Taylor Swift sumbang RM4.12 juta kepada mangsa banjir - Utusan Malaysia

Taylor Swift sumbang RM4.12 juta kepada mangsa banjir

Taylor Swift sumbang derma kepada mangsa banjir Lousiana 2016
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bintang Pop Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift, 32, aset yang cukup berharga dalam bidang muzik dunia. Mula menunjukkan minat terhadap muzik sejak di bangku sekolah.

Semasa berusia 11 tahun, dia sudah mempersembahkan nyanyian semasa pertandingan sukan bola keranjang yang disertai pasukan Philadelphia 76.

Tahun berikutnya, dia mula menulis lagu dan memetik gitar dengan menjadikan penyanyi daripada muzik country seperti Shania Twain dan Dixie Chicks sebagai sumber inspirasi.

Semasa berusia 13 tahun, ibu bapanya menjual ladang milik mereka di Pennsylvania sebelum berpindah ke Hendersonville, Tennessee yang membolehkan dia meluangkan banyak masa di sekitar Nashville.

Setahun selepas itu, ketika menginjak usia 14 tahun pada 2004, Swift sudah menandatangani perjanjian sebagai penulis lagu dengan syarikat rakaman Sony/ATV.

PERMULAAN KARIER
Dia mempersembahkan koleksi lagu yang diciptanya sendiri di Nashville sehingga seorang Eksekutif syarikat rakaman, Scott Borchetta menyedari bakat seninya.
Akhirnya, Borchetta melamar Swift menyertai label muziknya, Big Machine dan single pertamanya Tim McGraw dilancarkan pada 2006.

ANUGERAH GRAMMY
Penyanyi ini mula mengukir nama dalam Anugerah Grammy sejak 2010 apabila meraih empat anugerah seperti Lagu Country terbaik, Album Country Terbaik dan Album Terbaik.

Taylor Swift memegang trofi anugerah Album Terbaik semasa Anugerah Grammy ke-63. – AFP

Swift turut melakar sejarah apabila memenangi anugerah bagi kategori Album Terbaik, buat tiga kali berturut-turut semasa Anugerah Grammy ke-63 yang berlangsung secara maya dari Pusat Konvensyen Los Angeles, AS, minggu lalu.

Swift menerima trofi bagi album Folklore selepas pernah memenangi kategori sama menerusi album Fearless pada 2010 dan album 1989 pada 2016.

Sebagai rekod, hanya tiga artis lain yang pernah memenangi album terbaik sebanyak tiga kali iaitu Frank Sinatra, Paul Simon dan Stevie Wonder.

Ini bermakna, Swift merupakan artis keempat dan artis wanita pertama yang memenangi anugerah paling berprestij itu.

Swift menerima enam pencalonan dan rekod lalunya adalah 10 kali kemenangan dan 41 pencalonan menerusi majlis anugerah muzik itu.

ALBUM PERTAMA
Dikurniakan rupa paras menawan dan bakat nyanyian yang lebih bercirikan santai, kemunculannya dahulu tidaklah begitu mendapat perhatian.

Tidak pernah terbayang dia mampu meninggalkan impak besar dalam industri muzik, apatah lagi berpotensi untuk tersenarai sebagai penyanyi sepanjang zaman.

Menjengah usia 16 tahun, Swift mempunyai album debut sendiri sehingga meraih pengiktirafan platinum pada 2007 apabila albumnya terjual lebih sejuta cetakan di AS.

Dia malah diundang mengadakan persembahan pembukaan di konsert artis ternama lain seperti George Strait, Kenny Chesney, Tim McGraw dan Faith Hill.

Pada bulan November tahun sama, Swift menerima Anugerah Horizon bagi artis baharu terbaik daripada Persatuan Muzik Country (CMA) sekali gus muncul sebagai bintang muda muzik negara yang paling menyerlah.

Kariernya mula berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan menerusi penghasilan album kedua, Fearless pada 2008 dengan menghasilkan lagu pop.

Album itu berjaya terjual sebanyak setengah juta cetakan pada minggu pertama bahkan menjadi album paling laris berbanding album yang dihasilkan penyanyi lain.

Single seperti You Belong with Me, Love Story menjadi ledakan dalam pasaran digital apabila merekodkan sebanyak empat juta jumlah lagu yang dimuat turun secara berbayar.

Pada 2019, Swift melancarkan album ketujuh, Lover yang ditakrifkan sebagai surat cinta buat dirinya sendiri.

Tahun sama, dia membuat kemunculan dalam pementasan muzikal Cats, sebuah adaptasi filem daripada produksi panggung Andrew Lloyd Webber yang sangat berjaya.

SIFAT DERMAWAN
Swift sememangnya merupakan seorang penyanyi yang dermawan sehingga mendapat pengiktirafan Anugerah Do Something dan Perkhidmatan Bencana Tennessee.

Dia juga pernah menerima Anugerah The Big Help berhubung dedikasinya membantu individu terjejas serta menjadi inspirasi terhadap orang lain menerusi tindakannya.

Pada 2008, dia menderma AS$100,000 (RM411,515) kepada Persatuan Palang Merah bagi membantu mangsa banjir Iowa.

Semasa banjir Tennessee yang melanda Mei, 2010, Swift menderma sebanyak AS$500,000 (RM2.05 juta) dan AS$1 juta (RM4.12 juta) ketika banjir Lousiana 2016.

Swift adalah penyokong seni dan menderma AS$75,000 (RM308,636) kepada Nashville Hendersonville High School pada 2010 untuk membantu membaik pulih auditorium sekolah.

Pada 2012, Swift bekerjasama dengan syarikat sewa buku teks, Chegg untuk menderma AS$60,000 (RM247,196) kepada jabatan-jabatan muzik dari enam kolej di AS.

Swift juga mengambil berat mengenai kadar celik huruf kanak-kanak. Pada 2009, beliau menderma AS$250,000 (RM1.02 juta) kepada pelbagai sekolah di seluruh negara untuk penambahbaikan sistem pendidikan.

Usaha beliau yang lain termasuk menderma 6,000 buku Scholastic kepada Perpustakaan Awam Reading, Pennsylvania, 14,000 buku kepada Perpustakaan Awam Nashville, Tennessee, 2,000 buku Scholastic untuk program literasi awal Hospital Pusat Kesihatan Membaca Kanak-kanak serta 25,000 buku ke sekolah-sekolah New York pada 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×