Kumpulan pereka dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan reka bentuk pembangunan bertajuk Hyden Park muncul pemenang Pertandingan Retirement Oriented Development Design Competition 2019 (RODDC2019). Kemenangan itu melayakkan mereka membolot wang RM10,000.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM6,000.
Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ir. Dr. Siti Anom Ahmad berkata, konsep pertandingan adalah Tropical, Sustainable and Enabling Senior Living.
Pertandingan memerlukan peserta merancang penyelesaian mampan bagi pembangunan kawasan seluas 23 hektar di (UPM) Serdang yang memenuhi keperluan pelbagai kumpulan sasaran dan berorientasi warga emas.
Sebanyak 48 kumpulan dari institut pengajian tinggi awam dan swasta menyertai pertandingan pembangunan kawasan yang memenuhi keperluan warga emas baru-baru ini.
“Peserta dicabar mempertimbangkan reka bentuk yang cukup fleksibel bagi menampung saiz penghuni yang berbeza dari segi warga emas, keluarga, profesional bujang, pasangan, milenium selain mengambilkira keperluan mereka yang pelbagai,” katanya dalam majlis penyampaian hadiah RODDC2019 secara maya di MyAgeing UPM.










