Itu yang kamu nak bukan? - Nabila Razali terima teguran ibu - Utusan Malaysia

Itu yang kamu nak bukan? – Nabila Razali terima teguran ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIMBAS kembali memori Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), rezeki dan nasib baik mungkin dilihat tidak begitu menyebelahi wanita ini.

Di pentas prestij pertandingan lagu itu, Nabila kecundang untuk menyempurnakan hasrat jutaan peminat lagu Peluang Kedua yang mungkin menanti sebuah keajaiban daripada seorang Nabila Razali.

Masakan tidak, pentas itu juga sepatutnya digunakan dengan sehabis baik oleh Nabila jika dia benar-benar mahu menghapuskan kutukan orang yang selama ini melabel dirinya tidak boleh menyanyi.

Namun, kegagalan pada malam itu bukanlah satu-satunya kenangan yang dibawa balik oleh bekas finalis Akademi Fantasia 2013 ini kerana ada pengalaman baik yang didakapnya saat melangkahkan kaki pulang ke sarang.

“Untuk berada di pentas itu, membawakan sebuah lagu yang bagus dan sedap, tak akanlah saya tak mahu atau nak tengok sahaja orang lain buat?

“Orang kata saya tak patut nyanyi pada malam itu. Tetapi bagi saya, perjalanan itu sudah diaturkanNya. Saya beranikan diri juga untuk ambil cabaran itu walaupun tergelincir suara sedangkan sudah pergi kelas vokal dan latihan yang padat.

“Macam-macam orang kata, tapi saya anggap pengalaman itulah yang paling mahal yang dibawa pulang pada malam itu. Kalau saya tak buat, tak tahu bila lagi akan ada peluang seperti itu,”katanya.

Tidak menolak bahawa air mata turut menemaninya lantaran gagal memberikan yang terbaik sebagaimana yang dirancang, Nabila enggan terus lemah dan larut dalam emosi.

Malah, saat pulang ke rumah, ibunya, Shamsidah Abdul Rahman, juga sedaya upaya cuba menenangkan anaknya itu dengan nasihat berisi kasih sayang.

“Kata ibu kalau inilah kerjaya yang dipilih, yang dimahukan, maka saya kenalah terima dan hadapi semua kritikan. Selama ini pun, dia dan keluargalah yang banyak memberi sokongan.

“Setiap kali kecaman yang datang, saya tanya dan ingatkan diri sendiri, apa tujuan saya menyanyi? Hanya satu saja jawapan, semua ini demi orang tua saya.

“Saya menyanyi untuk mereka. Kalau menyanyi untuk orang lain, mungkin sudah lama saya tak menyanyi,”katanya.

Menganggap segala kekuatan yang ada datangnya daripada genetik ibu, Nabila sedar banyak lagi yang perlu ditempuhi selepas ini berbanding mengenang perkara yang sudah pun terjadi dan berlalu.

“Perkara yang semalam berlaku, ia sudah lepas. Kita masih ada hari esok untuk merancang dan melakukan yang terbaik. Saya berpegang pada prinsip itu, tak mahu berlama-lama dibelenggu emosi walaupun tahu ia tidak mudah.

“Tak mungkin juga untuk saya tiba-tiba sahaja berhenti menyanyi hanya kerana dikritik dan dikecam seperti itu. Menyanyi adalah apa yang saya sukai dan minati. Jadi, saya akan terus berada dalam bidang ini,”katanya.

Lebih berhati-hati

Satu lagi pengalaman yang sukar untuk dilupakan Nabila menerusi apa yang terjadi adalah bagaimana dia diberi hikmah dan gambaran jelas wajah-wajah manusia bertopeng yang selama ini rapat dan dekat dengan dirinya.

Kata Nabila, sungguh dia tidak menyangka, selama ini ada teman yang sangat rapat, orang industri yang baik dan sentiasa menampilkan senyuman manis, namun orang itulah juga yang berkata buruk tentang dirinya.

“Kesal juga kerana tak sangka orang yang sama-sama cari rezeki dalam bidang ini, duduk semeja berbual dan baik di depan saya, rupa-rupanya dia jugalah yang bercakap buruk pasal diri ini.

“Ibaratnya, kita cari rezeki, kongsi periuk nasi yang sama, sepatutnya makanlah elok-elok, sama-sama. Tempoh hari memang mengajar saya untuk mengenali siapa sebenarnya kawan dan lawan,”katanya.

Mengaku bukanlah seorang penyanyi yang tidak boleh menerima teguran atau kritikan, tetapi kata Nabila, jika datangnya daripada orang industri, tentu ada cara yang lebih baik untuk berbuat begitu berbanding berkata buruk di belakang.

“Tak ada isu pun kalau orang nak kritik saya, cuma selagi orang itu tidak mengacau periuk nasi, saya okey lagi.

“Satu saja saya nak pesan buat mereka-mereka ini, kalau nak tegur, jangan sampai nampak macam menyimbah minyak ke dalam api. Cubalah bagi semangat sesama kita, itu sudah cukup dan lebih baik.
“Bukannya dengan cara menjatuhkan semangat orang lain,”ujarnya.

Langkah bisnes Nabila

Dalam pada itu, berbicara mengenai perkembangan kerjaya, Nabila yang baru-baru ini melancarkan perniagaan Kek Lapis Sarawak yang memperlihatkan kerjasama baiknya dengan jenama Big Mouth.

Menurut Nabila, tawaran itu dilihat sesuai pada waktu ini memandangkan dia juga sedang meneroka bidang perniagaan selepas memulakan perniagaan Ayo Chicken sebelum ini.

“Sama macam bidang nyanyian, saya lihat ini juga satu peluang yang cerah untuk diteroka. Masa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak acara atau majlis yang terpaksa ditunda atau dibatalkan.

“Jadi bila ada masa terluang, saya fikir berniaga adalah platform terbaik untuk jana pendapatan, Saya pula sejenis orang yang tak pandai duduk diam dan kalau boleh hari-hari nak produktif.
“Jadi bila tawaran ini datang, saya tak lihat ia satu peluang yang perlu dilepaskan,”katanya.

Ditanya mengapa memilih kek lapis Sarawak, Nabila sedar tentunya di luar sana juga sudah ada ramai pihak yang menjalankan perniagaan yang sama, tetapi Big Mouth X Nabila ada rasa yang berbeza.

“Kek yang dihasilkan semuanya kategori premium, bahannya berkualiti dan memang Gred A. Ia juga didatangkan dari Sarawak dan tentunya memberikan citarasa autentik buat penggemar kek lapis,”katanya.

Terdapat dalam empat jenis perisa, kek lapis Nabila juga menarik kerana setiap nama yang diberikan sinonim dengan judul lagu-lagu nyanyiannya iaitu Vroom Vroom, Second Chance, Cumi Cumi dan Jealous.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×