Mampukah bilik darjah kedap bunyi bising direalisasi? - Utusan Malaysia

Mampukah bilik darjah kedap bunyi bising direalisasi?

Kementerian Pendidikan perlu tegas terhadap guru yang telah bersetuju untuk menerima mana-mana penempatan ketika temuduga tetapi gagal melaporkan diri. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENCEMARAN bunyi boleh dikategorikan sebagai bahaya dalam senyap. Pendedahan bunyi melampau boleh mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan manusia dan persekitarannya.

Persekitaran sekolah tidak terkecuali daripada terdedah kepada masalah bunyi bising. Antara punca utama ialah kebisingan bunyi dari aliran trafik yang tinggi terutamanya di kawasan sekolah yang terletak berhampiran jalan raya.

Kajian menunjukkan masalah kebisingan melampau dalam sekolah juga berlaku di negara luar termasuk Finland, Sweden, Brazil, Iran, Amerika Syarikat, Turki, China dan Perú.

Di Malaysia, kepedulian terhadap keterdedahan bunyi trafik mendapat perhatian seawal tahun 1980-an di sekolah di kawasan pengkomersialan Lembah Klang.

Dapatan kajian tersebut menunjukkan, aras bunyi pada ketika itu melebihi 55 dBA iaitu had bunyi berterusan setara, LAeq piawai yang dibenarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Unit dBA adalah aras keamatan bunyi yang mempertimbangkan kepekaan telinga manusia.

Namun, kajian di Malaysia sejak tahun 1990-an hingga kini menunjukkan semakin banyak persekitaran sekolah berada di kawasan yang mempunyai aliran trafik yang semakin padat dan tinggi. Hasil kajian menunjukkan aras LAeq di kawasan sekolah rata-ratanya berada antara 68.2 dBA hingga 73.7 dBA. Tahap pencemaran ini dikategorikan sangat tinggi.

Kebisingan dari aliran trafik ini mampu meresap ke dalam bangunan sekolah melalui dinding atau melalui bukaan bangunan seperti tingkap, pintu dan ruang pengudaraan yang menyebabkan keadaan didalam bilik darjah menjadi hingar akibat dari bunyi latar dari aliran trafik.

Oleh itu, wujudnya gangguan pembelajaran didalam bilik darjah akibat dari kebisingan dari aliran trafik tersebut sekiranya aras bunyi latar dalam bilik darjah melebihi 35 dBA iaitu piawai yang dibenarkan oleh WHO.

Bunyi latar ialah aras bunyi dalam kelas tanpa kehadiran murid, guru dan aktiviti dalam kelas iaitu bunyi yang berpunca dari lampu, kipas, penghawa dingin dan bunyi luar yang meresap dalam kelas.

Keterdedahan kepada bunyi latar yang tinggi di dalam bilik darjah juga mengakibatkan para guru terpaksa meninggikan aras suara sebanyak 20-30 dBA berbanding aras bunyi bising semasa mengajar agar boleh didengari oleh murid-murid secara optimal.

Ini bermakna seseorang guru mengajar dengan aras suara pada tahap melebihi 80 dBA disepanjang tempoh masa pengajaran mereka. Sebagai akibatnya, guru-guru tersebut boleh mengalami gangguan kesihatan fizikal dan mental seperti kehilangan suara, sakit tekak, keletihan mental, berasa marah dan cemas. Selain itu, mereka juga boleh hilang fokus dan semangat seterusnya menjejaskan profesion sebagai pendidik.

Kajian juga menunjukan aras bising yang tinggi secara berterusan boleh menjejaskan kesihatan fizikal murid dan menjadi punca kepada masalah disiplin atau kemalangan dalam bilik darjah. Bagi murid- kategori pendidikan khas pula, kebisingan seperti ini boleh menyebabkan kehilangan pendengaran yang lebih teruk.

Berdasarkan kajian ke atas pembangunan sebuah sekolah yang bercirikan bangunan sihat, kebisingan menghalang tumpuan belajar, merosakkan pembelajaran dan perkembangan kognitif.

