MINAT mendalam terhadap senjata tradisional sejak di bangku sekolah mendorong Wan Mohd. Aris Wan Abdullah, 63, menceburi bidang pembuatan golok dan sarung berukir.
Selepas bersara daripada tugas hakikinya di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Wan Mohd. Aris melakukan kerja tersebut sepenuh masa di bengkel yang terletak di rumahnya di Kampung Tanah Putih, Gua Musang.
Sepanjang lebih 20 tahun penglibatan bermula secara separuh masa sehingga sepenuh masa dalam bidang menempa besi tersebut, dia kini tidak menang tangan menerima tempahan daripada pelanggan.
Tanpa mengikuti kelas khas, sebaliknya hanya mengutip ilmu dengan melihat tukang besi kampung ‘bertukang’, lelaki ini berjaya membuat golok dan sarung yang menarik serta bermutu mengikut selera pelanggan.
Di Kelantan, golongan seperti Wan Mohd. Aris digelar sebagai ‘pandai besi’.
Selepas menerima bantuan RM9,000 disalurkan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), dia membeli peralatan pertukangan dan menjadi lebih produktif, sekali gus membina namanya sebagai seorang pandai besi tersohor.
Sehingga kini, Wan Mohd. Aris berjaya menghasilkan lebih 1,000 bilah golok dan sarung untuk tempahan pelanggan di seluruh negara.

GUNA KAYU BERMUTU
Harga sebilah golok jenis sembelih dan hiasan dihasilkannya dijual antara RM150 sehingga mencecah RM3,000.
Menurut Wan Mohd. Aris, menggunakan kayu kemuning kuning, kayu angsana, penawar hitam, arang bunga, macang hutan, sepetir dan rengas untuk menghasilkan sarung hulu serta sarung golok bermutu tinggi.
“Bagi menjaga mutu dan kualiti saya hanya mengambil tempahan sebilah hingga tiga bilah golok seminggu untuk disiapkan.
“Daya kreativiti dan tahap kesabaran tinggi bermula dengan pembuatan mata senjata sehinggalah menempanya menjadi faktor utama dalam menghasilkan golok bermutu,” jelasnya.
Tambah lelaki itu, dengan kemudahan teknologi baharu seperti dapur pembakar khas, pemotong besi dan pencanai, ia mempercepatkan proses berbanding zaman dahulu yang hanya bergantung kepada kekuatan fizikal sepenuhnya.
Dalam pada itu, dia berkongsi kebimbangan jika kemahiran dimilikinya itu berkubur begitu sahaja memandangkan generasi muda hari ini kurang berminat untuk menjadikan aktiviti tersebut sebagai kerjaya pada masa depan.

Menurut Wan Mohd. Aris, daripada puluhan pembuat golok yang aktif sebelum ini di Gua Musang, kini cuma tinggal beberapa orang sahaja dan jumlah itu semakin berkurangan.
Katanya, kebanyakan golongan ‘pandai besi’ berusia antara 50 hingga 70 tahun bertahan bukan kerana minat semata-mata, sebaliknya sebagai mata pencarian utama untuk menyara keluarga.
“Kerja ini memerlukan kesabaran tinggi kerana terpaksa melalui beberapa proses termasuklah menghadap bahang panas untuk membakar besi.
“Kesabaran juga amat perlu apabila kita menghasilkan golok dan kena berusaha keras untuk mendapatkan pelanggan.
“Rata-rata pandai besi sudah meniti usia emas dan kami bimbang terhadap seni pertukangan besi yang mungkin pupus suatu hari nanti,” keluhnya.











