Pemegang rekod dunia 2016 ikan Toman kelas 30 paun, Roob Ganesan sanggup meninggalkan pekerjaan dalam sektor minyak dan gas, demi mengejar cita-cita sebagai pemancing disegani. Penulis menyingkap pengalaman jejaka ini menarik joran hingga membawanya ke hutan Amazon demi cinta dan impian.
Berjawatan tinggi tetapi masih ada yang kurang di rasakan bersarang dalam dirinya.
Bagi Roob Ganesan, apalah gunanya dilingkari kemewahan sedangkan hatinya kosong. Segala-gala dilakukan dirasakan polos dan tidak menyeronokkan.
“Bangun tidur menghadap laut untuk tempoh lama sebelum kembali ke darat. Saya tak gembira dengan situasi itu,” katanya.

Tatkala hadir perasaan kurang enak itulah yang telah ‘memancing’ dirinya mendalami hobi yang satu ketika pernah menjadi aktiviti wajib pada waktu lapangnya iaitu memancing dan mengambil keputusan berhenti kerja.
“Bila mana sudah kembali memancing saya dapat rasakan satu aura positif dan sihat serta mencabar. Lagi pun sudah lebih sedekad merantau di negara orang, jarang-jarang balik rumah habiskan masa bersama keluarga.
“Dalam masa sama, kondisi kesihatan mak ketika itu tidak berapa baik. Justeru saya mengambil keputusan muktamad untuk balik ke Malaysia dan menjadikan hobi ini sebagai bisnes dan dapat meluangan lebih banyak masa bersama keluarga dan jaga mak,” katanya.
Anak jati kelahiran Selangor ini merasakan sudah tiba masanya untuk berkecimpung sepenuh masa dalam aktiviti sukan memancing dan dijadikan sebagai perniagaan.
Lantas sekitar 2015 Ganesan telah pun membuka Drave Fishing sebagai pengusaha peralatan memancing.
Dunia memancing membawanya berkelana hingga di hutan Amazon Bolivia, Amerika Selatan.
Kecintaan itu dibuktikan dengan pencapaian dirinya menang sebagai pemegang rekod dunia 2016 ikan toman kelas 30 paun.
Keletah bekas pengurus sektor minyak dan gas sebuah syarikat di Bangkok, Thailand ini dapat disaksikan dalam program program majalah berkonsepkan travelog dan sukan memancing, Kail-X di kaca televisyen.
Selaku hos program, kefasihannya berbahasa Melayu dan lagak bersahaja sewaktu memancing memperlihatkan ada faktor X dalam dirinya.
Lebih-lebih lagi dunia memancing selalu memaparkan ia dimonopoli Melayu.
Genre memancing
Sekiranya diberikan pilihan antara air tawar dan air masin, Ganesan lebih teruja dengan memancing ikan air tawar atau fresh water fishing.
Aktiviti memancing katanya terbahagi kepada dua, air tawar sama ada di sungai, paya dan parit, manakala air masin iaitu salt water fishing di laut.
“Sebelum kerja di bidang korporat saya bekerja di pelantar, bila mana setiap hari menghadap air laut, saya jadi bosan. Saya pula seorang yang lebih sukakan kehijauan alam semula jadi. Oleh itu, saya pilih aktiviti memancing di air tawar, sambil memancing dapatlah menikmati alam semula jadi.
“Ada segelintir pemancing lebih sukakan pengalaman memancing di kolam pancing bila ada masa, ada juga yang mencari pengalaman tarikan ikan yang kuat di air masin termasuklah mencari ikan di tempat-tempat eksotik seperti di Hutan Borneo, Papua dan Amazon.
Menjelaskan lebih lanjut, Ganesan memberitahu memancing bukan sekadar pancing ikan sahaja tetapi melibatkan proses.
“Ibarat kita bercinta, perlukan ayat manis dan skil memujuk. Begitu juga dalam aktiviti ini di mana perlukan peralatan memancing yang sesuai mengikut tempat yang dituju,” katanya memberikan pemahaman sebagai menyangkal pandangan segelintir yang menganggap memancing sebagai suatu aktiviti membuang masa.
Peralatan dan umpan
Aktiviti memancing itu menjanjikan cabaran berbeza. Lantaran itu kata Ganesan, perlu bagi setiap pemancing menyediakan peralatan sesuai sebelum keluar memancing.
“Memancing di air masin lebih mencabar kerana ikannya lebih besar. Joran yang kukuh diperlukan untuk menarik ikan.
Selalunya berat ikan laut yang disasar pemancing boleh mencecah sehingga 10 kilogram. Disebabkan itu, memerlukan peralatan yang dapat menampung berat ikan yang bakal dipancing. Hal ini berbeza di air tawar, saiz ikan lebih kecil, jadi tidaklah memerlukan peralatan yang seperti mana di air masin.
“Soal umpan tiruan pula adalah bertujuan memerangkap ikan supaya menyambar umpan. Penggunaan umpan ini dalam sehari mungkin boleh jadi tak dapat seekor ikan,” jelasnya istilah penggunaan umpan tiruan dikenali sebagai casting.
‘Hampir mati kerana joran’
Mendedahkan keterujaan memancing dan menarik joran, Ganesan memberitahu, hampir pernah nyawanya diragut.
Dalam insiden di Papua, katanya bot dinaiki dipukul ombak kuat.
“Pendek kata kalau silap pergerakan memang boleh bawa maut sebab ombak kuat berukuran lima ke enam meter.
“Walaupun kita berjaga-jaga, kadang-kala cuaca kita tidak boleh ramal. Setiap destinasi ada cerita dan pengalaman serta cabaranya tersendiri. Begitu juga sewaktu saya di Amazon, hampir terkena pokok tumbang, mungkin disebabkan angin kuat.
Begitupun pengalaman paling indah dirasakan ialah bila mana dapat melihat ikan paus secara langsung sewaktu memancing di Papua, Indonesia.
“Keindahan alam dan ciptaan Tuhan yang menakjubkan kerana ikan-ikan paus ini sangat besar, menarik dapat melihat ikan paus menyedut ikan-ikan kecil sebagai makanan.
“Selain itu, dapat melihat ikan Yu dan mendengar bunyi ikan Orca, semua ini luar biasa,” ujarnya.











