APA sebenarnya yang berlaku sehingga satu Malaysia bertanya di mana Aiman? Tiba-tiba menyepi sampai kampung pun tidak balik jenguk? Takkan sampai macam itu sekali kan.
Mana tidaknya, sampai ibunya sendiri, Hazelina menerusi ruangan Instagramnya memuat naik gambar bertulis yang mendakwa anaknya itu sudah lama tidak pulang ke kampung dan ‘lupa daratan’.
Tambah panas, Hazelina mendakwa, sikap Aiman berubah dan kehidupannya dikongkong oleh seorang wanita dipercayai teman rapat penyanyi Ku Rela Dibenci Itu. Amboi, takkan sebab perempuan Aiman tinggal keluarga?
Tetapi rupa-rupanya semua itu hanya satu salah faham. Aiman pun sudah pulang ke kampung dan berbincang dengan keluarga. Orang kata meleraikan kekusutan yang berlaku. Yalah, air kalau dicincang tak akan putus lah.
Cuma kalau boleh selepas ini, berhati-hatilah memuat naik gambar atau video dalam media sosial. Bukan apa, tak semua akan mengambil sesuatu itu secara positif. Lebih parah, ada sahaja yang akan putar belit cerita.
Di kala Jabatan Netizen sentiasa dahagakan kisah-kisah panas, alangkah baiknya jika cerita dalam kain disimpan sendiri sahaja. Takut nanti lain jadinya. Sampai ke sudah orang akan mengata tau!
Kepada Aiman, berbaliklah kepada asas. Ingat semula niat ketika mula masuk industri. Jangan mudah terpengaruh. Andai ada masalah, carilah insan yang sewajarnya memberi nasihat. Ingat, dalam
10 pasti ada satu atau dua yang kurang ikhlasnya.
Buat keluarga Aiman, sedarlah dia seorang penyanyi popular. Pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu. Jadi berhati-hati dalam memuat naik gambar atau video. Jangan kerana marah, yang rosak nanti nama anak sendiri. – MINGGUAN MALAYSIA










