Peranti sel fuel oksida pepejal sebagai sumber tenaga - Utusan Malaysia

Peranti sel fuel oksida pepejal sebagai sumber tenaga

Sebahagian ahli kumpulan SOFC di Institut Sel Fuel, UKM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sel fuel adalah sejenis peranti seperti bateri yang mampu menjana kuasa elektrik. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan antara sel fuel dengan bateri yang kebiasaannya digunakan dalam aplikasi kehidupan seharian seperti telefon bimbit, kereta dan sebagainya.

Sel fuel mampu menghasilkan tenaga elektrik secara berpanjangan.

Perbezaan utama ialah sel fuel mampu membekalkan tenaga elektrik untuk jangka masa yang panjang berbanding dengan bateri yang hanya mampu menjalankan fungsinya dalam tempoh tertentu.

Sel fuel mampu menghasilkan tenaga elektrik secara berpanjangan selagi dibekalkan dengan bahan bakar dan oksidan untuk digunakan dalam tindakbalas elektrokimia bagi menukar oksidan dan bahan bakar kepada tenaga elektrik. Tambahan pula, sel fuel tidak melibatkan sebarang proses mekanikal mahupun pembakaran dan ini menjadikannya sebagai satu sumber tenaga hijau. Sehingga kini, sel fuel digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti stesen jana kuasa, telekomunikasi, kapal angkasa dan automotif.

Antara kesemua sel fuel, Sel Fuel Oksida Pepejal menarik minat penyelidik kerana keberkesanannya yang lebih tinggi iaitu 40-60% dalam pengitaran haba yang terhasil daripada operasi penghasilan elektrik. Selain daripada itu, ia juga berkebolehan untuk menggunakan biogas sebagai bahan bakar.

Biogas merupakan bahan bakar hijau yang boleh digunakan untuk penjaan tenaga dan terhasil dari sisa pepejal bandaran melalui pencernaan anaerobik.

Sebagai pengeksport kelapa sawit kedua terbesar, Malaysia mempunyai loji rawatan efluen kilang minyak sawit yang banyak untuk dijadikan sebagai sumber biogas. Walau bagaimanapun, sumber ini kurang dimanfaatkan untuk penjanaan kuasa elektrik.

Sumber lain yang juga berpotensi untuk memperoleh biogas adalah loji rawatan kumbahan, tempat ternakan lembu dan kawasan tanah timbus

Menariknya, jika pemasangan pencerna atau kolam anaerobik dan peranti SOFC dilakukan pada setiap lokasi sumber biogas, penjanaan elektrik yang terhasil dijangka dapat menampung sebilangan besar kawasan industri dan perumahan di Malaysia. Selain memberi rangsangan kepada ekonomi negara, penggunaan biogas dalam peranti SOFC untuk penjanaan elektrik dijangka memberi penyelesaian kepada pengurusan sisa dan tenaga secara serentak.

Struktur peranti sel fuel.

Kajian terhadap peranti SOFC telah bermula di Institut Sel Fuel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak sedekad yang lalu dan masih giat dijalankan sehingga ke hari ini.

Terkini, kumpulan penyelidikan ini telah berjaya memperolehi dana penyelidikan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia bagi membangunkan peranti SOFC yang boleh memanfaatkan biogas terhasil di Malaysia sebagai bahan bakar. Perbincangan juga sudah dimulakan untuk menjalin kerjasama dengan industri berkaitan seperti Indah Water Konsortium Sdn. Bhd., Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Sime Darby Research Sdn Bhd.

Kejayaan projek ini akan mendekatkan taraf Malaysia dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, China, Jerman, Perancis, Itali, Jepun dan Korea dalam pembangunan teknologi SOFC menggunakan biogas. Selain itu, penerapan aplikasi SOFC secara meluas dan sistematik di Malaysia dijangka dapat mengurangkan penghasilan gas hijau dan menyumbang kepada penjanaan elektrik melalui sumber tenaga boleh pulih yang disasar dalam Polisi Tenaga Boleh Pulih Malaysia.

——–
Prof. Dr. Andanastuti Muchtar Penyelidik di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Muhamad Isyraf Bin Aznam Calon Doktor Falsafah (PhD) di Institut Sel Fuel, UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×