Pelajar UUM dapat komputer riba percuma - Utusan Malaysia

Pelajar UUM dapat komputer riba percuma

DR. Mohd Solehuddin (dua dari kiri) dan Dr. Nursiha (kanan) bersama staf sempena Program Komuniti Bantuan Laptop Kepada Pelajar Asnaf Dan B40 Terpilih
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 mencetuskan krisis ekonomi global, kesihatan, sosial dan kemanusiaan dengan impak belum pernah dirasai sebelum ini. Ia mengubah kehidupan manusia dalam norma baharu ke arah dunia digital termasuk kebergantungan terhadap komputer riba.

Pengerusi Pembangunan Pelajar, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM, Dr. Nursiha Alias berkata, pembelajaran dalam talian memerlukan pelajar memiliki komputer riba malangnya tidak semua pelajar mampu untuk membelinya kerana ada di kalangan mereka berasal dari keluarga susah.

“Ada sesetengah pelajar terpaksa mengikuti kelas online menerusi telefon bimbit kerana tidak mampu membeli komputer riba. Ada yang belajar dalam keadaan tidak selesa untuk tempoh lama.

“Lebih menyedihkan akibat desakan hidup dan semangat belajar berkobar-kobar, ada yang sanggup meminjam komputer jiran atau saudara-mara semata-mata untuk mengikuti pembelajaran dalam talian,” katanya.

Prihatin masalah itu, Jawatankuasa Pembangunan Pelajar IBS dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM menyumbang komputer riba kepada 10 pelajar asnaf sempena Program Komuniti Bantuan Laptop Kepada Pelajar Asnaf Dan B40 Terpilih.

Majlis disempurnakan Pengarah IPIZ, Dr. Mohd Solehuddin Shuib di IPIZ.

Nursiha berkata, tinjauan dilakukan mendapati ramai pelajar tidak mempunyai fasiliti lengkap dan terpaksa ke kafe siber bagi mengikuti kelas ‘online’.

Projek kemanusiaan itu dibiayai dana daripada kutipan pensyarah IBS, penyumbang luar UUM dan dana hasil keuntungan seminar IPIZ selain turut menguruskan penghantaran komputer riba rumah pelajar berkenaan.

Penerima bantuan yang juga pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Muhammad Khairulnajmi Zakaria mengaku terkejut menerima bantuan laptop.

Beliau turut bersyukur kerana pihak universiti sangat prihatin dengan kebajikan pelajar khususnya yang tiada memiliki laptop sendiri untuk mengikuti kelas dalam talian.

“Saya bersyukur kerana tidak perlu lagi meminjam komputer riba orang lain, malah banyak tugasan diberikan dapat diselesaikan dengan cepat termasuk berhubung dengan pensyarah,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Kewangan Dan Perbankan Islam, Ahmad Al Izzuddin Alsabri menyifatkan dirinya sebagai bertuah kerana menerima sumbangan.

Beliau yang sebelum itu mengikuti kelas menerusi telefon bimbit memberitahu, ia sekali gus membangkitkan semangat untuk dirinya belajar dengan lebih tekun demi kelangsungan menuntut ilmu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN