Penjagaan diri terutamanya dalam aspek kebersihan amat penting ketika ini bagi menghindari segala jenis virus atau wabak yang tidak diingini terutamanya Covid-19.
Oleh itu, keperluan produk penjagaan diri dilihat semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran sebagai salah satu ‘senjata pertahanan’ melawan virus jahat.
Menyedari akan kepentingan itu, pelajar Kolegiat 14 Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menghasilkan produk cucian tangan dan pembasmi kuman sebagai salah satu alternatif dalam mendepani pandemik.
Lain daripada produk yang sedia ada di pasaran, hasil inovasi berasaskan ekstrak daun Eucalyptus ini dapat meningkatkan kualiti dan kebaikan dalam produk-produk berkenaan berdasarkan kepada fungsi tumbuhan itu sendiri.
Menurut Pengetua Kolej 14, Dr. Daljit Singh Karam Singh, penggunaan tumbuhan berkenaan sebagai bahan utama dalam inovasi produk adalah berdasarkan kajian yang telah dilakukan dan mendapati ia mempunyai banyak kebaikan dari segi kegunaan kesihatan dan pembersihan.
“Idea dan inovasi untuk penghasilan produk berasaskan ekstrak Eucalyptus ini diilhamkan oleh pelajar-pelajar. Mereka ingin menghasilkan produk seperti pencuci tangan dan cecair pembasmi kuman untuk diberi kepada institusi serta organisasi yang memerlukan barangan pembersihan diri disebabkan pandemik Covid-19.
“Untuk menghasilkan inovasi itu, Kolej 14 bekerjasama dengan Fakulti Pertanian UPM untuk menggunakan ekstrak tanaman yang terdapat di universiti berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini

Tambahnya, faktor lain penggunaan tumbuhan berkenaan adalah kerana pokok Eucalyptus jenis hibrid itu ada ditanam di sekitar UPM. Ia merupakan hasil kacukan Eucalyptus grandis dan Eucalyptus urophylla.
Tanaman dengan ciri daun berwarna hijau, tirus dan mempunyai kelenjar minyak itu banyak ditanam di kawasan berkenaan melalui kerjasama antara pihak universiti dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Syarikat Sheeco Sdn. Bhd. sebagai pengedar tunggal tumbuhan berkenaan.
Penanaman itu diasaskan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Arifin Abdu sekitar lima tahun lalu.
Dr. Daljit berkata, tujuan utama penanaman ini pada awalnya adalah untuk melihat kesesuaian pokok ini ditanam sebagai pokok tanaman bandar di samping meningkatkan konservasi tanah.
“Selain itu, pokok Eucalyptus hybrid ini mempunyai kadar tumbesaran yang cepat, pelbagai kegunaan dan mesra alam,” ujarnya.
Minyak ekstrak Eucalyptus
Produk yang dihasilkan iaitu pencuci tangan dan cecair pembasmi kuman. Namun kajian lanjut membolehkan minyak Eucalyptus turut dihasilkan.
Minyak eucalyptus itu dihasilkan dengan menggunakan beberapa jenis minyak sedia ada seperti kelapa sawit.
Dr. Daljit berkata, tujuan utama hasilan adalah melihat kesesuaian minyak sawit dijadikan bahan asas dalam campuran ekstrak Eucalyptus, di samping memperkasa kepentingan minyak kelapa sawit dalam kehidupan seharian.
Katanya, untuk minyak Eucalyptus, produk tersebut boleh digunakan untuk melegakan gigitan serangga, merawat kulit kering dan juga melegakan kesakitan.
“Terdapat banyak kebaikan ekstrak Eucalyptus ini namun kami syorkan ia diguna secara luaran kerana kajian masih dijalankan,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi aktiviti pengkomersialan fasa pertama, produk berkenaan akan diberikan secara percuma kepada pusat-pusat penjagaan dan organisasi yang memerlukan sebagai salah satu khidmat kepada masyarakat.
Produk inovasi yang mendapat dana daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar ini juga menyasarkan untuk memasarkan produk berkenaan secara lebih meluas pada masa akan datang.
“Kami berharap dapat memasarkan produk ini setelah pandemik ini berjaya diatasi di mana lebih ramai tenaga pelajar dapat membantu dalam penghasilan produk untuk dijual,” kata beliau.










