MELANGKAH masuk ke ruangan hotel, hati sudah mula terpaut melihat dekorasi dan hiasan dalaman yang cukup memancing mata. Benar, dari mata turun ke hati. Setiap inci perkarangan lobi hotel cukup memukau.
Pengunjung pastinya akan mengunci langkah apabila terlihat busana indah hasil rekaan pereka fesyen terkemuka, Datuk Bernard Chandran yang diletakkan di tengah lobi hotel. Busana yang diperbuat daripada tembaga itu cukup unik dan mempersona.

Itu hanya gambaran kecil yang boleh anda bayangkan apabila bercuti di hotel lima bintang, The Ruma. Keunikan dan kekemasan yang ada membuktikan hotel ini selayaknya diangkat antara hotel terbaik di ibu kota.
Mengangkat tema tembaga dan warisan kesenian batik sebagai antara konsep dekorasi, The Ruma menjanjikan penginapan serba mewah dengan harga mampu milik. Eksklusiviti adalah antara jaminan hotel itu.
Memasuki ruang kamar, pengunjung pasti terpukau dengan susun atur dan dekorasi bilik yang cukup cantik. Malah, bilik air dan ruang tab mandi juga dihias cantik bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

Pengalaman menginap di hotel di Bukit Bintang ini pastinya memberi kepuasan peribadi kepada penulis yang sememangnya mendambakan detik berehat walaupun hanya di ibu kota. Dalam keadaan pandemik, pastinya staycation menjadi pilihan.
The Ruma turut menyediakan beberapa khidmat istimewa antaranya spa, pusat urut dan kedai gunting rambut. Harga tempahan bilik bermula RM368 hingga RM1,500 bagi satu malam mengikut spekifikasi yang dipilih pengunjung.
Amal SOP untuk keselamatan pelanggan
Menariknya, The Ruma juga mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang cukup ketat selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan pihak kerajaan. Tiada kerisauan yang harus ada saat pengunjung menginap di situ.

Malah, pengunjung juga berpeluang merasai sendiri pengalaman menikmati sarapan pagi di bilik tidur sambil ditemani kicauan burung dan panorama indah Kuala Lumpur yang serba moden.
Itu adalah antara kaedah yang diamalkan The Ruma bagi mengelakkan perkumpulan orang ramai di satu lokasi pada satu masa.
Malah untuk mengunjungi kolam renang, hotel itu menetapkan hanya lapan orang tetamu pada satu-satu masa.

The Ruma juga menyediakan perkhidmatan daftar masuk 24 jam. Itu antara keistimewaan yang hanya ada pada hotel bertaraf lima bintang ini. Pengunjung tidak perlu khuatir andai daftar masuk lewat.
Bersempena tahun baharu, The Ruma menyediakan pakej makan malam bermula RM495 seorang dan pengujung bakal menikmati Ddaging Wagyu, Spotted Grouper dan Dressed Mud Crab yang terkenal sebagai hidangan mewah.

Malah, dengan RM1,500 pengunjung boleh menikmati hidangan dan menginap di The Ruma sebagai hadiah untuk diri sendiri sempena tahun baru. Itu antara keistimewaan hotel yang cukup mewah dan eksklusif ini.
Pengunjung juga boleh melawati kawasan-kawasan menarik di sekitar ibu kota yang cukup dekat dengan hotel ini.
Maka, pilihan The Ruma sebagai lokasi staycation pasti berbaloi di kala kita memerlukan percutian walaupun hanya di Kuala Lumpur. – UTUSAN









