Masjid Aqsa milik umat Islam - Utusan Malaysia

Masjid Aqsa milik umat Islam

MASJId Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam dan salah satu masjid suci yang wajib dipertahankan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bekas Rektor Universiti al-Azhar, Dr. Umar Hashim dalam satu ceramahnya menerangkan Masjid al-Aqsa akan dibebaskan oleh umat Islam apabila mereka dapat membebaskan diri mereka daripada hawa nafsu.

Beliau memetik kisah panglima Islam, Salahuddin al-Ayyubi yang berazam membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman tentera salib.

Dalam perjalanan ke Masjid Aqsa, beliau berjumpa dengan seorang sufi yang kuat beribadah kepada Allah dan bertanya kepadanya kemanakah kamu mahu pergi wahai Salahuddin?

Beliau menjawab aku mahu memerdekakan bumi Baitulmaqdis. Sufi tersebut menjawab, merdekakan dahulu diri kamu dan diri tentera kamu daripada hawa nafsu dan maksiat maka kamu akan dianugerahkan kejayaan oleh Allah.

Kisah Yahudi dalam al-Quran dihuraikan berulang kali dalam banyak surah seumpama surah al-Baqarah, surah al-Maidah, surah al-‘Araf, Surah Yunus, Hud dan lain-lain. Penamaan surah al-Baqarah itu sendiri adalah sebab kisah Bani Israel pada zaman Nabi Musa a.s di mana seorang lelaki yang mempunyai harta yang banyak iaitu wang dan emas tetapi tidak mempunyai anak.

Lantas anak saudaranya yang berhak mendapat harta pusaka melakukan pembunuhan bapa saudaranya yang kaya itu.

Tipu muslihat tersebut dibongkar oleh Allah SWT melalui lisan Nabi Musa a.s kepada kaumnya supaya menyembelih seekor lembu, mengambil sebahagian anggotanya dan memukul kepada jenazah. Dengan izin Allah, jenazah tersebut hidup dan memberitahu siapakah pembunuhnya.

Ayat pertama berkaitan Yahudi dalam al-Quran ialah pada ayat 40 surah al-Baqarah: Wahai Bani Israel! Ingatlah segala nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu dan sempurnakanlah perjanjian kamu dengan-Ku agar Aku juga menyempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu, dan hendaklah kamu merasa takut hanya kepada-Ku.

Sheikh Sya’rawi ketika menghurai ayat ini berkata, kisah Bani Israel ini dinyatakan selepas Allah menyatakan kejadian makhluk, bagaimana kisah bermulanya Nabi Adam a.s, permusuhan iblis dengan Nabi Adam a.s, percubaan pertama bagaimana manhaj dilaksanakan dalam satu syurga, Nabi Adam a.s digoda oleh syaitan dan kemudian diturunkan ke bumi dengan membawa manhaj Allah.

BANI ISRAEL

Rahsia kenapa Allah SWT memberi contoh Bani Israel adalah umat yang kufur dan melakukan banyak maksiat terhadap manhaj Allah adalah kerana kaum inilah yang paling banyak kisah mukjizat dan ramai para nabi diutuskan kepada mereka tetapi bukan bermakna mereka adalah kaum yang terbaik.

Setiap kali datang mukjizat yang dibawa oleh rasul, mereka mengingkarinya. Datang pula mukjizat yang lain dan mereka tetap tidak mempercayainya. Hukuman Allah terhadap mereka kerana kezaliman yang dilakukan ialah Bani Israel berpecah dan melata di bumi.

Akhirnya mereka akan berkumpul di satu tempat untuk dihukum atas maksiat yang dilakukan. Allah SWT menyebut wahai Bani Israel yang bermaksud wahai anak-anak Israel kerana kelebihan yang diperoleh ayah-ayah mereka semoga mereka mengambil pengajaran dan malu melakukan maksiat.

Perkara ini sama dengan perumpamaan seorang lelaki yang soleh dan baik tetapi anak-anaknya selalu melakukan kemungkaran dan maksiat. Lalu dikata kepada mereka, apakah kamu tidak rasa malu? Sedangkan ayah kamu adalah lelaki yang soleh dan tidak selayaknya kamu melakukan apa yang Allah SWT murka.

Semasa Allah memanggil umat Islam, arahan adalah untuk mengingati Allah tidak mengingati nikmat Allah. Namun begitu untuk Bani Israel, Allah memanggil wahai Bani Israel ingatlah kamu kepada nikmat Allah.

Sheikh Sya’rawi berkata, gaya bahasa ini berlaku kerana Bani Israel adalah umat kebendaan dan keduniaan.

Ayat yang lengkapnya seumpama wahai Bani Israel selagi mana kamu berprinsip kebendaan dan keduniaan maka hendaklah kamu ingat nikmat Allah yang diberikan kepada kamu tetapi kami umat Islam bukan umat kebendaan.

Perjanjian yang Allah SWT minta Bani Israel sempurnakan adalah perjanjian fitrah semula jadi iaitu beriman kepada Allah dan bersyukur dengan nikmat-Nya. Jika seseorang berada di satu tempat yang asing yang tidak ada kenalan kemudian berehat dan tidur. Bangkit dari tidur mendapati makanan terhidang di hadapannya.

Soalannya, siapakah yang sediakan semua ini? Jika difikirkan sekejap jawapannya sudah tentu ada orang yang menyediakanya.

Sinonimnya apabila Allah SWT mengutuskan seorang rasul yang menyatakan sesungguhnya Allah SWT yang menjadikan makhluk dan mengadakannya, tidak ada sebenarnya yang mendakwa mampu mencipta atau menentang kejadian yang ada ini kerana mengadakan semua nikmat yang ada ini mengatasi kekuasaan manusia.

Dengan kata lain Allah sahajalah yang mencipta. Sudah tentulah beriman dengan Allah dan bersyukur kepada-Nya adalah wajib dengan fitrah semula jadi.

Isu yang diketengahkan dalam ayat 40 surah Baqarah ini ialah agar kita mesti tahu bahawa kunci syurga diletak pada tangan kita. Setiap orang mempunyai kunci yang akan memandunya baik ke syurga atau sebaliknya. Jika disempurnakan perjanjian maka Allah SWT akan sempurnakan janji-Nya.

Jika kamu ingat kepada Allah maka Allah akan ingat kepada kamu. Jika kamu menolong Allah maka Allah menolong kamu.

YAHUDI LANGGAR PERINTAH ALLAH

Perintah Allah kepada hambanya dibahagikan kepada dua iaitu arahan agama dan arahan yang ada kaitan dengan urusan keduniaan. Contohnya pada ayat 9 dan 10 surah al-Jumaah diterangkan arahan beragama dengan pergi menunaikan solat Jumaat dan tinggalkan urusan jual-beli.

Arahan keduniaan pula jangan kamu tinggalkan pekerjaan kamu dengan kekal duduk di masjid selepas menunaikan solat tetapi pergilah mencari rezeki.

Allah SWT menjadikan hari Sabtu sebagai hari berehat kepada Yahudi. Ujian Allah kepada mereka ialah diharamkan bekerja pada hari tersebut tetapi ikan datang ke tepi pantai dengan jumlah yang banyak sedangkan sepanjang minggu mereka pergi menjala ikan tetapi tidak dapat sebanyak itu.

Melihat kejadian sebegitu Yahudi menggunakan helah dengan menggali satu lubang yang besar di tepi pantai untuk ikan yang banyak itu masuk ke dalam lubang tersebut.

Pada Ahad mereka lakukan tangkapan. Ini adalah helah melanggar perintah Allah dan sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melakukan helah terhadap perintahnya.

Hukuman Allah kepada Yahudi yang terlibat dalam penangkapan ikan pada Sabtu itu ialah diubah kejadian mereka kepada bentuk haiwan yang hina iaitu kera.

Kisah ini masyhur dalam kalangan Yahudi dan dijadikan cerita sebagaimana dinyatakan dalam ayat 65 surah al-Baqarah dan ayat 163 surah al-‘Araf.

Sheikh Ahmad Yasin menyatakan, Yahudi akan kalah dengan umat Islam walaupun mereka mempunyai kekuatan tentera dan ekonomi yang mapan.

Hal mereka pada hari ini sama seperti dengan yahudi pada zaman Nabi SAW di Madinah di mana mereka mempunyai kubu yang kukuh dan ekonomi yang kuat tetapi tanpa mereka menyangka Allah SWT melaksanakan hukuman balasan di luar jangkaan mereka.

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×