Instagram lancar panduan ibu bapa - Utusan Malaysia

Instagram lancar panduan ibu bapa

Panel perbincangan terdiri daripada daripada Aaron Aziz (atas). (Dari kiri bawah) Philip Chua, moderator dan Komunikasi Polisi Instagram Asia Pasifik, Chio Paniagua, Anita Abu Bakar dan Lisa Surihani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tinjauan isi rumah oleh World Vision Household baru-baru ini mendapati 19 peratus kanak-kanak mengalami tekanan yang teruk dan lima peratus mengalami penyakit mental semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) mendapati, ramai ibu bapa tidak dapat mengesan atau memberi tindak balas sewajarnya kerana kekurangan pengetahuan atau pemahaman mengenai isu ini.

Justeru, Instagram kelmarin melancarkan panduan ibu bapa bagi membantu mereka mendapat pemahaman yang lebih baik tentang ciri-ciri yang ada untuk menjaga keselamatan anak-anak mereka dalam media sosial.

Di samping itu, ia juga memastikan kesinambungan pengalaman positif serta panduan memulakan perbualan di rumah mengenai keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.

Panduan ini terdapat dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang merupakan sumber rujukan baharu umpama buku kecil dalam talian.

Ia dilancarkan sempena lanjutan kempen #RealTalk Instagram, sebuah inisiatif yang diperkenalkan sejak November tahun lalu untuk menormalkan perbualan mengenai kesejahteraan mental dalam kalangan remaja.

Kempen ini dilancarkan dengan perbincangan panel bertemakan ‘Ibu Bapa Membantu Remaja Membina Pengalaman Positif Dalam Talian’.

Ia menampilkan Ketua Dasar Awam Instagram Asia Pasifik, Philip Chua, Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, artis dan Duta Nasional UNICEF, Datin Lisa Surihani dan selebriti, Datuk Aaron Aziz.

Meningkatkan lagi sesi keterlibatan dengan ibu bapa, kempen #RealTalk juga bekerjasama dengan Les ‘Copaque, pengeluar siri animasi kanak-kanak yang popular iaitu Upin & Ipin, berkongsi maklumat dan menerap kesedaran kepada ibu bapa dan anak-anak mengenai keselamatan serta alat dalam talian yang tersedia untuk memupuk pengalaman positif dalam media sosial.

Instagram turut melancarkan kumpulan komuniti dalam Facebook untuk memperluaskan jaringan dan menyebarkan mesej panduan ibu bapa termasuk Positive Parenting.

Positive Parenting adalah platform yang dimulakan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia untuk memperkasa program pendidikan untuk ibu bapa mengenai penjagaan ibu, anak dan keluarga.

Tidak ketinggalan, Better Dads Malaysia iaitu sebuah kumpulan komuniti yang mengumpulkan para bapa untuk berkongsi maklumat dan galakan, serta memberi inspirasi kepada tindakan mereka dalam membina sifat positif dan emosi kanak-kanak.

Ketika dilancarkan tahun lepas, kempen #RealTalk mendapat maklum balas daripada golongan remaja yang mengatakan bahawa mereka amat mengalu-alukan sokongan daripada ibu bapa dalam menangani kesejahteraan mental mereka.

Oleh itu, laman sosial berkenaan, memutuskan melibatkan ibu bapa di dalam kempen tahun ini kerana mereka memainkan peranan penting dalam mengubah stigma berhubung kesejahteraan mental dalam kalangan remaja dan kanak-anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×