JAGUNG Sugar King atau jagung manis yang diusahakan di Kampung Kuala Balah, Jeli, Kelantan menjadi lubuk rezeki kepada masyarakat tempatan. Ini kerana ia mendapat permintaan yang tinggi setiap kali musim menuai.
Jagung yang diusahakan secara berkelompok melibatkan pelbagai lapisan umur petani itu ditanam tiga kali setahun.

Waktu paling meriah adalah proses menuai hasil jagung manis sebelum tiba musim tengkujuh.
Menariknya, jagung manis dari Kuala Balah dikatakan setanding dengan jagung yang ditanam di Cameron Highlands, Pahang kerana rasanya yang manis dan enak dimakan begitu sahaja.
Bagi lima pengusaha jagung manis di atas tanah seluas 4.8 hektar, tanaman tersebut mendapat permintaan yang tinggi dan adakalanya di luar jangkaan.
Sebanyak 240,000 benih jagung dapat ditanam di atas tanah itu bagi satu musim.

Pengusaha terbabit, Mat Izman Mat Hussin, 54, berkata, Kampung Kuala Balah merupakan ‘lembah jagung’ apabila kebanyakan penduduk mengusahakan jagung secara penggiliran dengan tanaman lain.
Katanya, sebelum ini mereka turut menanam sayur-sayuran dan buah tembikai sebelum menanam jagung manis.
“Bagi pusingan ketiga menanam jagung, kita bermula sejak dua bulan lalu dengan melakukan penyediaan kawasan seperti membuat pagar dan membajak tanah sebelum diteruskan dengan kerja-kerja menghaluskan tanah dan membuat batas menggunakan jentera.
“Selepas 65 hari benih disemai, jagung manis ini sudah sedia dituai untuk dipasarkan kepada pelanggan atau peraih,” katanya.
Muhamad Hasnorizal Mohd. Nor, 24, pula berkata, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara menyebabkan dia tidak dapat bekerja di luar kawasan negeri ini.
Katanya, situasi itu memberi idea kepadanya untuk mengusahakan tanaman jagung manis di atas tanah seluas 0.6 hektar.
“Usaha itu nyata berbaloi apabila saya berjaya menuai sebanyak 30,000 tongkol jagung manis bagi satu pusingan.
“Penat lelah selepas berpanas menyemai benih pokok jagung terbayar apabila melihat pokok jagung tumbuh meninggi dan hasilnya boleh dituai,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Riduwan Shafie, 29, berkata, proses penanaman jagung manis memerlukan kawasan sesuai, tanah subur serta sistem pengairan yang baik.
Katanya, tanah di Kuala Balah begitu subur kerana menerima taburan hujan yang mencukupi serta terletak di kawasan berhampiran sungai.
“Kawasan tanah kami terletak hanya 400 meter dari Sungai Pergau menyebabkan pengairan bagi tanaman jagung mencukupi.
“Saya menggalakkan golongan belia menceburi penanaman jagung kerana hasilnya cepat dan modalnya juga rendah hanya sekitar RM2,000 untuk memulakan tanaman,” katanya.
JAGUNG MANIS LARIS
BAGI peniaga jagung di tepi jalan utama Kuala Balah, mereka bersyukur apabila jualan mereka sentiasa ‘laku keras’ dibeli pengguna jalan raya setiap hari.
Bukan setakat jagung mentah yang baru dikutip, jagung rebus juga laris dijual.
Sebatang jagung rebus dijual dengan harga RM1 manakala jagung mentah pula sekitar RM10 bagi 14 tongkol.
Bagi dua beradik, Siti Zuliha Shafie, 27, dan Noor Syatila, 31, musim menuai jagung memberi rezeki kepada mereka apabila melakukan pekerjaan menjual jagung di tepi jalan Kuala Balah menuju ke bandar Jeli.
Menurut Siti Zuliha, proses menjual jagung rebus dilakukan sepenuhnya di tepi jalan itu bermula daripada membersihkan, merebus dan seterusnya menjual kepada pelanggan.
Katanya, mereka berniaga bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang dan secara purata, sebanyak 1,500 tongkol jagung rebus dijual setiap hari.
“Selain orang luar atau pengguna jalan raya, kami turut menjual kepada peraih dari Gua Musang, Jeli dan Kuala Lipis, Pahang,” katanya.
Noor Syatila pula berkata, setiap hari mereka perlu merebus lebih 10 periuk berisi jagung dengan setiap periuk boleh memuatkan lebih 100 tongkol jagung.
“Kami bersyukur jagung manis yang direbus atau mentah habis dijual setiap hari.
“Kami memberi pelanggan merasai dahulu keenakan jagung sebelum membelinya. Kebiasaannya mereka yang sudah merasai akan membeli dua plastik jagung untuk dimuatkan dalam kereta masing-masing,” katanya.










