WALAUPUN serba kekurangan tetapi bukan halangan untuk 25 orang kurang upaya (OKU) pekak di negeri ini membuktikan kemampuan mereka dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman melon manis di Terengganu.
Kesemua mereka yang juga ahli Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila tanaman fertigasi yang diusahakan sejak Julai lalu berjaya mengeluarkan kira-kira 100 kilogram hasil selepas dituai dalam tempoh hanya 52 hari, baru-baru ini.
Kejayaan itu sekali gus menjadikan POPT sebagai persatuan orang pekak pertama di Malaysia menceburi bidang pertanian menerusi program pemindahan ilmu, Silence Planters yang dirintis dua penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Wan Zaliha Wan Sembok dan Prof. Madya Dr. Wahizatul Afzan Azmi.
Wan Zaliha berkata, mereka terpanggil membantu komuniti OKU pekak memajukan diri berikutan jumlah pekerja cacat pendengaran yang berdaftar dalam organisasi kerajaan mahu pun swasta yang amat rendah pada masa ini, justeru dapat menjana sumber pendapatan buat golongan tersebut.

Katanya, buat permulaan seramai 25 ahli POPT berusia antara 30 hingga 66 tahun dipilih sebagai peserta dan didedahkan dengan ilmu berkaitan sistem fertigasi, media tanaman baharu di samping teknik pendebungaan oleh lebah kelulut.
Menurutnya, program yang julung kali diadakan dengan golongan OKU menggunakan dana Asimilasi Pengetahuan dan Teknologi (KTAGS2020) sebanyak RM8,000 itu turut melibatkan sebahagian kecil tanaman tomato ceri tanah rendah.
“Tidak dinafikan cabaran utama kami tentunya dari segi komunikasi tetapi saya kagum dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan rata-rata peserta.
“Walaupun kesemua mereka tidak pernah bertani namun mereka bersedia untuk mempelajari ilmu baharu tanpa putus asa hingga kita berjaya menuai kira-kira 100 kilogram (kg) hasil pengeluaran buah melon madu Terengganu,” katanya ketika ditemui di Pejabat POPT di Batu Buruk, baru-baru ini.
UMT kongsi inovasi kreatif
Wan Zaliha berkata, program Silence Planters turut membuka laluan buatnya dan rakan sepasukan berkongsi inovasi kreatif daripada penyelidikan dijalankan bagi meningkatkan hasil tanaman sejumlah 200 pokok melon manis Terengganu yang ditanam di pekarangan pejabat POPT itu.
Katanya, medium tanaman yang digunakan dalam sistem fertigasi itu ialah cocopeat atau sabut kelapa diproses. Namun disebabkan kos yang semakin meningkat, maka biochar atau arang hitam turut diperkenalkan bagi mengurangkan kebergantungan.
Mengulas lanjut katanya, arang hitam berfungsi sebagai bahan pembaik tanah dan gabungan dengan baja semburan yang tinggi kandungan hormon seperti auksin, giberellin dan sitokinin di samping mineral nutrien iaitu ekstrak rumpai laut mampu meningkatkan lagi hasil tanaman.
“Baja bio dan arang hitam ini bakal membuka lebih peluang pekerjaan kepada komuniti OKU pekak untuk dijadikan sebagai bahan jualan pertanian. Ini sekali gus meningkatkan pendapatan sampingan mereka selain daripada hasil tuaian buah melon manis Terengganu dan tomato ceri tanah rendah.
“Bagi menghasilkan buah MMT yang berkualiti tinggi, lebah kelulut turut digunakan dalam proses pendebungaan hasil inovasi kreatif Prof. Madya Dr. Wahizatul Afzan dan pelajarnya. Malah, penternakan lebah kelulut juga mampu menambah pendapatan peserta melalui jualan madu,” katanya.
Sementara itu, Presiden POPT, Tengku Arman Haris Tengku Ismail berkata, inisiatif yang disediakan UMT bukan sahaja dapat mendedahkan para peserta tentang ilmu penanaman, bahkan membantu mereka menjana pendapatan baharu.
“Ini merupakan kali pertama POPT bekerjasama dengan UMT dan kami berterima kasih kerana diberikan peluang terlibat dalam projek fertigasi melon manis Terengganu ini.
“Kejayaan program ini akan menjadi pendorong kepada golongan OKU pekak di negeri lain untuk meneroka bidang pertanian ini,” katanya.
Sebagai perancangan masa depan, Tengku Arman Haris berhasrat menambah tanaman pokok melon manis Terengganu daripada 200 polibeg kepada 1,000 polibeg yang lengkap dengan rumah teduhan pada masa depan di samping dalam usaha memohon dana daripada kerajaan negeri untuk meluaskan kawasan penanaman sedia ada.
Katanya, ketika ini terdapat seramai 586 ahli POPT di seluruh negeri.









