Misz Tart mahu popularkan sajian ke peringkat antarabangsa - Utusan Malaysia

Misz Tart mahu popularkan sajian ke peringkat antarabangsa

Tart nanas sedia untuk dipasarkan ke seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesedapan tart nanas buatan anak tempatan yang juga Pengarah Urusan Misz Tart, Chef Mohamad Azhar Yakub, bukan kerana campuran jem nanas import tetapi resipi rahsia yang melalui proses penambahbaikan sejak 11 tahun lalu.

Menurut Pengarah Pembangunan Perniagaan Misz Tart, Muhammad Fathi Ismail, jem tart nanas istimewa dihasilkan sendiri membezakan rasa tart syarikat tersebut dengan tart nanas lain di pasaran.

Tart istimewa keluaran syarikat Misz Tart.

“Selepas yakin dengan rasa dan tekstur tart nanas ini, barulah syarikat mempatenkan tart kami setahun lalu.

“Dalam perniagaan produk makanan perlu ada inovasi bagi memastikan pelanggan terus mencari tart nanas kami,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika berkunjung ke pejabatnya di Seksyen U12, Shah Alam baru-baru ini.

Misz Tart ditubuhkan 11 tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM10,000 di Taman Sentosa Klang.

Ia menggunakan resipi asal ibu mentua Mohamad Azhar, Miskiah Shuki, 69.

Mohamad Azhar, 47, dibantu isteri, Syuhaini Kamarudin, 43, melakukan eksperimen untuk menambahbaik tart nanas keluaran Misz Tart hingga ia sempurna dan menepati selera pelanggannya.

Katanya, sebagai pengarah dan mengetuai pemasaran, pihaknya juga mempromosi tart nanas ke seluruh negara.

Malah beliau berazam untuk melihat tart nanas menjadi makanan setanding jenama besar dunia.

“Saya menyasarkan penambahan bilangan stokis sehingga tiga angka di seluruh negara. Pada masa sama saya berharap kesemua stokis turut memainkan peranan memasarkan jenama produk,” katanya.

Beliau menghasilkan perolehan RM100,000 sebulan dengan produk berkenaan.

Malah berharap mampu mencecah tujuh angka seiring pertambahan stokis di seluruh negara.

PILIHAN
Mohamad Azhar berkata, dia fokus untuk menghasilkan sajian pemanis mulut tempatan itu lantaran menu warisan bangsa itu mampu menjadi kuih yang dijadikan hidangan setiap masa, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, tart nanas tidak boleh dianggap sebagai kuih bermusim kerana potensinya tinggi untuk menjadi juadah sarapan pagi, minum petang mahupun dimakan sebelah malam.

“Orang kita bila tiba musim perayaan, baru ada rasa hendak makan kuih tart nanas, sedangkan tart lain seperti tart telur boleh sahaja dimakan dan dijual setiap hari.

“Persepsi tersebut perlu diubah kerana syarikat saya telah memasarkan tart nanas bukan sahaja di Lembah Klang malahan di beberapa negeri seperti Melaka, Perak, Johor sepanjang tahun,” katanya.

PERUSAHAAN KELUARGA
Mengulas mengenai kilang membuat tart nanasnya, beliau berkata, buat masa ini pasukan yang menghasilkan tartnya terdiri daripada ahli keluarganya sendiri iaitu isteri dan anak-anaknya.

Katanya lagi, selain anggota keluarganya sendiri terdapat beberapa pekerja separuh masa diambil bagi menampung permintaan yang semakin meningkat daripada seluruh negara.

“Perusahaan ini saya anggap sebagai perusahaan milik keluarga.

“Saya pun sudah menghampiri umur separuh abad, inilah legasi yang saya hendak tinggalkan kepada anak saya,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pembangunan Perniagaan Misz Tart, Muhammad Fathi Ismail berkata, pejabatnya di Seksyen U12 sering dianggap sebagai lokasi jualan produk, sedangkan premis berkenaan adalah pejabat urusan syarikat.

Justeru katanya, pelanggan boleh berurusan dengan stokis dilantik oleh syarikat.

“Buat masa ini kita ada 35 stokis di seluruh negara dan mereka berurusan untuk mengambil stok di sini.

“Jika kebetulan masih ada stok kita akan menjualnya di sini. Kita lebih menggalakkan pembeli berurusan dengan stokis,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya masih membuka peluang untuk peniaga yang berminat untuk menjadi stokis dari masa ke semasa.

Peniaga berminat menjadi stokis boleh menghubungi syarikatnya untuk berbincang dengan lebih terperinci.

“Kebiasaannya kita akan minta stokis membeli 50 bekas tart nenas dengan harga khas sebelum diterima menjadi stokis.

“Walaupun nampak seperti berat syarat tersebut, Insya Allah jika penggemar tart nenas sudah merasa tart Misz Tart, 50 bekas tersebut sekejap saja boleh laris,” ujarnya.

Antara kenangan manis Pengarah Urusan Misz Tart, Chef Mohamad Azhar Yakub adalah semasa menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong,Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke pejabat Misz Tart pada 10 Julai tahun lalu.

Kunjungan dua tetamu diraja tersebut bukan sahaja membang­gakan dirinya malahan seluruh pasukan produksi Misz Tart itu sendiri.

Cef Mohamad Azhar (kiri) dan Muhammad Fathi Ismail (kanan) bergambar bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di hadapan pejabat Misz Tart di Seksyen U12, Shah Alam baru-baru ini.

Beliau berkata, peristiwa tersebut seolah-olah mimpi menjadi kenyataan kerana dia sememangnya mengimpikan tart nanasnya menjadi juadah istana.

“Kesudian baginda berdua mencemar duli ke Misz Tart sungguh saya tidak impikan.

“Baginda sempat menurunkan tandatangan dan merasa sendiri tart nenas yang saya hasilkan,” katanya.

Ujar Mohamad Azhar, pujian Raja Permaisuri Agong terhadap rasa tart nenasnya menjadi kenangan seumur hidup.

Katanya, selain tetamu diraja, pejabat Misz Tart turut dikunjungi Menteri Kanan Persekutuan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang hadir bersama pemimpin-pemimpin tempatan.

“Kehadiran tetamu negara menguatkan lagi keazaman saya untuk menghasilkan tart nenas yang boleh menjadi makanan warisan bangsa.

“Mungkin ada yang menganggap impian tersebut seperti mimpi, namun Insya Allah jika kita berusaha kejayaan akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×