bahkan dengan alasan dan bukti yang kukuh. Biasanya apabila sudah tiada ruang untuk budi bicara atau jika berkaitan dengan keselamatan negara.
Setiap peraturan yang diwartakan semestinya telah mengambilkira semua perkara. Tambahan lagi, keputusan dibuat berdasarkan nasihat pakar dalam pelbagai bidang.
Dalam konteks agama, kepatuhan kepada pemimpin adalah termasuk dalam kewajipan seorang muslim. Allah SWT berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. (al-Nisa’: 59)
Jelas daripada ayat ini bahawa Allah SWT meletakkan susunan kepatuhan kepada pemimpin (ulil amri) adalah selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul. Bermakna ianya tidak boleh diabaikan kerana datangnya perintah ini terus daripada Allah SWT.
Sebagai manusia biasa, kehidupan ini secara normalnya perlukan kepada peraturan. Setiap bidang kehidupan kita diuruskan dengan peraturan dan tata cara khusus agar berjalan dengan baik dan lancar. Bermula daripada pengurusan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seterusnya dalam hal kenegaraan.
Sebagai contoh, ibadat solat lima waktu sehari semalam adalah mengikut waktu yang ditetapkan. Firman Allah SWT: Sesungguhnya solat (sembahyang) itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (al-Nisa’: 103)
Setiap waktu pula digalakkan supaya ditunaikan di awal waktu. Begitu juga apabila solat ditunaikan secara berjemaah, maka ada peraturan khusus yang mesti dipatuhi.
Begitu juga dengan urusan kekeluargaan. Ada peraturan dan undang-undang kekeluargaan yang mesti diikuti. Bermula dengan permulaan terbinanya keluarga dengan diikat oleh hubungan perkahwinan, kewajipan dan hak suami isteri dan pengurusan rumah tangga serta anak-anak.
Betapa pincangnya sebuah keluarga jika tiada peraturan yang mengawal. Bayangkan jika suami tidak bertanggungjawab kepada isteri. Ataupun isteri tidak mentaati suami. Atau betapa huru haranya rumahtangga jika anak-anak juga tidak menghormati dan tidak mentaati ibu bapa.
Oleh itu, Islam mewajibkan anak-anak mentaati ibu bapa sebagai pendidikan dan menjamin keharmonian rumah tangga.
Firman Allah SWT: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (al-Isra’: 23)
Sehinggalah kepada kehidupan bermasyarakat dan berorganisasi. Murid-murid sudah dididik dengan mematuhi disiplin sejak daripada peringkat sekolah. Para pekerja pula dilatih mematuhi peraturan dan disiplin di tempat kerja masing-masing.
Ketua atau majikan juga terikat dengan etika dan undang-undang bagi menjamin ketelusan dan integriti yang tinggi. Maka, sebenarnya dalam segenap peringkat kehidupan sebenarnya kita telah terdidik dengan kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang.
Sepatutnya tiada alasan lagi apabila dilaksanakan satu-satu perintah untuk dipatuhi oleh rakyat. Namun, apa yang terjadi? Jikalau kita boleh menerapkan nilai-nilai agama atau didikan yang telah diterima sejak daripada bangku sekolah, nescaya perkara ini tidak berlaku.

Timbul persoalan, adakah disengajakan atau ada keadaan tertentu yang memaksa? Jika terpaksa sekalipun, ada prosedur tertentu ditetapkan supaya keadaan terkawal dan tidak mengganggu pelaksanaan SOP yang sedang berjalan.
Sejak awal pelaksanaan PKP seakan sudah menjadi agenda dalam taklimat berkaitan PKP sehingga ini melaporkan kes-kes pelanggaran SOP. Seolah-olah menjadi kebiasaan rakyat kita melanggar peraturan walaupun sudah sedia mengetahui.
Apatah lagi bila digunakan istilah ‘cuba melanggar Sekatan Jalan raya (SJR)’, sebagai contoh. Begitu juga dengan kesalahan tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas aplikasi MySejahtera atau menulis nama dan mencatat suhu.
Sepatutnya, PKP 3.0 ini sudah minimum kes-kes sedemikian. Haruslah diambil iktibar daripada PKP sebelum ini agar kita berjaya memutuskan rangkaian penularan Covid-19.
Sebagaimana pada masa yang sama kita mendapat berita kepatuhan rakyat beberapa negara lain terhadap peraturan dan SOP mereka yang lebih ketat. Maka, mereka hampir berjaya meminimumkan kes baharu. Kita sebagai orang yang beriman sepatutnya lebih baik daripada mereka. Kita dituntut agar berdisiplin dan patuh kepada peraturan.
Allah SWT juga melarang kita membenarkan diri terjerumus ke jurang kebinasaan. Allah SWT berfirman: Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (al-Baqarah: 195)
Oleh itu, kita mesti memastikan segala peraturan dan SOP dipatuhi agar matlamat pelaksanaan PKP dapat dicapai. Jika, masih ramai yang melanggar SOP, maka situasi pandemik dalam negara akan mengambil masa yang lebih lama untuk ditamatkan atau terus gagal.
Menjadi kewajipan setiap warganegara mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Jangan ada lagi yang dengan sengaja melanggar SOP.
Hanya dengan kepatuhan yang tinggi sahajalah diharapkan kes positif Covid-19 ini akan dapat dikurangkan. Seterusnya, kita yakin akan berjaya melawan virus yang mengancam nyawa ini.
Ingatlah, kita belum menang.
- Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh, Pensyarah & Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan