MELIHAT pertanian dan penternakan sebagai sumber utama pendapatan dirinya sejak tiga tahun lalu. Kongsi pelakon versatil ini , tiada sekelumit rasa takut sekiranya suatu hari namanya tidak lagi diingati sebagai seorang pelakon.
Tahu kesan pandemik melanda dunia, ketika ini dia juga mahu membantu lebih ramai anak muda di luar sana yang mempunyai minat sama seperti dirinya untuk bergelar seorang petani.
Bercakap soal kelebihan dimilikinya, kata Amerul Affendi dengan pendapatan RM20,000 mampu diraihnya untuk semusim penternakan ikan patin, ia sudah cukup membuktikan dunia seni kini sekadar hobi sahaja.
“Ketika ini saya mengusahakan ladang kelapa dan kelapa sawit. Selain itu saya juga turut mempunyai 20 ekor kerbau dan menjalankan penternakan ikan patin di Sungai Pahang. Bukan sekadar pekerjaan, apa yang boleh saya kata tentang kerjaya sebagai petani ini memang saya seronok sebenarnya.
“Buat masa ini tanah dan hasil ternakan saya semuanya berada di Temerloh, Pahang. Memandangkan masih tinggal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, jadi memang berulang alik setiap minggu kerana tidak mempunyai pekerja yang boleh menguruskannya,” kongsi pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada acara Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) tahun lalu.
Tidak melihat ada situasi yang memerlukan dia berfikir dua kali untuk menjadi petani. Bagi pelakon filem Mencari Rahmat ini, sejak dahulu lagi dia tidak pernah meletakkan dirinya pada tahap tinggi sebagai seorang anak seni. Bersikap realistik, populariti juga bukan sesuatu memerlukan dia malu untuk berada dalam bidang berbeza kini.
“Selain menternak dan bertani saya juga bertanggungjawab memasarkan hasil pertanian ke pasar sekitar Pahang. Memang ada orang kenal saya. Tetapi kebanyakan mereka saya temui, dapat menerima saya dengan baik.
“Saya tidak lihat menjatuhkan imej untuk saya bergelar seorang petani kini, malah tidak pernah terfikir soal itu memandangkan ini adalah rezeki yang halal. Malah sepanjang pandemik ini juga boleh dikatakan inilah yang menampung kehidupan saya. Tidak kaya tetapi cukup,” kata pelakon berusia 34 tahun ini lagi.
Menerima tawaran berlakon atas dasar hobi. Amerul atau nama penuhnya Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi, menjelaskan bidang itu secara tidak langsung memberi sebab untuk dia menghindarkan rasa kecewanya terhadap industri lakonan.
“Bukanlah kecewa cuma tidak tahu bila industri kita akan berubah, jadi dengan beralih arah ke bidang berbeza kini, sedikit sebanyak menghindarkan rasa kecewa itu.
“Jika suatu hari nanti orang tidak ingat saya sebagai seorang pelakon juga tidak mengapa, sebab memang pertanian dan penternakan kini adalah fokus utama saya,” katanya tegas.
POPULAR DI IG
Pernah menyuarakan ketidakpuasan hatinya bagaimana tawaran lakonan kini dibuat melalui populariti di Instagram (IG). Siapa sangka apa yang dianggapnya sekadar luahan itu turut menjentik hati ramai pihak. Malah sehingga kini juga dia masih menerima sokongan bertali arus peminat yang terus mahu dia berada dalam industri.
“Apa yang lebih penting apa yang diluahkan saya itu turut memberi kesan kepada ramai pihak terutamanya penerbit yang kini turut buka mata.
“Jujurnya sebagai pelakon saya mahu melihat situasi ini berubah sekali gus memberi impak yang lebih baik buat industri,” kongsi pelakon filem Bikin Filem yang kini sedang ditayangkan.
Turut bersetuju penonton kini lebih bijak menyuarakan apa yang mereka mahu, bukan sesuatu yang mengejutkan untuk melihat jumlah pengikut nya di IG kini naik dua kali ganda dalam tempoh enam bulan.
“Kesannya sehingga kini, pengikut di IG masih turun naik, dan kita tahu masyarakat kini juga lebih bijak untuk menyuarakan apa yang mereka mahu tonton.
“Apa yang saya cuba sampaikan ini bukan untuk saya, tetapi generasi yang akan datang yang juga akan memilih bidang ini untuk sebagai kerjaya,” jelasnya ringkas.
Mencari Rahmat
Bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Mencari Rahmat, filem arahan Al Jafree Md. Yusop ini dilihat Amerul sebagai sebuah karya yang cukup berat untuk dirinya. Menjadikan teater The Importance Of Being Earnest karya Oscar Wilde sebagai panduan utama filem ini diterbitkan, ada kelainan dalam watak yang dibawakan anak kelahiran Pahang ini.
“Banyak sebenarnya yang sudah lupa sebab kami menjalani penggambaran ini tiga tahun lalu, cuma berkenaan persiapan menjalani penggambaran memang agak teliti. Kami mengambil masa sebulan untuk melakukan persediaan watak masing-masing.
“Antara cabaran terbesarnya bagaimana setiap dialog yang disediakan sangat panjang, tetapi mengikut teater memang begitu. Cuma dalam keadaan pandemik ini memang saya harapkan filem ini ada peluang untuk ditayangkan di panggung kerana kepuasan pasti berbeza,” kongsinya.
Sementara itu Mencari Rahmat turut dibintangi oleh Nam Ron, Adibah Noor, Nadia Aqilah, Fauziah Nawi, Azman Hassan, Eric Fuzi dan Sharifah Amani. Sehingga kini tayangan Mencari Rahmat sudah dua kali ditunda apabila tayangan pertama yang dijadualkan pada 18 Jun dan yang kedua pada 31 Disember ini terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19.










