Teringin hendak membuat roti jala warna-warni yang viral, tetapi selalu tidak menjadi? Bebenang jala itu akan jadi leper dan kembang.
Memanglah susah nak menjala cantik andai adunan tidak tepat. Apa lagi kalau menggunakan jenis pewarna yang tidak sesuai.
Boleh cuba teknik dan petua yang dikongsikan oleh pembuat roti jala jelita, Noorul Huda Ayob.
Katanya, bagi yang baru-baru ingin mencuba membuat roti jala, sekiranya ingin tahu adunan likat untuk dijalakan, perlulah tengok ‘lubang pusaran’.
“Jika besar lubang pusaran, tambah sedikit tepung sehinggalah lubang pusaran itu menjadi sebesar ‘jari kelingking’. Jika lubang pusaran itu kecil, tambahlah sedikit air,” katanya memberikan tips.
Pewarna turut berperanan menghasilkan warna yang cantik. Jenis yang elok ialah ‘gel base’ atau ‘oil base’.
“Letakkan sedikit warna asas putih terlebih dahulu, selepas itu letakkan sebarang pewarna yang kita inginkan. Campurkan kedua-duanya. Tetapi pastikan jangan letak warna putih terlampau banyak,” katanya. Selamat mencuba!
Roti Jala
Bahan bahan:
(anggaran untuk 25 biji roti jala)
1 biji telur
2 hingga 3 sudu besar santan/susu segar
2 cawan tepung gandum
1 cubit pewarna kuning/kunyit
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
2 cawan air / ikut cawan sukatan tepung
Nota: Untuk membuat roti jala warna-warni, pastikan semasa mengisar tidak meletakkan sebarang pewarna. Hanya selepas ditapis adunan tersebut, barulah masukkan pewarna ke dalam botol tiga nozel.
Cara penyediaan adunan bancuhan roti jala:
1-Masukkan semua bahan kering ke dalam bekas.
2-Masukkan air sehingga tenggelam tepung. Kacau sehingga sebati.
3-Ambil bancuhan tepung dan masukkan ke dalam blender atau pengisar. Kisarkan bancuhan.
4-Semasa mengisar, perhatikan lubang pusarannya. Sebaik pusaran itu seperti sebesar jari kelingking bermakna bancuhan ini sudah sempurna.
5-Semasa hendak menjala, masukkan sahaja bancuhan ke dalam botol untuk mendapatkan roti jala sehalus benang.
6-Boleh gunakan kreativiti anda untuk menghasilkan jala warna-warni satu warna atau dua warna.
Terima kasih: Noorul Huda Ayob
Facebook : Huda Ayob / https://www.facebook.com/huda5312










