Kajian Klinikal Malaysia (CRM) mendedahkan orang Asia berisiko mendapat kanser payudara agresif, lebih cenderung mempunyai gen TP53 bermutasi dan mempunyai profil tumor imun yang diperkaya.
Maklumat genomik itu membolehkan CRM melakukan diagnosis secara lebih tepat dan memilih rawatan bersesuaian untuk setiap pesakit.
Ketua Pegawai Saintifik di CRM, Datin Paduka Prof. Dr. Teo Soo Hwang berkata, penemuan itu membuka pintu kepada penambahbaikan dalam ketepatan perubatan bagi pesakit kanser payudara dalam kalangan penduduk Asia.
Katanya, maklumat berkenaan mustahak bagi CRM dalam merapatkan jurang penyelidikan genom orang Asia.
“Sekiranya tidak, kami berpotensi kehilangan maklumat genetik penting yang mungkin jarang didapati dalam kalangan orang Kaukasia, tetapi lazim dalam orang Asia,” katanya.
Susulan itu, CRM dengan kerjasama Universiti Cambridge dan Pusat Perubatan Subang Jaya, membina pangkalan data genetik dan genomik kanser payudara orang Asia yang terbesar sehingga kini.
Dr. Soo Hwang berkata, pihaknya akan memastikan penyelidikan genomik lebih pelbagai dan inklusif agar semua populasi beroleh manfaat daripada kemajuan teknologi terutamanya bagi menyelamatkan nyawa melalui penyelidikan dalam kalangan orang Asia.

Sementara itu, Pasukan di Cambridge diketuai Prof. Carlos Caldas menjelaskan, kemudahan makmal teras yang hebat telah membolehkan pemprofilan genomik secara ekstensif dilakukan.
Berbesar hati apabila turut serta dalam kajian berkenaan, beliau turut menggelarkan penemuan itu sebagai Asian METABRIC.
“Kajian ini selari dengan usaha kami mencirikan kanser payudara secara ekstensif dan stratifikasi tumor kepada salah satu daripada 11 Kluster Integratif,” katanya.
PETA genomik
Para penyelidik berpendapat, peta genomik ini telah merangsang pendapat baharu mengenai rawatan kanser payudara untuk orang Asia.
Sebagai contoh, percubaan klinikal baharu untuk menguji imunoterapi terhadap pesakit kanser payudara Asia telah bermula pada Julai 2020, diketuai oleh CRM dengan kerjasama ahli onkologi di Universiti Malaya (UM) dan Hospital Universiti Nasional Singapura (NUH).
Sebelum ini, majoriti genom berciri (jumlah Deoxyribonucleic acid (DNA) dalam organisma) digunakan dalam penyelidikan kanser payudara adalah daripada wanita Kaukasia iaitu kurang daripada lima peratus daripada orang Asia, walaupun orang Asia membentuk lebih daripada separuh populasi dunia.
Susunan genomik daripada 560 sampel tumor kanser payudara dianalisis dan didapati subjenis agresif yang mengekspresikan protein HER2 kerap berlaku dalam kalangan wanita
Asia berbanding Kaukasia. Kanser payudara HER2 positif dikaitkan dwengan pertumbuhan tumor agresif dan prognosis yang teruk.
Jenis HER2 kanser paling agresif
Menurut Perunding Pakar Bedah Payudara di Pusat Perubatan Subang Jaya, Ramsay Sime Darby Healthcare, Profesor Emeritus Datuk Dr. Yip Cheng Har, subjenis kanser payudara HER2 adalah antara paling agresif, justeru faktor risiko mungkin berbeza daripada jenis kanser payudara yang lain.

“Kajian kami menunjukkan orang Asia mempunyai risiko lebih tinggi terhadap penyakit agresif jenis ini. Ia sekali gus menekankan keperluan terhadap lebih banyak penyelidikan dilakukan dalam kalangan orang Asia supaya kita dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa,” katanya.
Penyelidikan tersebut juga menunjukkan gen TP53 – sering disebut sebagai ‘penjaga genom’ kerana melindungi sel normal daripada menjadi sel barah iaitu lebih sering berubah dalam kanser payudara orang Asia berbanding Kaukasia.
Penyelidik Senior di Universiti Cambridge, Dr. Suet-Feung Chin pula berkata, TP53 sering bermutasi dengan lebih agresif dalam hormon negatif kanser payudara pada wanita Kaukasia.
“Pada pesakit kanser payudara Asia pula, kami melihat terdapat peningkatan mutasi TP53 dalam kes reseptor hormon positif, sekali gus menjadikan kadar kelangsungan hidup lebih rendah,” katanya.
Bagi Pengarang Pertama Kajian dan Timbalan Ketua Bioinformatik di CRM, Dr. Pan Jia Wern, pihaknya juga mendapati, kanser payudara orang Asia biasanya terdapat kehadiran sel-sel imun.
“Oleh itu, jika kita berjaya mencari cara untuk melawan lapisan yang melindungi kanser daripada dikesan oleh sistem imun tersebut, berkemungkinan kita dapat meningkatkan kelangsungan hidup bagi pesakit kanser payudara Asia,” katanya.










