Melentur buluh biar dari rebungnya. Minat membaca dalam diri anak-anak perlu dipupuk sejak dari usia kecil lagi. Usahlah mengharapkan anak terus mampu lancar membaca, sebaliknya kenal huruf dan menyebut hanya dua suku kata, ia sesuatu pencapaian cukup membanggakan.
Buntu memikirkan bagaimana cara memupuk sikap minat membaca sewaktu di usia mereka yang hanya tertumpu pada keseronokan bermain sahaja? Berikut tips mudah membudayakan minat membaca dalam kalangan anak-anak:
Ibu bapa sebagai contoh
Sekiranya kita mahukan anak suka membaca, maka kita mestilah lebih dahulu suka membaca. Tunjukkan contoh kepada anak betapa seronoknya membaca dan perlahan-lahan ajak anak ikut membaca bersama kita atau bacakan cerita untuk mereka. Anak akan meniru tabiat membaca ibu bapa. Jika anak lihat ibu bapa leka bermain telefon bimbit sahaja, bagaimanakah mereka mahu mencontohi kita?
Luangkan masa
Sesibuk mana pun kita dengan aktiviti harian, luangkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk sesi membaca bersama anak. Jadikan sesi membaca ini sebagai rutin harian keluarga. Pilihlah waktu yang sesuai misalnya apabila kita dan anak berada dalam mood tenang, contohnya sebelum tidur.
Jangan paksa anak anda
Tugas ibu bapa bukan memaksa, sebaliknya sebagai penggalak dalam mewujudkan keseronokan atau wonderful feeling bila tengok buku.
Bacakan buku bergambar untuk anak-anak
Satu teknik sangat mudah adalah dengan mengajarkan mereka membaca menggunakan bahan bacaan bergambar. Bahan bergambar lebih mudah diingati anak-anak berbanding tulisan. Suruh mereka sebutkan gambar yang mereka lihat kemudian tunjukkan padanan ejaan suku kata bagi gambar tersebut.
Bermula awal
Biasakan anak dengan buku sejak kecil, walaupun ketika anak masih dalam kandungan lagi. Deria pendengaran merupakan antara deria terawal yang terbentuk pada bayi dan bayi boleh mendengar suara ibu. Ibu digalakkan untuk mengaji, membaca buku dan berbual-bual dengan anak di dalam kandungan. Jadikan buku sebagai objek yang tidak asing dalam hidup anak-anak.
Bina perpustakaan mini di rumah
Jika mampu, bina perpustakaan mini di rumah. Pupuk anak-anak dengan minat membaca buku. Letakkan buku mereka gemari di sana bagi menarik minat mereka untuk membaca.
Bawa ke kedai buku berdekatan
Setiap hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa, bawalah anak ke kedai buku berdekatan. Berikan mereka peluang dan masa mencari naskhah mereka ingini. Kebiasaannya buku itulah yang akan dibelek berulang kali.
Bahan bacaan ikut tahap usia
Gunakan buku sesuai mengikut peringkat umur anak. Contohnya, untuk bayi dan anak yang berumur di bawah dua tahun, bacakan buku yang mempunyai gambar menarik, warna terang dan bahasa yang ringkas.







