Menaikkan ikan pari terutamanya yang bersaiz mega ketika memancing merupakan antara detik yang paling mengujakan bagi kebanyakan kaki pancing. Apa tidaknya, ikan pari sememangnya telah diketahui antara ikan yang terkenal dengan semangat juang tinggi ketika menyambar umpan sehingga boleh mencabar kemampuan serta kesabaran seseorang pemancing itu.
Ditambah dengan kombinasi lain seperti berat, bentuk badan serta keupayaannya memekap di dasar air, semua itu sudah cukup untuk membuat pemancing terlibat memerah keringat semasa menarik ikan tersebut ke gigi air.
Itu yang pernah dan sering dihadapi oleh seorang pemancing tegar, Awang Semana Awang Halil, 36, atau lebih dikenali sebagai Laksamana Pari dalam kalangan kaki pancing tegar lain.
Menurut Awang Semana, nama timangan Laksamana Pari itu diberikan oleh rakan-rakannya kerana dia seperti seorang ‘pahlawan laut’ yang kerap memperoleh ikan pari sebagai habuan ketika turun memancing.
Hal ini demikian kerana katanya, dalam tempoh seminggu, secara purata tiga ekor ikan pari pelbagai spesis akan ‘tewas’ di tangannya.
Berkongsi pengalaman memancing ikan pari selama lebih daripada 10 tahun pula kata Awang Semana kemudiannya, antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakannya ialah kejayaan menaikkan pari minyak atau pari Thailand seberat 103 kilogram (kg) di Kuala Baram, Miri, Sarawak tahun lepas.
“Ikan itu pada mulanya saya naikkan seorang diri tapi kemudian beberapa rakan yang berada di lokasi ketika itu turut sama membantu.
“Disebabkan saiznya yang besar itu juga, maka, kami terpaksa mengambil masa hingga tiga jam untuk mengangkat ikan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

OTOT LENGAN PERNAH KOYAK
Ujar Awang Semana, kejayaan menaikkan pari minyak itu bagaimanapun terpaksa ‘dibayar’ dengan harga yang agak mahal. Ini apabila otot lengannya disahkan pecah atau koyak semasa berhempas-pulas menaikkan ikan pari berkenaan dan dia juga terpaksa berehat daripada sebarang aktiviti memancing selama seminggu selepas kejadian tersebut.
Bagaimanapun, pengalaman menyakitkan itu langsung tidak pernah ‘membunuh’ semangat anak kelahiran Sri Aman, Sarawak itu untuk terus memburu ikan di laut khususnya spesis pari.
“Ikan pari ni yang selalu saya dapat biasanya ialah pari tanjung atau pari ayam yang mungkin di sesetengah tempat, namanya agak berbeza.
“Pernah juga saya dapat pari bintik. Cuma, pari harimau sahaja belum pernah mengena lagi setakat ini,” katanya yang memberitahu, pari bintik dan pari harimau merupakan antara spesis pari yang paling agresif khususnya di perairan negara ini.
Ujarnya, sepanjang memancing ikan pari juga, dia dan rakan-rakannya sentiasa berjaga-jaga agar tidak terkena sengatan ikan itu yang jika tersilap langkah boleh mengundang maut.
“Sengat biasanya akan dipotong dengan menggunakan playar dan kami juga perlu menjaga jarak dengan selamat ketika berdepan ikan tersebut,” katanya yang turut bernaung di bawah pasukan memancing yang dikenali sebagai Borneo Surfcasting Hunter.
Mengulas lanjut mengenai ikan yang dikategorikan satu spesies bersama ‘keluarga’ jerung namun hanya memiliki tulang rawan itu, kata Awang Semana, dia akan menggunakan teknik ikatan dasar atau bottom untuk mengumpan ikan tersebut.
“Yang penting ialah, umpan perlu diletakkan atas pasir dan teknik bottom (ikatan dasar) gantung pula akan digunakan jika ada arus,” ujar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu yang memberitahu, habitat pari biasanya dapat dikesan sejam selepas air pasang iaitu ketika air mulai surut atau surut habis.
Kata Awang Semana, umpan yang biasa digunakan untuk ‘memikat’ ikan pari pula ialah ikan belanak, ikan nipis, ikan bolos, ikan gelama, ikan pisang, udang hidup atau udang mati dan sotong.
Tambahnya, antara lokasi yang sering menjadi tumpuannya untuk memancing ikan pari itu ketika ini termasuk di Telok Gong, Tanjung Harapan dan Pulau Ketam, Selangor selain sekitar Miri, Sarawak dan perairan Brunei Darussalam.











