Pukauan suara Celine Dion - Utusan Malaysia

Pukauan suara Celine Dion

CELINE Dion membuat persembahan dalam konsert di Quebec City, Kanada pada September 2019. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA lagu My Heart Will Go On nyanyian Celine Dion mula berkumandang di corong-corong radio 24 tahun lalu, usia saya baru menginjak 10 tahun atau Darjah Empat.

Namun, sehingga kini, runut filem blockbuster Titanic itu masih segar dalam ingatan, malah liriknya juga dihafal.

PENYANYI Celine Dion ketika menghadiri Anugerah Muzik Billboard 2017 di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat. – AFP

Semasa artikel ini ditulis, lagu kompilasi penyanyi lagenda itu dipasang bagi membangkitkan mood pukauan suara Celine Dion yang tidak pernah jemu didengar.

Berasal dari Charlemagne, Quebec
Dion dilahirkan di Charlemagne, Quebec yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Montreal, Kanada. Majoriti penduduk di pekan tersebut berkomunikasi dalam bahasa Perancis.

Dion merupakan anak bongsu daripada 14 adik-beradik dengan bapanya, Adhemar bekerja sebagai penjual daging, manakala ibunya, Therese adalah suri rumah.

Muzik main peranan besar
Sejak kecil, muzik merupakan antara ‘keperluan utama’ bagi Dion sekeluarga dan nama Celine dipilih sempena lagi berjudul Celine yang didendangkan oleh penyanyi Perancis, Hugues Aufray.

Sentiasa ingin jadi penyanyi
Impian Dion adalah untuk menjadi penyanyi yang berjaya dan dikenali ramai. Persembahan pertamanya adalah ketika dia berusia lima tahun dengan menyanyi dalam majlis perkahwinan abangnya.

Ketika berusia 12 tahun, Dion menghasilkan lagu pertama yang berjudul Ce n’etait qu’un rêve (It was nothing but a dream) bersama ibu dan abangnya, Jaques

Langkah bermula
Ibu Dion kemudiannya menghantar rakaman lagu tersebut kepada seorang pengurus terkenal, René Angélil yang melihat penyanyi itu mampu menjadi bintang suatu hari nanti.

“Semasa pertemuan kali pertama, Dion agak pemalu dan mendiamkan diri, namun, dia tiba-tiba menyanyi dan lantunan suaranya hampir buat saya menangis,” kata Angélil.

Sejak itu, pengurus tersebut percaya bakat yang ada pada Dion tidak boleh disia-siakan, malah dia sanggup mencagarkan rumahnya bagi mendapatkan duit untuk menghasilkan album pertama Dion.

Album pertama penyanyi itu berjudul La voix du bon Dieu, dan turut menampilkan lagu pertama yang dihasilkannya, Ce n’etait qu’un rêve.

‘Hilang’ selama setahun setengah
Pada 1986 ketika Dion berusia 18 tahun, dia dan Angélil membuat keputusan sudah tiba masanya untuk mengubahnya menjadi penyanyi dewasa dengan penampilan baharu.

Dion tidak membuat kemunculan selama 18 bulan dan penampilan pertamanya menyaksikan banyak perubahan dilakukan pada penyanyi itu termasuk gaya rambut dan juga solekan, selain Dion juga belajar menyanyi dalam bahasa Inggeris.

Hasilkan album Inggeris pertama
Pada usia 22 tahun, Dion sudah pun menghasilkan lapan buah album dan untuk yang kesembilan, dia tampil dengan album berbahasa Inggeris pertama berjudul Unison.

Album itu terjual lebih tiga juta unit di seluruh dunia dan namanya mula mendapat perhatian di Amerika Syarikat (AS), selain mendapat banyak jemputan untuk mengadakan persembahan di Hollywood.

Tidak suka lagu My Heart Will Go On
Kerjaya antarabangsa Dion memuncak menerusi lagu tema filem Titanic pada 1997. Lagu itu turut menyumbang kepada kejayaan Titanic untuk diangkat sebagai filem blockbuster.

Selain itu, lagu tersebut menyapu bersih kesemua pencalonan dalam Anugerah Grammy dan Oscar.

Namun, Dion pada mulanya dikatakan tidak menyukai lagu tersebut kerana kurang senang dengan melodinya.

“Saya hanya fikir untuk tamatkan segera rakaman lagu ini dan keluar dari studio secepat mungkin,” jelas Dion ketika ditanya mengenai lagu berkenaan.

Malah, dia mencadangkan supaya lagu lain dirakam bagi menggantikan My Heart Will Go On.

Berkahwin dengan pengurus sendiri
Dion dan Angélil bertunang pada 1991 dan mereka merahsiakan hubungan bagi menjaga kerjaya masing-masing.

PENYANYI itu berkahwin dengan Rene Angelil ketika dia berusia 26 tahun. – AFP

Pada tahun 1994, pasangan itu berkahwin dalam satu majlis mewah di Montreal.

Berusaha dapatkan anak
Pasangan itu berusaha bertahun-tahun untuk mendapatkan cahaya mata, namun gagal sehingga mereka melakukan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) pada 2000.

Anak pertama mereka iaitu René-Charles Angélil dilahirkan pada tahun yang sama dan pada Januari 2010, Dion mengumumkan dia hamil anak kembar.

Kematian suami
Pada 2016, Dion kehilangan suaminya yang meninggal dunia kerana kanser.

Perjalanan seni Dion sedikit perlahan ketika suaminya sakit dan dia lebih banyak meluangkan masa bersama Angélil kerana lelaki itu banyak mengubah hidupnya.

Selepas kematian Angélil, Dion kembali dalam dunia hiburan dan tidak pernah melupakan usaha serta pengorbanan mendiang suaminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×