Meninggalkan dunia glamor sebagai seorang anak seni tidak sedikit pun membuatkan wanita kacukan Inggeris-Dusun, Jo-Anna Sue Henley Rampas,32, berasa terkilan.
Kerjaya dalam bidang seni dilihat sekadar satu persinggahan. Ia bagi menimba pengalaman selepas menamatkan zaman persekolahan.
Menjuarai pertandingan ratu cantik, Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan pada 2007 membuka ruang kepadanya untuk mula menceburi bidang seni.
Bakat nyanyian dan paras rupa pan-Asian yang dimiliki membolehkan Jo-Anna muncul sebagai naib juara pertandingan nyanyian Bintang RTM 2009 peringkat nasional ketika berusia 20 tahun.

Namun, populariti yang dikecapi tidak menyebabkan dia hanyut dalam dunia glamor. Ini kerana keutamaannya pada masa itu adalah mahu melanjutkan pengajiannya dalam bidang perundangan.
Selepas menamatkan A-Level dalam bidang undang-undang di Advance Tertiary College, Kuala Lumpur, Jo-Anna kemudian melanjutkan pengajian di London, United Kingdom pada 2012.
Anak sulung daripada tiga beradik ini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di University of London dan Ijazah Sarjana Undang-Undang Antarabangsa di University of the West England.
SIFAT KEPEMIMPINAN DI SEKOLAH
Sejak dibangku sekolah lagi, Jo-Anna mula mempamerkan sifat kepemimpinan yang tinggi. Dia suka pendapat dan suaranya didengar oleh guru-guru.
Jo-Anna pernah menjadi ketua pengawas dan apabila masuk ke sekolah menengah, dia menjadi presiden parti bagi Parlimen di sekolah iaitu salah satu aktiviti kokurikulum di Sekolah Menengah (SM) ST Michael, Penampang di Sabah.
Parti yang diketuai olehnya iaitu Parti Michaelian United menang melalui pemilihan Parlimen di sekolah.
Meskipun bakatnya kepimpinan terserlah semasa dibangku sekolah, Jo-Anna tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan menceburi bidang politik.
MENYERTAI POLITIK
Ibunya, Sullah Rampas pernah bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah 1994 sebagai calon Angkatan Keadilan Rakyat (Akar) manakala, bapa saudaranya Datuk Loius Rampas pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu selama tiga penggal sejak 1999 hingga 2013 mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS).
Biarpun darah politik mengalir dalam keluarganya tetapi penglibatan dia dalam politik lebih kepada keinginan sendiri kerana mahu membawa perubahan di Kiulu, tempat dia dibesarkan.
Selepas beberapa bulan pulang dari United Kingdom iaitu pada Oktober 2016, dia dihubungi melalui telefon oleh Datuk Darell Leiking dan Datuk Mohd. Azis Jamman mengajaknya menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang baharu sahaja ditubuhkan.
“Saya mengambil masa dua bulan sebelum memutuskan untuk menyertai Warisan kerana saya perlu melihat dari semua sudut.
“Saya perlu melihat jika parti itu sesuai dengan impian saya untuk membawa perubahan di Kiulu dan Sabah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Timbalan Ketua Wirawati Warisan ini menyatakan perkara pertama terlintas dalam fikirannya setelah menyertai Warisan ‘saya memang gila kerana ingin melawan keluarga sendiri’. Ia kerana kebanyakan ahli keluarganya adalah penyokong PBS.
Namun, ibunya tidak menghalang penyertaan dia dalam Warisan. Kata-kata ibu memberikan dia semangat untuk terus menyertai Warisan.
“Saya ingat lagi, ibu cakap gelombang yang dirasakan pada waktu itu mengingatkan dia kepada zaman PBS menumbangkan Parti Bersatu Rakyat Jelata (Berjaya). Apabila ibu cakap begitu, saya bertambah yakin dengan keputusan menyertai parti Warisan,” katanya.
Setelah dibawa berjumpa Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Jo-Anna boleh merasakan ada sesuatu dalam perjuangan parti itu yang akan membawa perubahan di Sabah.
“Tidak siapa menyangka, perubahan itu memang berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Warisan bersama Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri. Malangnya, usia pemerintahan PH dan Warisan di Sabah hanya bertahan 26 bulan,” katanya.
Ibu kepada seorang anak perempuan ini muncul sebagai calon Warisan pertama di kawasan DUN Kiulu dan turut dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri semasa zaman pemerintahan Warisan Plus di Sabah.
Kerjaya Jo-Anna dalam bidang politik mendapat sokongan penuh suaminya yang merupakan seorang doktor perubatan, Dr. Devindran Singh.

WANITA DALAM POLITIK
Ekosistem politik di Malaysia harus memartabatkan peranan wanita. Penglibatan dan suara wanita dalam pembangunan dan penggubal dasar kerajaan harus diambil kira.
Namun, usaha memartabatkan peranan wanita dalam kepemimpinan dan pembangunan di negara ini masih jauh ke belakang.
Lihat sahaja Kabinet Negeri pada ketika ini, tiada seorang pun wanita dalam kalangan menteri. Sebaliknya wanita hanya diletakkan sebagai pembantu menteri.
Sekiranya ingin melihat kedudukan wanita diangkat, pemimpin serta rakyat di peringkat akar umbi perlu mengubah corak pemikiran sedia ada. Mereka harus memberi kepercayaan kepada wanita untuk menjadi wakil rakyat.
“Jika dilihat 56 peratus Kabinet di Sepanyol terdiri daripada wanita dan negara-negara maju yang lain seperti New Zealand, Kanada dan United Kingdom juga meletakkan wanita dalam kementerian yang penting.
“Di Malaysia, perjalanan ke arah itu masih terlalu jauh. Namun, harapan saya suatu hari nanti, kita boleh melihat wanita dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Tidak mustahil kan,” katanya.
BIODATA:
Nama: Jo-Anna Sue Henley Rampas
Tarikh Lahir: 24 Mac 1989
Asal: Kota Kinabalu, Sabah
Adik-Beradik: 3 orang
Suami: Dr. Devindran Singh
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-undang University of London & Ijazah Sarjana Undang-Undang Antarabangsa, University of the West England