Perkembangan kognitif yang dimaksudkan ialah kemahiran murid untuk berfikir dan memahami kedua-dua pemahaman lisan dan penulisan. Hal ini amat terjejas kerana kurangnya kemampuan murid untuk menumpukan perhatian dan mengingati fakta. Selain itu, kajian mendapati kesan-kesan ini lebih dirasai oleh murid yang berumur kurang daripada 15 tahun kerana mereka masih dalam proses perkembangan minda dan bahasa.

Mata pelajaran yang memerlukan tahap kefahaman yang tinggi seperti Bahasa dan Matematik dikenalpasti sangat terjejas akibat dari aras kebisingan yang tinggi dalam sesebuah bilik darjah.

Kajian di Sweden ke atas murid-yang berumur 12 hingga 14 tahun mendapati tahap kefahaman bagi ujian bacaan adalah lebih tinggi bagi bilik darjah yang lebih senyap. Kajian di Amerika Syarikat pula menunjukan gred keputusan ujian Matematik yang lebih rendah bagi bilik darjah yang terdedah kepada tahap bunyi yang lebih tinggi.

Oleh itu, masalah aras pencemaran bising yang tinggi dalam bilik darjah yang dialami oleh sebahagian sekolah di Malaysia serta kesannya kepada guru dan murid adalah satu halangan besar kepada pelaksanaan sistem pendidikan pada masa ini. Dalam masa yang sama, aspirasi pendidikan negara, harus juga memenuhi sasaran bagi mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Berdasarkan fakta ini, kesedaran harus dipupuk dalam kalangan komuniti pendidik dan pihak berkuasa bagi perancangan serta reka bentuk sekolah tentang pentingnya keperluan menggunakan bahan penebat dan penyerap bunyi secara optimum untuk pembinaan bangunan dan pengubahsuaian ruang belajar.

Bagi menyahut hasrat pendidikan mampan serta menjaga kesihatan dan kesejahteraan guru dan murid, satu prototaip bilik kedap bunyi telah direkabentuk dan dibangunkan oleh Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia.

MURID-MURID sering terganggu tumpuan dalam kelas dengan bunyi bising kenderaan daripada jalan raya berdekatan sekolah.

Ia adalah kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Sekolah Kebangsan (SK) Kampong Pasir Johor Bahru, Syarikat Vibrant Echo, Sanjung Sempurna Sdn. Bhd. dan DZAZ Collection.

Prototaip ini bertujuan menzahir idea bilik yang dapat mengurangkan bunyi latar dalam bilik darjah ke paras yang lebih rendah dengan kos yang berpatutan serta pelaksanaan mudah oleh orang awam. Ia sesuai untuk bilik darjah yang terdedah kepada bunyi bising yang berpunca dari satu sisi bahagian bilik darjah yang mempunyai bukaan dan tingkap.

Kos prototaip termasuk bahan dan pemasangan untuk pengubahsuian bilik darjah asal berjumlah RM120 per meter persegi. Sebuah bilik darjah di tingkat dua SK Kampong Pasir, Johor Bahru yang mempunyai keterdedahan aras bunyi trafik dari lebuh raya Skudai-Johor Bahru dipilih sebagai prototaip bilik darjah kedap bunyi.

Bilik darjah asal mempunyai bacaan purata aras bunyi latar dalam tempoh 8 jam dengan minimum setinggi 69 dBA, maksimum sehingga 80 dBA dan purata sehingga 71 dBA.

Gambaran kebisingan yang dialami dalam bilik darjah asal tersebut adalah umpama kebisingan yang dialami oleh seseorang yang berdiri di tepi jalan raya dengan aliran trafik yang tinggi pada jarak 15 m.

Lazimnya komposisi bunyi trafik terdiri dari frekuensi diantara 20 Hz hingga 20000 Hz.

