Linda Onn masih terkejut dengan pemergian ibu - Utusan Malaysia

Linda Onn masih terkejut dengan pemergian ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kasih seorang ibu tiada ganti, itulah frasa sesuai untuk digambarkan dengan luahan pengacara dan bekas penyampai radio terkenal, Linda Onn yang berkongsi luahan kehilangan ibu tercinta, Sa’diah yang telah meninggal dunia 9 Mac lalu.

Menerusi hantaran di Instagram disusuli video kenangan bersama arwah, Linda, 44, mengakui hanya selepas tiga minggu barulah dia berasa kuat untuk berkongsi berita duka itu.

Jelasnya, arwah ibu yang menghembuskan nafas terakhir di usia ke 79 tahun tidak mengalami sebarang sakit kronik, namun ketika hayatnya, Allagyarham sihat dan aktif sehinggalah arwah mengadu sakit perut dua minggu sebelum dijemput Ilahi.

“Ibu tiada sakit, saya sangat jaga kesihatan ibu. Selama ini saya takut kalau ibu sakit. Ibu tak ada sakit jantung, kencing manis, darah tinggi atau buah pinggang, ibu tak sakit!

“Ibu sihat sungguh! Malah ibu lebih sihat, kuat dan aktif daripada Linda. Tapi nak dijadikan asbab. Tiba-tiba ibu mengadu sakit perut,” coretnya.

Dalam perkongsian sama, Linda masih terasa lagi dengan kehilangan insan tersayang.

“Mudah sungguh ibu pergi… tak menderita lama. Dua minggu sahaja ibu sakit lepas itu ibu pergi selamanya. Cepat sangat ibu… Rasa macam mimpi, saya masih terkejut dan masih tak percaya. Ibu pergi begitu mudah tapi saya yang tinggal ini makan masa untuk terima ketiadaan ibu. Sakit bu….

“Ibulah penasihat apa saja keputusan saya, ibulah teman baik, yang beri kasih sayang suci dan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, ibu segala-galanya. Ibu tak pernah penat pesan dan nasihatkan saya. Insya-Allah saya pegang semua nasihat ibu,” tulisnya.

Linda juga berasa bertuah apabila ibunya memilih untuk tinggal bersamanya dan berpeluang berada di samping insan tercinta sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Terima kasih ibu kerana pilih untuk duduk serumah dengan saya walaupun adik beradik lain berebut nak ibu. Banyak sungguh masa kita bersama, Alhamdulillah. Terima kasih ibu kerana pilih saya untuk lihat ibu dinafas terakhir ibu. Terima kasih kerana jaga saya dari kecil sampai sekarang.

“Maafkan saya, ibu tiada pengganti. Rindu ini tiada berpenghujung,” akhirinya yang turut berterima kasih kepada rakan-rakan dan saudara mara yang datang menziarahi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya