Siti Nordiana bawa naskah Bukan Perempuan Biasa ke kaca televisyen - Utusan Malaysia

Siti Nordiana bawa naskah Bukan Perempuan Biasa ke kaca televisyen

ATIKAH Suhaimie akan melakonkan watak Nana sewaktu kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS kejayaan menghasilkan novel biografi berjudul Bukan Perempuan Biasa, penyanyi dan pelakon Siti Nordiana (Nana) mengambil langkah berani untuk membawa naskhah tersebut ke kaca televisyen pula.


Mendapat sokongan dan kerjasama baik produksi Brotherhood Studio termasuk pengarah terkenal Hashim Rejab, Nana akui teruja dengan pembikinan drama tersebut yang merupakan adaptasi daripada kisah hidupnya sendiri.

Pun begitu, jangan terlalu berharap kesemua kisah peribadinya akan dipaparkan kerana menurut Nana, meskipun ia merupakan kisah benar, hanya 70 peratus daripadanya yang menepati cerita asal.

“Drama dengan judul yang sama dengan novel itu dipaparkan dalam karya bercorak inspirasi dan tidak semuanya saya buka untuk tontonan awam.

“Tiga puluh peratus daripadanya dipaparkan sebagai nilai komersial drama ini bagi mencantikkan jalan cerita dan memberikan elemen menarik buat penonton,” katanya.

Sisi arwah suami
Kongsi penyanyi ini, menariknya dalam drama ini, selain kisah dan perjalanan dirinya sebagai seorang anak seni, kenangan antaranya dengan arwah suami, Faizal Yusof juga akan menjadi daya penarik buat naskhah tulisan Farhana Fauri ini.

Kata Nana, meski tidak sepenuhnya menceritakan semua kenangan bersama, namun dia yakin penonton akan terkesan dengan penceritaan yang dibuka.

“Antara yang menyentuh mengenai arwah ialah bagaimana dia mengenali saya, sisi dia sebagai seorang yang tegas, baik dan sangat menyayangi anaknya.

“Boleh dikatakan, drama ini akan mengambil situasi di saat saya sudah bertunang, berkahwin dan momen selepas daripada itu.

“Paparan kisah arwah Achik Spin juga ada, tetapi tidak banyak,” katanya.


Menurut Nana, apa pun, tujuan utamanya menerusi perkongsian drama ini agar kisahnya dapat menjadi inspirasi dan pengajaran buat semua yang menonton.

“Macam mana susah senang saya mengharungi kehidupan sebagai anak seni dan jatuh bangun saya sebagai seorang wanita.

“Saya cuma nak beri semangat kepada semua orang yang mungkin pernah berada di situasi yang sama. Kadangkala orang anggap saya seorang wanita yang kuat.

“Ya mungkin, tetapi hati menangis siapa yang tahu bukan?” katanya.

Yakin pada Atiqah Suhaimie
Berkongsi mengenai wataknya yang akan dilakonkan oleh si manis Atikah Suhaime, Nana menyerahkan sepenuh kepercayaan buat pelakon tersebut yang baginya pasti dapat menggalas tanggungjawab itu dengan baik.

Malah, dia turut memuji sikap Atikah yang tidak malu bertanyakan serba-serbi padanya demi menjayakan watak yang diberikan.

Dalam pada itu, Atikah ketika diaju soalan mengenai perkara itu dilihat sangat teruja meski mengakui hatinya agak gementar untuk membawakan watak wanita kuat seperti Nana.

“Dia adalah salah seorang penyanyi yang semasa kecil, saya sering mendengar lagu-lagunya dan apabila dewasa, saya juga pernah berlakon dengan Nana dalam sebuah drama.

“Tentulah saya rasa berbesar hati tetapi tekanan itu juga ada. Antara sebab utama, dia ada ramai peminat.

“Jadi saya harap semua peminat Nana dapat menerima saya melakonkan wataknya tanpa ada sebarang perbandingan kerana apa yang saya buat adalah cuma inspirasi daripada cerita asal,” katanya.

Menurut Atikah lagi, penyanyi tersebut memiliki sifat yang berbeza dengan dirinya dan ia juga merupakan faktor lain mengapa timbul kerisauan di dadanya.

“Saya mempunyai personaliti cepat marah manakala dia seorang yang penyabar, baik hati, lembut, mudah memaafkan orang namun suka memendam.

“Sisi yang sangat berbeza dengan diri saya. Demi mencuba memberikan yang terbaik sebagai Nana dalam cerita ini, saya jadikan semua video rakaman persembahannya di YouTube termasuk bertanya sendiri pada tuan badan.

“Kalau tengok di skrin nanti, tak adalah 100 peratus wujud persamaan itu. Saya cuba pelbagaikan warna dalam karektornya dan diharap penonton dapat menerimanya dengan pandangan terbuka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×