Pengukuran mendapati aras bunyi trafik yang dialami didalam bilik darjah adalah didominasi oleh frekuensi 1000 Hz di mana pada frekuensi ini, murid dan guru mengalami gangguan kebisingan yang maksimum.

Konsep Prototaip
Prototaip bilik kedap bunyi dibangunkan dengan konsep mengurangkan gelombang bunyi bising trafik yang meresap dalam bilik darjah untuk merendahkan bacaan bunyi latar dari aliran trafik. Oleh itu, sisi bilik yang mempunyai bukaan seperti tingkap dan bukaan dinding lain yang berhampiran dengan sumber bunyi perlu rawat.

Tingkap ‘louvers’ dan bukaan yang biasa dibina di sekolah digantikan dengan tingkap cermin setebal 5 mm berkerangka aluminium. Kekedapan tingkap tersebut ditambah dengan penggunaan bahan silikon sebagai pengedap tambahan di sekeliling kerangka aluminium yang dipasang.

Oleh kerana cermin mempunyai sifat pantulan bunyi yang baik, bunyi dari jalan raya dapat dipantul balik semula ke arah jalan. Keputusan kajian di makmal juga menunjukkan tingkap kaca yang digunakan mempunyai sifat memantulkan bunyi sebanyak 25 dB pada frekuensi 1000 Hz.

Dalam erti kata lain, cermin yang digunakan dapat menghalang peresapan bunyi ke dalam bilik darjah sebanyak 25 dB. Manakala, bahagian sisi bilik darjah yang tidak terdedah secara langsung dengan bunyi trafik masih kekal mengguna tingkap asal iaitu jenis ‘louver’ bagi memastikan pengedaran udara sempurna dalam bilik darjah.

Bagi mengurangkan pantulan suara dari guru dan murid dalam bilik darjah akibat dari pemasangan tingkap kerangka panel kaca yang kedap bunyi, siling akaustik dipasang bagi menggantikan siling asal jenis asbestos.

Hasilnya, suasana bilik darjah menjadi lebih tenang dan suara guru menjadi lebih jelas dan difahami. Guru juga boleh berinteraksi dengan murid dalam sesi pengajaran dan pembelaran menggunakan aras suara biasa.

Siling akustik jenis ‘wool mineral’ yang digunakan mempunyai nilai keofisien serapan bunyi maksimum sebesar 0.8 pada frekuensi 1000 Hz dengan pekali pengurangan bunyi (NRC) bersamaan 0.5. Ini bermaksud siling tersebut dapat membantu menyerap tenaga bunyi secara purata sebanyak 50% khususnya mampu menyerap keamatan bunyi yang didominasi oleh bunyi trafik pada frekuensi 1000 Hz sebanyak 80%.

Bagi meminimumkan lagi aras bunyi latar dari aliran trafik berdekatan, langsir kalis bunyi digunakan untuk menutupi keseluruhan tingkap selain meningkatkan suasana pembelajaran baik dengan sifat estetika yang menarik di dalam bilik darjah.

Bukti Kejayaan Prototaip
Hasilnya, aras bunyi dalam bilik prototaip berjaya dikurangkan dengan sangat signifikan. Kadar bunyi latar LAeq dapat dikurangkan sebanyak 13 dBA dengan keadaan tingkap terbuka separuh (50%) dan sebanyak 18 dBA jika panel tingkap tertutup rapat sepenuhnya.

Kadar LAeq dapat dikurangkan sebanyak 3 dBA lagi jika penggunaan langsir kalis bunyi menutupi keseluruhan tingkap panel.

Secara keseluruhannya, dengan tingkap tertutup dan berlangsir, penurunan bunyi latar ialah 21 dBA iaitu di bawah paras 50 dBA.

———————————————————————————————————-
Panel penulis: Prof. Madya Dr. Zaiton Haron, Dr. Khairulzan Yahya, Dr. Nadirah Darus, Rafidah Mohd Yussup, Egr Ahmad Syakir Farhan A Kassim dan Nawawi Salleh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya