PELAKON utama Twilight yang digilai ramai, Robert Pattinson, dalam diam telah menghancurkan hati ramai peminatnya dengan khabar angin dia akan bertunang tidak lama lagi.
Bukan itu saja, baru-baru ini pelakon berusia 34 tahun itu dilihat membawa teman wanitanya, Suki Waterhouse, berjalan-jalan di kota London bersama ibu bapanya.
Pasangan yang bagai pinang dibelah dua itu kelihatan gembira semasa mereka berjalan dengan santai di ibu negara England bersama ibu bapa Robert, Richard dan Clare.
Pelakon filem The Batman itu kelihatan memakai jaket bewarna hijau yang dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru dan topi beanie serta pelitup muka ketika dia berjalan di sisi teman wanitanya yang merupakan seorang model, sambil memegang tangan.
Pasti peminat watak ikonik Edward Cullen itu berasa cemburu melihat pelakon tinggi lampai itu menjalinkan hubungan romantik bersama Suki Waterhouse.
Sumber mengatakan, Rob dan Suki memang sedang membincangkan proses pertunangan mereka. Bagaimanapun, mereka tidak terburu-buru untuk melakukan perkara tersebut kerana mereka sangat komited dengan antara satu sama lain.
Sumber: dailymail.co.uk