Ruang belajar perlu selesa, elak risiko kecederaan saraf kanak-kanak - Utusan Malaysia

Ruang belajar perlu selesa, elak risiko kecederaan saraf kanak-kanak

Duduk terlalu lama boleh meningkatkan risiko gangguan musculoskeletal. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penularan pandemik COVID-19 mengubah corak pembelajaran kanak-kanak sekolah. Kalau dahulunya kanak-kanak perlu ke sekolah secara fizikal untuk sesi pembelajaran, namun begitu, pada sesi pengajian awal tahun ini, rumah telah menjadi sekolah utama anak-anak.

Pembelajaran di rumah secara maya oleh guru sekolah telah menjadi satu medium penyampaian utama dalam majoriti kanak-kanak sekolah.

Walaubagaimanapun bentuk penyampaian silibus subjek sekolah, ibu bapalah sebenarnya tonggak utama anak-anak bagi memastikan mereka mendapat suasan pembelajaran berkualiti dalam persekitaran di dalam rumah.

Selain memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik, antara tanggungjawab lain ibu bapa dalam fasa ini adalah dengan penyediaan ruang belajar selesa untuk anak-anak belajar dan mengikuti kelas diadakan guru.

Keselesaan dan ruang belajar
Apakah yang dimaksudkan dengan takrifan selesa? Dan apa kaitannya dengan ruang belajar?

Ia merujuk kepada kebebasan anak-anak menggunakan ruang belajarnya tanpa rasa terkekang dan berasa sakit dalam penggunaannya.

Ibu bapa perlu sediakan ruang selesa untuk anak-anak belajar.

Ruang belajar yang baik seeloknya menawarkan posisi ketika belajar yang tidak janggal dan reka bentuk ruang kondusif dan ergonomik.

Walaupun duduk ketika belajar, dianggap aktiviti biasa, tetapi itu tidak mengecualikan individu tersebut daripada terdedah kepada risiko kecederaan terutama apabila duduk dalam tempoh yang lama dan dalam keadaan duduk yang janggal. Antara contoh risiko sakit dikaitkan dengan keadaan duduk ialah sakit belakang, sakit leher, sakit bahu dan kebas bahagian kaki.

Ciri asas ruang belajar
Pemilihan perabot sesuai, persekitaran luaran ruang baik serta penyusunan peralatan dan bahan pengajaran antara perkara asas perlu diteliti dalam penyediaan ruang belajar yang baik.

Pemilihan perabot mengikut ciri-ciri fizikal anak-anak amat digalakkan kerana setiap anak-anak walaupun pada usia yang sama mempunyai parameter saiz badan berbeza.

Jika mempunyai peruntukan kewangan baik, kerusi dan meja yang boleh laras mengikut penggunaan adalah disarankan untuk dipilih.

Kenapa pemilihan ini mempengaruhi keselesaan?

Ini disebabkan oleh kerusi dan juga meja adalah tempap paling lama digunakan bagi satu tempoh sesi pembelajaran.

Jika kedua-duanya tidak serasi dengan penggunanya, ia akan menyebabkan anak-anak hilang fokus dan menyumbang kepada risiko gangguan muskuloskeletal.

Terdapat juga ibu bapa yang menyediakan ruang belajar dengan menggunakan perabot sedia ada.

Kerusi dan meja makan sebagai ruang belajar terutama ketika sesi atas talian bersama guru.

Namun kemungkinan kerusi disediakan tidak sesuai dengan fizikal anak-anak untuk sesi pembelajaran.

Dalam hal ini ibu bapa boleh mengambil sebarang bantal atau pelapik sesuai supaya postur terutama pada bahagian bawah belakang badan tidak terlalu bengkok.

RISIKO LANTAI
Jika tiada pilihan, kerusi dan meja makan juga boleh dianggap sesuai berbanding melakukan kerja di atas lantai.
Duduk atas lantai boleh menyebabkan kesan sampingan termasuklah:
 Tekanan tambahan pada sendi dan anggota badan atas serta lutut dan pergelangan kaki.
 Posisi duduk atas lantai menyebabkan individu cenderung membongkok ketika melakukan kerja.
 Masalah untuk berdiri kembali jika duduk dalam tempoh yang lama.

Bermula dengan rasa tidak selesa, dalam jangka masa yang panjang, ia akan berubah menjadi kesakitan teruk dan kemungkinan kecederaan jika tidak dirawat.

PERSEKITARAN:
Penilaian risiko dalam ruang belajar anak-anak juga perlu wujud dalam memastikan kualiti pembelajaran anak-anak meningkat. Antara perlu diambil kira ialah:
 Tahap pencahayaan,
 Tahap pengudaraan atau kelembapan
 Tahap kebisingan
 Peralatan bahan pembelajaran disusun mengikut zon jangkauan (reach zone) dan kekerapan penggunaan.
 Elakkan pemasangan elektrik serta peralatan yang tajam yang mengundang bahaya kepada anak-anak.

Regangan
Duduk dalam tempoh lama ditambah dengan kedudukan dan postur duduk hampir statik, berpotensi menyebabkan gangguan musculoskeletal.
Ia disebabkan berat badan individu yang duduk, memberikan tekanan besar dan boleh mengakibatkan gangguan pada peredaran darah. Akibatnya, ini akan menyebabkan bekalan oksigen ke badan tidak mencukupi.
Bermula dengan rasa tidak selesa, dalam jangka masa yang panjang, ia akan berubah menjadi kesakitan teruk dan kemungkinan kecederaan jika tidak dirawat.
Justeru anak-anak disaran:
 Tidak berada dalam keadaan statik ketika dalam aktiviti duduk ketika belajar.
 Ubah posisi, malah setiap 30 minit.
 Bangun dari tempat duduk.
 Berjalan atau melakukan sedikit regangan ringan bagi melancarkan peredaran darah dan mengurangkan kelesuan otot.

Pemantauan ibu bapa
Bukan semua ibu bapa di rumah ketika berlangsungnya sesi pembelajaran formal anak-anak di rumah. Namun pemantauan boleh dilakukan dengan:
 Mengambil tahu tentang jadual belajar anak-anak.
 Catatkan tugasan perlu disiapkan dalam satu medium catatan yang boleh dipantau bersama-sama seperti papan putih, telefon bimbit dan buku nota.

Fasa pandemik ini sememangnya dianggap mencabar bagi kebanyakan ibu bapa, di mana rasa agak tertekan dengan rutin dalam norma baharu ini.
Tetapi, tanpa sokongan dari ibu bapa, anak-anak mungkin akan tergelincir daripada menimba ilmu pendidikan sewajarnya.
—————
Dr. Nor Kamaliana Khamis ialah Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Nor Kamaliati Khamis ialah Pegawai Psikologi Kanan, Jabatan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN