Mengumpul poskad? Jika ditanya remaja sekarang sudah tentu mereka menganggap hobi itu hobi orang lama atau hobi generasi ayah dan ibu mereka.
Hobi itu dianggap sebagai khazanah silam yang semakin dilupakan.
Lebih-lebih mengirim poskad bukanlah suatu amalan.
Lain pula pandangan Eunice Wong. Baginya, mengumpul poskad menyuntik rasa sentimental dan menghilangkan stres berdepan tekanan kerja.
Jika kebanyakan golongan muda gemar memuat naik gambar dalam Instagram (IG) atau bertanya khabar keluarga dan rakan dengan cara mudah menggunakan pelbagai saluran media sosial, seperti panggilan video, Eunice sebaliknya lebih selesa memilih poskad sebagai kiriman pengganti diri.
Ke mana pun kakinya mengembara, pasti akan ada poskad sebagai cenderahati buat keluarga, teman dan untuk diri sendiri sebagai kenang-kenangan.
“Saya suka mengumpul poskad dari pelbagai tempat, tak kisah jika dia lokal atau dari luar negara,” katanya memulakan bicara.
Wanita berusia 33 tahun ini mula mengumpul poskad sejak berusia 15 tahun.
“Ketika itu seorang kawan saya berhijrah ke New Zealand bersama keluarganya. Dia selalu mengirimkan saya poskad. Sejak itu, saya banyak meminta kawan-kawan dan keluarga untuk menghantar poskad kepada saya, untuk saya kumpul,” jelasnya.
BERTAMBAH
Koleksi poskad Eunice kian bertambah apabila beliau melanjutkan pengajian di salah sebuah Universiti di Melbourne, Australia.

“Pada 2007, Whatsapp dan Facetime belum ada lagi. Yang ada hanya panggilan biasa atau Skype sahaja. Begitupun, saya masih menggunakan cara lama iaitu menulis surat kepada keluarga dan kawan-kawan.
“Situasi itu ada kelebihannya sebab saya gunakan peluang itu untuk meminta poskad daripada mereka. Tak kira ke mana pun mereka melancong, bercuti atau mengembara, mereka tidak pernah lupa mengirimkan saya poskad,” katanya
LEBIH BERMAKNA
Eunice mengakui lebih gemar mengumpul poskad berbanding barangan lain seperti pakaian, rantai kunci dan sebagainya.
Poskad katanya berupaya, membuatkan saya tersenyum terutama apabila membaca tulisan tertera atas poskad.
“Ia banyak memberi kenangan kepada saya. Poskad adalah rakaman sejarah. Ia bukti saya sudah sampai ke sesuatu destinasi,” katanya.
Antara tips Eunice memiliki banyak poskad ialah menginap di hostel berbanding hotel dalam kalender pelancongannya. Baginya, hostel lokasi paling sesuai mencari kenalan baharu.
Selain berkongsi pengetahuan mengenai negara lain, rakan dikenali di hostel antara penyumbang terbesar koleksi poskadnya.
“Bagi saya, menulis poskad lebih memberi kepuasan apatah lagi apa yang ditulis itu dikongsi dengan orang tersayang. Ia seperti kita merakam memori di satu-satu tempat dan diabadikan dalam sekeping gambar yang akan wujud sampai bila-bila selagi poskad itu tidak rosak,” katanya.
Daripada segi pemilihan poskad, beliau lebih sukakan potret berbanding pemandangan.
“Potret wajah ada pelbagai reaksi dan identiti negara dikunjungi.” katanya.
250 KOLEKSI
Tambah Eunice, dia mempunyai lebih 250 poskad termasuk dari dalam negara seperti Sabah, Sarawak atau Cameron Highlands. Tidak ketinggalan dari luar negara seperti Jepun, London, Switzerland, Australia, Italy, Dubai, dan lain-lain.
Pun begitu, apabila pandemik Covid-19 menular, dia tidak lagi menerima dan mengumpul poskad kerana tidak dapat melancong ke luar negara.
Kata Eunice, tidak hanya yang baru dicetak, dia juga gemar mengumpul poskad lama.
“Saya pernah temui satu kotak poskad lama sekitar 80-an di pasar pagi. Gambar hitam putih dengan bahagian belakang masih kosong tanpa ditulis apa-apa. Bagi saya itu ‘hadiah’ istimewa kerana ia jarang ditemui. Bukan hanya gambar malah jenis kertas digunakan berbeza daripada poskad yang dicetak zaman sekarang.
“Kalau jumpa dengan barang yang jarang ditemui seperti ini, saya akan beli untuk koleksi sendiri yang kebanyakannya saya simpan dalam bingkai gambar atau album. Ada juga beberapa poskad keluaran terhad yang masih disimpan rapi hingga sekarang,” katanya yang berharap Covid-19 akan berakhir dan dia boleh ke luar negara mengumpul poskad.
Ditanya tip penjagaan poskad, Eunice selalu menyimpan poskad dalam satu kotak memori dan letak dalam almari supaya ia tak sentuh air, udara atau berhabuk. Eunice selalu ada kotak hadiah keras supaya ia boleh simpan dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, Eunice yang cukup menggemari bidang fotografi dan seni berkata, dia tidak akan melepaskan peluang mengunjungi pameran fotografi atau lukisan sekiranya berada di sesebuah kota.
“Setiap orang ada minat tersendiri. Kalau ada yang gilakan sejarah, saya gilakan seni. Seni boleh jadi apa saja daripada bahasa, seni bina bangunan, lukisan atau abstrak. Tapi paling utama adalah poskad dan fotografi,” katanya.
“Walaupun poskad tidaklah mahal seperti cenderamata lain, saya percaya ia berharga bagi sesiapa pun yang menerimanya apalagi kita tahu ia memerlukan usaha pengirim sebelum sampai ke tangan penerima,” katanya.










