SAMBUTAN Aidilfitri ini masih lagi sama buat pelakon ini. Kekal membawa gelaran ibu tunggal, tiada sekelumit rasa sedih yang perlu diratapi dirinya. Bahagia dengan caranya sendiri, kongsi Rita Rudaini, cukup-cukuplah dikisahkan dengan status yang dibawa dirinya.
Terus membuka lembaran baharu dalam kehidupannya, ada sisi berbeza yang mahu ditonjolkan pelakon cantik mengenai kemampuan seorang wanita. Malah pada usianya 45 tahun kini, jelasnya bukan populariti yang mahu dipertahankan dirinya tetapi keberaniannya untuk terus meneroka bidang berbeza atas nama survival.
“Pada usia ini bukan waktu yang sesuai lagi untuk saya berebut mengejar cinta atas nama kebahagiaan. Definisi bahagia saya mudah, anak-anak. Cukuplah, dengan kehadiran dua kekasih hati saya. Anak-anak adalah kebahagiaan mutlak saya.
“Selepas bertahun-tahun menyambut Aidilfitri dengan gelaran ibu tunggal, rasanya tiada apa yang berbeza. Melakukan persiapan secara berseorangan , perasaan itu bagi saya itu lebih bermakna sebab memori bersama anak-anak itu jadi milik saya sahaja. Namun walaupun hanya saya menyiapkan persiapan itu tidak bermakna ada yang kurang,”katanya lembut.
Bukan mahu mendabik dada berkongsi kisah membesarkan anak-anak tanpa kehadiran pasangan bergelar suami. Bagi pemilik nama sebenar Rita Rudaini Mokhtar, apa yang mahu dijelaskannya adalah bagaimana perjalanan setiap manusia juga berbeza. Sama ada suka atau tidak, dia adalah wanita terpilih untuk melalui kehidupan yang cukup istimewa ini.
“Saya tidak pernah rasa menyesal atau rasa berbeza dengan wanita lain di luar sana. Malah saya juga yakin ramai sahaja ibu tunggal lain mempunyai perasaan yang sama. Bila kami meletakkan anak-anak sebagai fokus, rasa kehidupan yang dilalui itu sudah cukup padat dengan kasih-sayang.
“Ada juga yang bertanya, esok kalau anak-anak sudah besar dan berkahwin, macam mana. Bagi saya soal itu masih lagi terlalu jauh untuk saya fikirkan. Daripada fikir perkara yang kita sendiri tidak tahu apa akan terjadi saya lebih rela menikmati setiap saat yang dimiliki dengan anak-anak sekarang,”jelasnya lagi.
Ketika beratus kali dia menjelaskan dia selesa dengan kehidupan yang dilaluinya sebagai ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10, Rita terus diduga dengan soalan yang sama. Malah perkongsian video di laman Instagram miliknya baru-baru ini juga turut mewujudkan persepsi ada sisa perasaan yang tidak sudah dalam dirinya lagi.
“Maaflah, saya perlu jujur, itu adalah ayah kepada anak-anak saya. Kenapa saya perlu menafikan perkara yang betul. Video yang di muat naik memerlukan anak saya menyiapkan kerja sekolahnya. Carta keluarga, jadi gambar siapa lagi anak saya perlu letak.
“Kalau tidak letak pun isu juga, jadi bagi saya cukup-cukuplah wujudkan persepsi begini. Tetapi berhadapan dengan komen-komen seperti ini tidak memberi kesan pun kepada saya,”tambahnya.
Cantik di usia 45 tahun
Tanggal 11 April lalu terus menjadi tarikh istimewa buat Rita. Menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 45, bukan bunga mahupun barangan mewah yang mengukir senyuman di wajahnya. Berkongsi sambutan indah bersama anak-anak, kata Rita pelukan ikhlas dua insan itu cukup bermakna.
“Meningkat dewasa cara sambutan bersama anak-anak itu semakin bermakna sebenarnya. Sebab mereka semakin faham apa yang kita lalui. Menjadi mata dan telinga kita sepanjang membesarkan mereka membuatkan perasaan itu cukup mendalam.
“Kali ini Rayyan berikan kad dan Arjuna pula buat cincin kertas. Walaupun nampak ringkas, tapi ia cukup bermakna buat saya. Mereka yang masih kecil sudah faham erti kasih sayang. Saya menangis baca kad pemberian Rayyan. Saya macam tak percaya dia tulis kata-kata itu. Kata-katanya sangat ikhlas dan menyentuh hati saya,”katanya sebak.
Cukup mempesonakan di usianya kini, kejelitaan Rita bukanlah sesuatu yang boleh disangkal. Hanya ketawa ketika ditanya apa rahsia yang dimilikinya, katanya jangan pernah melalui kehidupan dengan tekanan.
“Apa yang kita tunjuk secara luaran adalah melalui dalaman kita. Kalau kita serabut sahaja, wajah itu akan menjelaskan kita dalam masalah.
“Cantik bukan objektif utama sebenarnya, sebagai seorang ibu tunggal apa yang penting bagi saya adalah kesihatan. Saya perlu sentiasa kuat sebab kita tahu ada dua nyawa yang sedang bergantung harap dengan kita. Jadi tanggungjawab untuk mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan itu sangat penting,”katanya panjang lebar.
Sibuk berniaga
Cuba menebak realiti, Rita akui ini bukan masanya lagi untuk dia berdiam diri mengharapkan bidang seni semata. Bangkit dengan fokus berbeza, ketika ini ada gelaran berbeza yang ingin ditakluki dirinya.
“Alhamdulillah, produk kecantikan saya melalui jenama Crush By Rita Rudaini sudah mula mendapat tempat di hati pengguna. Ikutkan sudah lama saya terbabit dalam bidang perniagaan. Cuma, sejak beberapa tahun kebelakangan ini baru saya memberi fokus sepenuhnya. Alhamdulillah, usaha ini kian menampakkan hasil.
“Lebih membanggakan apabila dua produk ini dijual di pasaraya AEON. Walaupun belum di seluruh negara, tapi ia satu pencapaian yang cukup besar buat saya yang baru bermula. Dalam masa sama, saya juga merancang untuk mengeluarkan beberapa lagi rangkaian produk lain. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan,” tambah Rita selain produk kecantikan dia kini juga turut terbabit dalam perniagaan fesyen melalui pelancaran koleksi pakaian Ritrud X Hazel.
Masih menjadi pilihan pengarah drama dan filem, Rita juga turut berkongsi dia kini juga sibuk di set penggambaran filem Rumah Maduku Berhantu arahan Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen. Selain Rita, filem itu turut menampilkan pelawak, Zizan Razak, Nadia Brian, Azlee Senario, Saiful Apek dan ramai lagi.










